Anasir Yang Merosakkan Hati

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Jangan engkau membunuh hatimu dengan banyak makan dan tidur. Ianya akan melalaikan kita daripada mengingati Allah"

Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya :
"Jangan banyak makan dan tidur kerana pada hari akhirat nanti, mereka akan miskin amal solehnya ketika bertemu Allah"
  • Banyak makan dan minum
"Makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan. Kerana Dia tidak sukakan orang yang berlebih-lebihan"
(Surah al- A'raf : 31)
Jadikanlah "makan untuk hidup dan beribadah, bukan hidup untuk makan" sebagai prinsip hidup.
Sesungguhnya Imam As-Syafie tidak pernah kenyang selama 16 tahun.

  • Banyak tidur
Banyak tidur akan melemahkan badan dan menyebabkan hati mati.
Tidur merupakan ibadah yang paling ikhlas tetapi banyak tidur akan merosakkan hati.
Tidur yang baik tidak semestinya tidur yang lama tetapi tidur yang berkualiti.

-Sebenarnya banyak lagi anasir yang boleh merosakkan hati manusia, cuma selagi manusia itu berpegang teguh pada jalan Allah dengan banyakkan berzikir, membaca Al-Quran dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW, Insya Allah mereka akan selamat di dunia dan akhirat...
-Jadi marilah kita kurangkan makan dan tidur serta berpada-padalah dalam sesuatu perkara kerana Allah suka orang yang tidak berlebih-lebihan dan bersederhana...

Wallahu A'lam

Wasiat Allah Kepada Rasulullah SAW

Daripada Nabi SAW : Pada waktu malam aku diisrakkan sampai ke langit, Allah SWT telah memberikan lima wasiat :-
  1. Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.
  2. Jadikan cintamu kepada-Ku kerana tempat kembalimu adalah kepada-Ku.
  3. Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.
  4. Putuskan harapan daripada makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikit pun tidak ada kuasa di tangan mereka.
  5. Rajinlah mengerjakan solat tahajud kerana sesungguhnya pertolongan itu beserta qiyamullail.
Semoga kita sama-sama bermuhasabah untuk meletakkan pergantungan kepada Allah perkara yang utama dalam hidup ini.

Seperti mana firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 56,
"Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku"

Jangan lihat sahaja, ayuh fikir dan jom sama-sama kita beramal!!
Wallahu a'lam...

Cinta Yang Agung

Siapalah aku untuk berbicara tentang cinta,
Kerana aku bukan pakar cinta,
Yang bisa mengarang berkajang-kajang surat cinta,
Namun hajatku ingin engkau mengerti,
Suatu cinta yang suci,
Cinta yang agung lagi abadi...

Tidakkah engkau terfikir,
Betapa besarnya cinta Tuhan kepada kita,
Cinta yang tidak berbelah bagi,
Hanya untuk kita,
Ah, indahnya jika cinta-Nya aku yang punya...

Aku cinta akan ibu bapa,
Sepenuh jiwa dan raga,
Merekalah nyawa nadi hidupku,
Namun cinta mereka bukan untukku semata-mata,
Bagaimana kasih mereka untuk adik beradik yang lain?
Pasti harus diberi dengan sama rata,
Pasti perhatiannya tidak sama...

Aku cinta akan guru-guruku,
Seluruh hati dan perasaanku,
Merekalah pelita hidupku,
Namun cinta mereka bukan untukku semata-mata,
Bagaimana cinta mereka untuk anak didik yang lain?
Pasti harus diberi dengan sama rata,
Pasti perhatiannya tidak sama...

Begitu juga dengan insan yang lain,
Cinta mereka kepadaku bukanlah keutamaan,
Hanya kerana 'cinta akan insan lain' itu perintah Tuhan,
Mencintai satu sama lain di bawah naungan Yang Esa...

Ah, tidak mengapa,
Mereka juga menyahut seruan-Nya,
Tidak beriman seseorang itu,
Sebelum dia mencintai saudaranya,
Seperti mana dia mencintai dirinya sendiri...

Aku juga ingin begitu,
Cinta akan orang lain kerana-Nya,
Bukan untuk hiburan semata-mata,
Bukan untuk gurauan semata-mata,
Bukan untuk bersenang-lenang semata-mata,
Tapi kerana cinta pada Yang Esa...

Terbuktilah bahawa cinta pada Ilahi cinta yang agung,
Mana tidaknya,
Allah punya banyak hamba,
Tapi cinta-Nya pada hamba-hamba-Nya sentiasa ada,
Walau tidak diminta Dia tetap memberi,
Bukti sifat Ar-Rahman-Nya...

Carilah cintaYang Esa,
Mintalah pada-Nya,
Mohonlah pada-Nya,
Patuhilah perintah-Nya,
Tinggallah larangan-Nya,
Pasti Dia akan tetap bersama,
Pasti Dia akan hadirkan cinta-Nya pada kita,
Cintailah Dia setulus jiwa,
Mintalah pada-Nya agar kita mencintai-Nya,
Kerana Dialah pencipta cinta...

Ayuh Bangkit Wahai Umat Islam

Coretan ini sekadar untuk membangkitkan hati-hati yang sedang lena daripada kealpaan dunia.
Diharapkan intipatinya dapat memberi kesedaran dan mengetuk jiwa lesu dalam diri umat Islam dengan izin-Nya.
Apa yang ana tonton semalam sangat menjentik akal kurniaan Ilahi untuk berfikir mengenainya.

Ada satu kisah dalam tv yang ana tonton sangat memberi pengajaran berguna buat ana.
Dalam satu babak yang ditayangkan, watak utama yang ana namakan sebagai Siti telah berbual dengan seorang kakak yang ana namakan sebagai Sofea.
Dalam babak ini, Siti telah menegur Sofea ala-ala macam ni la...
   "Akak, Siti tahu Akak dah banyak jaga dan bantu Siti dan adik Siti. Tapi kalau Akak dan suami Akak bersembahyang, Insya Allah lagilah berkat kehidupan Akak sekeluarga," ujar Siti kepada Sofea.
   "Tapi, Siti kalau Siti dan adik Siti tu sentiasa bersolat, kenapa hidup kamu susah jugak..Tak senang- lenang macam Akak pun," ujar Sofea pula.
   Siti terdiam tanpa bicara. Tiada balasan atas kata-kata itu.
   "Tak pelah Siti, kalau Siti nak solat, Siti solatlah...Akak dan suami Akak tak nak masuk campur... Asalkan hidup kami bahagia," ujar Sofea lagi mengakhiri perbulan mereka.

Lebih kurang begitulah dialog dalam babak itu, tapi ada yang ditokok tambah.
Apa yang penting di sini ialah pengajaran daripada kisah tersebut.
Ana boleh ulaskan di sini bahawa Siti seorang yang kuat pegangan agamanya tapi hidupnya miskin dan terpaksa bergantung kepada Sofea yang kaya-raya tetapi tak mengamalkan agama.
Ana puji sikap Siti yang berterus-terang dengan menegur perbuatan Sofea selama ini. Kita dapat lihat peranan dakwah yang dimainkan oleh Siti.
Namun, niat ikhlasnya menegur dibalas dengan sindiran pedih oleh Sofea dengan memandang rendah kepada Siti yang miskin.

Kesimpulannya di sini ialah seorang umat Islam mesti memajukan dirinya daripada segi penampilan, pekerjaan, ketinggian ilmu dan sebagainya agar dakwah yang disampaikan mudah diterima oleh orang lain.
Jika tidak...bagaimanakah mereka akan melihat kehebatan Islam?
Adakah hanya dengan bersolat tetapi berpakaian selekeh dan kerjanya hanya mengemis dan meminta sedekah?
Walaupun kita sebagai umat Islam tidak menegur orang lain untuk mengamalkan Islam, tetapi sikap kita yang mengamalkan Islam dengan sempurna dan lahir daripada amalan itu hasil yang dikagumi, masyarakat pasti akan tertarik dengan Islam.
                           Ayuh berjihad demi Islam tercinta!!

Seperti kata-kata hukama', perbuatan lebih memberi kesan daripada perkataan.
Jadi, kepada umat Islam termasuk ana yang menulis ini kita harus bangkit untuk memajukan diri bukan untuk kepentingan diri dan ingin menunjuk-nunjuk tetapi uantuk kemaslahatan dan ketinggian Islam.
Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tidak ada lagi yang lebih tinggi daripadanya.
Biarlah kita berusaha untuk menjadi pakar dalam semua bidang sehingga orang bukan Islam pun merujuk kepada kita sekali gus membawa Islam kepada mereka.
Insya Allah dengan kemajuan umat Islam, Islam akan dikagumi dan digeruni seperti zaman umat-umat terdahulu.
Ayuhlah kita bangkit untuk memartabatkan Islam.
Jangan biarkan Islam dipandang sebelah mata sahaja tetapi biarlah Islam dipandang dengan kedua-dua belah mata beserta mata hati yang tulus ikhlas mencari redha Ilahi.

Wallahu A'lam...

Alhamdulillah...

Alhamdulillah, akhirnya hari ini tamat juga SPM exam tatkala tamatnya paper PQS...
Namun, perjuanganku masih belum tamat...
Selangkah kukeluar dari sekolah banyak lagi perkara yang harus dilakukan...
Inilah peluangku untuk bermujahadah dengan sebenar-benarnya selepas keluar daripada ruang lingkup peraturan sekolah.
Aku harus menempuhi 1001 macam cabaran tidak lama lagi...
Menghadapi PLKN...satu dunia baru yang harus ditempuhi selepas ini.
Namun, sebenarnya di bahu ini telah terpikul satu lagi amanah yang besar untuk membawa Islam kepada masyarakat luar selepas berjuang di madrasah tercinta...
Moga aku diteguhkan hati untuk menghadapi segala mehnah dan tribulasi yang bakal melanda dengan tabah berlandaskan petunjuk dan hidayah Allah..Insya Allah!
Perjuanganku bakal diteruskan...Demi Allah dan Rasul-Nya!!Allahu Akbar!!


Hayatilah titipan semangat daripada sahabatku :

Bila diri diwakaf untuk perjuangan Islam jangan sesekali berniat untuk meloloskan diri.
Sekali melangkah ke hadapan maka teruskan langkah itu.
Jangan pernah terlintas untuk melepaskan ikatan rabithah perjuangan.
Walau ribuan tribulasi melanda yakinlah dengan apa yang kita lakukan nescaya kemenangan pasti tiba.
Derita kita ialah derita umat terdahulu.
Penat kita hari ini adalah untuk generasi akan datang.
Moga dithabatkan hati kita semua dalam meniti liku dakwah.
Kita bukanlah yang memulakan perjuangan tetapi kita adalah rantai-rantai yang menyambung perjuangn...

Wallahu A'lam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...