Ombak hati

Hati ini,
mengapa harus kau berubah?
setelah kau begitu dekat pada-Nya,
masih belum terkesankah alunan kalam-Nya?
masih belum terasa lazatkah ibadah pada-Nya?

Tapi, mengapa kau masih berdegil?
diikutkan jua nafsu duniamu,
biarkan ia menjadi raja dalam dirimu,
Oh! hati.

Dengkimu,
buruk sangkamu,
egoismu,
sombongmu,
segala macam lagi,
Kenapa? Kenapa?

Tuhan mengurniakanmu untuk menjaga,
baik dirimu, baiklah semuanya,
jahat dirimu, jahatlah semuanya,
Nauzubillah.

Wahai hati,
janganlah kau jadi seperti ombak yang mengganas,
sekali beralun, musnah segalanya,
tapi, jadilah ombak yang beralun hebat,
mengganas kerana sedar,
sebagai tanda kau takut pada azab-Nya.

Hati,
kau mampu berubah,
dihidupkan dengan zikrullah,
kerana kau milik-Nya,
kau kembali pada-Nya.


p/s : Saje-saje nak berpuitis....Sorry ye. Tunggang langgang puisi ini dibuatnya. Saya tahu tidak semua yang minat bermadah pujangga ini. Saya pun masih belum mahir. Sekadar untuk meluahkan apa yang dirasai. Moga bermanfaat bagi yang mampu menilai dan melihat dengan mata hati. Wallahu a'lam.


Kisah ibu, anak, ustaz dan coklat.

Salam ukhuwwah fillah buat semua. Moga dalam redha-Nya selalu.

Just nak beritahu, cabaran nak menulis itu sebenarnya memang banyak. Antaranya sifat malas, tiada idea, line internet tak laju, bla...bla...bla....
Tetapi, bagi mana-mana yang dia rasa dia itu seorang blogger, saya nak ingatkan bahawa post yang kita tulis pada blog kita itu bukan untuk tatapan dan pedoman orang lain semata-mata tetapi peringatan itu buat diri kita.
Jadi, cabaran yang paling besar bagi seorang blogger ialah sejauh mana dia mengamalkan apa yang ditulisnya.
Memang bukan mudah nak amalkan.
Kadang-kadang si blogger bukan main syok menulis dan di akhir tulisannya, ia berkata
"Semoga artikel ini bermanfaat buat anda dan sama-samalah kita mengamalkannya"
Tetapi, diri sendiri pun tak beramal, macam mana nak suruh orang lain beramal.
(termasuk diri saya...Astaghfirullah!!)

Saya teringat satu kisah yang sahabat saya, Nurul Huda Roslan pernah kongsikan kepada saya. Moga Allah redha dengannya. Katanya :

Ada seorang ibu yang mempunyai seorang anak yang sangat suka makan coklat. Barangkali sehingga buruk giginya. Kemudian, dia membawa anaknya berjumpa seorang yang dipercayainya yang dikenali sebagai Ustaz Ahmad. Ibu itu meminta Ustaz Ahmad menasihati anaknya agar mengurangkan makan coklat. Lantas, Ustaz Ahmad menyuruh mereka berdua pulang dan meminta agar datang kembali bertemu dengannya seminggu akan datang. Ibu itu aneh dengan Ustaz Ahmad tetapi dia membiarkannya sahaja. Seminggu berlalu, ibu itu berjumpa semula dengan Ustaz Ahmad. Kemudian, beliau menasihati anak itu dan selepas beberapa hari, anaknya mula kurang makan coklat. Ibu itu pelik kerana cepat benar anaknya berubah. Lalu, dia berjumpa sekali lagi dengan Ustaz Ahmad dan bertanya rahsia anaknya berubah. Kata Ustaz Ahmad, dia sebenarnya meminta masa seminggu itu kerana dia ingin cuba mengurangkan makan coklat terlebih dahulu. Setelah dia benar-benar berjaya mengurangkan makan coklat, barulah dia menasihati anak itu agar nasihat itu sampai dari hati ke hati. Baginya, sia-sia jika dia menasihati orang lain meninggalkan keburukan sedangkan dia sendiri melakukannya. Coklat tidak dinafikan bagus, tetapi kadar berlebihan akan menjejaskan kesihatan. Akhirnya, ibu tersebut faham akan tindakan Ustaz Ahmad.




Nah! Macam mana? Dah faham? Kita kena buat apa yang kita cakap supaya semua pihak diredhai Allah.
Jadi buat para bloggers, jangan hanya tahu mengupdate blog sahaja, tetapi luangkan juga masa untuk menjenguk kembali post-post yang telah anda nukilkan.
Semoga dapat terus menjadi peringatan buat diri yang selalu leka.
Insya Allah, mengintai post lama kekadang boleh mendatangkan idea baru untuk post yang akan datang.
Sesungguhnya yang baik itu semuanya datang dari Allah.
Selamat beramal.
Wallahu a'lam.

Sang Murabbi - mencari spirit yang hilang!

Alhamdulillah, tatkala berada dalam kesenangan dan kesibukan dunia, Allah masih memilih saya untuk menonton sebuah filem perjuangan yang sangat menyuntik semangat perjuangan para pejuang ke jalan Allah yang membawa ke arah akhirat yang kekal abadi. Filem yang saya maksudkan bertajuk Sang Murabbi.


Saya yakin dan percaya sudah ramai antara kita yang telah pun menonton filem ini. Alhamdulillah, insan yang telah menontonnya sangat bertuah. Sudah pastinya dia lagi lagi bertuah apabila tersuntik semangat juangnya untuk terus berjuang di jalan Allah. Seluruh hidupnya adalah untuk Islam. Perjuangannya tidak lain tidak bukan adalah untuk Islam.

Saya tidak mahu komen panjang tentang filem ini. Cumanya, saya ingin mengajak anda yang masih belum menonton filem ini untuk mencari ruang sebentar menghayati filem ini. Bagi yang sudah menonton, jangan rasa rugi dan jemu untuk mengulang kembali tontonan anda kerana apabila sekali tonton, mungkin masih kurang penghayatan, insya Allah apabila berulang-ulang, moga kita terus menderap langkah untuk berjuang di jalan-Nya.

Tontonan yang sangat sesuai buat para pejuang Islam dalam menegakkan agama-Nya. Tontonan yang memberi gambaran kehidupan seorang pejuang. Tontonan yang mengajar uslub dakwah yang berkesan. Dengan niat untuk mencari keredhaan Allah dan untuk menyahut panggilan jihad-Nya, insya Allah moga tontonan filem ini menjadi ibadat kita pada-Nya.

Insya Allah sama-sama mencari ruang dan peluang untuk sama-sama menghayati kisah perjuangan ini.
Moga kita turut menjadi pejuang di jalan-Nya yang terus thabat pada Islam kerana Allah.
Tunggu apa lagi? Ayuh...sama-sama berjuang kerana kitalah rantai-rantai perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda dalam menegakkan Islam tercinta.

Takbir...ALLAHU AKBAR!!!

Saya kagum dengan "Thailandian"

Salam mahabbah buat semua. Saya doakan anda semua dalam rahmat Ilahi sentiasa.

Hari itu, semasa kuliah Ulum al-Quran, pensyarah sedang syok mengajar, tiba-tiba datang tiga orang pelajar lelaki dari Thailand yang terlewat masuk ke kelas, bukan 10 minit terlewat tetapi lebih 15 minit mereka terlewat masuk ke kuliah.

Tetapi, Alhamdulillah, pensyarah yang mengajar Ulum al-Quran saya itu orangnya agak baik dan susah hendak marah. Subhanallah. Malah beliau turut meraikan pelajar bukan arab, jadi beliau membenarkan mereka menghadiri kuliah walaupun sudah terlalu lewat. Kemudian, ketiga-tiga pelajar Thailand masuk juga ke kelas pada hari itu dengan kedengaran hilaian ketawa daripada rakan-rakan yang lain.

Apa yang membuatkan saya kagum ialah walaupun pelajar Thailand itu sangat lewat, tetapi mereka tetap menghadirkan diri ke kelas. Walaupun mereka datang dan pensyarah tetap menanda bahawa mereka tidak hadir pada buku kedatangan pelajar, mereka tetap datang semata-mata tidak mahu tertinggal ilmu yang diajar.

Cuba bayangkan, jika anda menghadapi satu situasi dimana anda sudah kelewatan untuk menghadiri kuliah, adakah anda tetap bertekad untuk ke kuliah? Cuba bayangkan apabila anda sampai ke kelas, semua mata memandang anda. Mata pensyarah pula lagi membulat kerana anda sudah tersangat lewat. Bagaimana? Anda tetap hendak pergi walaupun sudah lewat?

Jika saya berada dalam situasi itu, saya pun tidak pasti mahu ke kelas atau tidak. MALU!! Siapa tidak malu apabila diketawakan oleh pelajar lain dan menjadi perhatian ramai. Apatah lagi, kalau kena pada pensyarah yang garang dan pantang apabila pelajarnya masuk lewat ke kelas. Kalau pensyarah baik tak pe lagi!

Dahulu, seorang senior saya pernah memberi nasihat kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk membetulkan niat. Beliau berkata, cabaran niat datang ke kuliah ada dua. Pertama, datang kuliah menuntut ilmu kerana pensyarah mengambil kedatangan, jikalau lebih ketidakhadiran, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan. Kedua, datang ke kuliah menuntut ilmu kerana peperiksaan.

Tetapi, beliau berkata bahawa kesemua niat itu tidak salah, kerana itu niat yang kecil. Tetapi niat yang kecil itu mestilah bercabang daripada niat yang besar, tidak lain tidak bukan niat MENUNTUT ILMU SEMATA-MATA KERANA ALLAH.

Saya juga pernah bertanya seorang penceramah dalam satu program ceramah berkenaan dengan niat belajar untuk mendapatkan wang daripada dermasiswa ataupun biasiswa. Penceramah itu turut menjelaskan bahawa niat itu tidak salah kerana semua itu adalah keperluan dan kepentingan untuk mencapai niat yang besar iaitu BELAJAR KERANA ALLAH.

Apabila kita niat belajar kerana 'takut' akan buku kedatangan pelajar, kita akan datang ke kelas kerana itu tandanya kita cinta ilmu dan ilmu itu milik ALLAH. Jika kita niat belajar untuk peperiksaan, kita akan buat yang terbaik dan apabila kita berjaya, kejayaan kita itu untuk Islam dan ummah dalam mempertahankan agama ALLAH. Jika kita niat belajar untuk biasiswa, kita akan belajar bersungguh-sungguh untuk dapatkan wang, semoga dengan wang itu, mudah untuk kita terus berjihad di medan ilmu kerana ALLAH.

Saya berharap agar anda mengambil apa yang baik daripada kisah yang saya bawakan ini. Sikap mencintai ilmu sangat dituntut tetapi amalan menepati masa juga ditekankan dalam Islam. Jadi, tepatilah masa anda kerana masa sangat berharga. Datang awal ke kelas lebih baik. Semoga kita menjadi pencinta ilmu yang senantiasa mengutamakan waktu, insya Allah.

Apapun, sama-samalah kita muhasabah diri. Betulkan niat dalam apa jua yang kita lakukan semata-mata kerana Allah. Ingat bahawa Allah menilai setiap apa yang kita lakukan kerana-Nya walaupun dalam sekecil-kecil perkara. Semoga terus beramal. Wallahu a'lam.


Semalam, Hari ini, Esok...


Alhamdulillah masih diberi peluang untuk menulis. Moga Allah redha saya dan anda semua.

Hidup kita ini cuma ada tiga hari. Pertama, hari yang telah lepas, walau apa pun yang kita usahakan, kita tidak mampu kembali lagi ke hari semalam. Tetapi, kita boleh mengambil pengiktibaran dari hari yang lepas supaya kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Kedua, hari esok. Sekalipun kita merancang untuk hari-hari muka kita, yang maha menentukan perancangan kita itu tidak lain tidak bukan adalah ALLAH semata-mata kerana Dialah sebaik-baik perancang dan penentu. Kita sememangnya perlu merancang tetapi tidak usahlah berangan-angan setinggi langit tanpa usaha sehabis daya. Impian perlu disertai dengan usaha.

Ketiga, hari ini. Hari inilah yang menentukan diri dan hidup kita. Kita memang tidak boleh kembali lagi ke masa lepas, tetapi bagaimana jika kita tidak mampu menikmati hari esok? Jadi gunalah hari ini dengan sebaik-baiknya. Janganlah suka menangguh kebaikan dan ibadah kepada-Nya ke hari esok. Andainya hari ini adalah hari terakhir dalam hidup kita, alangkah ruginya.

Orang yang hari ini lebih buruk daripada hari-hari lepas, maka dia seorang yang amat malang dan celaka. Orang yang hari ini sama sahaja dengan semalam, maka dia seorang yang teramat rugi. Peluang yang ada untuk berubah pada hari ini tidak digunakannya. Tetapi orang yang hari ini lebih baik daripada semalam, maka dialah orang yang sangat beruntung dan insya Allah orang yang berjaya.


Jadi, apa tunggu lagi? Ayuh sama-sama kita menjadi orang yang sentiasa cemerlang pada hari-hari yang dilaluinya. Andaikata kita pernah gagal, ingatlah bahawa gagal sekali tidak bererti gagal selama-lamanya dan sesungguhnya kegagalan itu ialah kejayaan yang tertangguh. Yakinlah bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan hamba-Nya. Segala yang Allah tentukan buat kita adalah yang TERBAIK buat kita sebagai hamba-Nya.

Sama-sama koreksi diri.
Ayuh! LIHAT,FIKIR, dan berAMAL.
Wallahu a'lam.

Tips Study...mana tahu di situ ada berkat!!

Salam buat semua pengunjung setia dan followers blog lihat,fikir,amal. Ampun maaf diminta kerana tidak mampu istiqamah untuk terus menulis. Exam!! Sebenarnya bukanlah penghalang. Jangan ikut sikap saya ye! Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. So, kali ini saya cuma copy paste daripada orang sahaja. Idea dalam fikiran sendiri terlalu banyak dianugerahi-Nya tetapi masih belum berupaya mengolahnya. Masih mencari masa sesuai. Maaf sangat-sangat.

Apapun, bersempena examination fever bagi penuntut ilmu di bumi Jordan dan buat sesiapa sahaja, moga intipati tips study yang saya ambil daripada insan lain ini bermanfaat buat anda semua. Moga Allah merahmati insan yang mencurahkan ilmu ini kepada saya, melalui sumber asal dan 'rantai-rantai' yang menyampaikannya kepada saya. Moga Allah redha kalian.




TIPS STUDY
1) Sebelum belajar, niat bahawa aku belajar ni kerana Allah. Tiap kali nak keluar bilik untuk pergi kuliah, sentiasa ingatkan diri, aku menuntut ilmu ni kerana Allah. Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu. Jangan rasa stress kalau kelas start seawal jam 8 pagi dan habisnya pula dalam pukul 5. Tapi fikir bahawa sepanjang proses menuntut ilmu ni, malaikat akan sentiasa mendoakan kita. Jadi, kita tak la rasa tension sangat kalau kelas tu tersangatlah lama.

2) Disiplinkan diri, tiap kali nak study, mesti baca 1 m/s Al Quran sebelum start study tu. Jadi, confirm kita tak tinggalkan Al Quran walau sesibuk mana pun kita. Ustazah ada cerita satu KISAH YANG SANGAT MEMBERI INSPIRASI. Ada seorang budak perempuan di Arab Saudi yang mayatnya tak hancur, walaupun dah lebih 2 tahun dia meninggal dunia. Ramai yang pelik sebab budak tu masih kecil, dalam umur 15 tahun. Jadi, ada yang pergi pada kedua ibu bapa budak itu dan bertanya, apakah 'amalan budak perempuan ini. Ibunya menjawab, saya tak tahu apa yang special anak saya buat, cuma saya tahu dia ni sangat menjaga Al Quran. Tiap kali sebelum belajar, dia pasti akan baca 1 m/s al quran, memang tak pernah tinggal. Jadi, budak kecik ni pun boleh baca 1 m/s tiap kali sebelum belajar, kita yang besar berjela ni tak kan tak mampu kot. Orang yang hebat takkan bagi alasan, tapi dia sentiasa cari jalan.

3) Bila kita rasa stress sebab berkali-kali dah baca topik tu, tapi tetap tak faham, dan akhirnya, kita rasa fed up dan terus tutup buku. Dan yang lebih bahaya, mind setting akan mengatakan topik ni sangat susah dan tak best. Last2, kita tinggalkan terus topik tu hingga akhirnya kelam kabut waktu nak exam. Jadi, apa kata kita cuba tips daripada salafus soleh terdahulu. Bila ada sesuatu yang menghalang fokus, mereka pergi perbaharui wudhu' dan solat sunat 2 rakaat. Kalau macam kita ni yang malas-malas ayam, perbaharui wudhu' pun dah dikira ok. Kembalikan caj2 positif dalam diri supaya tiada ruang untuk syaitan menghalang kita untuk menuntut ilmu ni, tugas yang sangat mulia.

4) Part paling penting! Bila tengah syok study, tiba2 azan. Berhentilah sekejap untuk menyahut seruan Allah. Tak lama pun solat ni. Jadikan ia sebagai terapi diri selepas penat belajar. Imam Ghazali ada mengatakan bahawa: "orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjema'ah, di akhirat kelak, dia akan dijemput oleh Allah SWT dengan penuh lemah lembut dan menjadi tetamuNya. Jadi, tiap kali rasa berat punggung nak berhenti study untuk solat, ingat balik, kalau aku nak dijemput oleh Allah di yaumul hisab nanti, aku kena utamakan solat dulu daripada kerja lain. Mana kita tahu kan, kita lagi rasa mudah bila belajar selepas selesai solat tu. Inilah namanya berkat. Bila kita utamakan Allah daripada benda lain.

5) Last but not least, jangan lupa baca doa dan ambillah wudhu' sebelum mula belajar. Doa mohon Allah bagi kekuatan dalam menuntut ilmu. Dan bila kita ada wudhu' ni, kita akan sentiasa ingat bahawa belajar ni adalah 1 ibadah yang sangat dituntut dalam Islam. Dan lagi mudah untuk kita terus solat kalau tengah belajar, tiba2 azan. Kita tak tahu kan dengan wudhu' tu, kita belajar lebih berkat..


  Jadi, selamat beramal. Cubalah praktis tips study ni, matlamat kita bukan lah cemerlang dalam study semata, tapi kita juga nak keberkatan daripada Allah. Ihfazillah yahfazka, ihfazillah tajidhu tijaahak (Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu)

Jadilah seperti Rasulullah dan para sahabat yang hidupnya seimbang dunia akhirat, walaupun sibuk di medan perang dan sibuk mentadbir negara. Mereka lagi sibuk daripada kita, tapi masih ada waktu untuk bangun tahajjud dan baca Al Quran.Buat pemburu dunia, jangan pula kita bagi alasan, mereka tak sama macam kita, iman mereka mantap kerana Rasulullah ada di sisi. Kita tak sehebat mereka. Andai itulah pemikiran kita, percayalah, selamanya kita akan menunduk ke bawah tanpa mendongak langit yang cerah di atas. 

Jgn smpai kita berada di skala ke 2 ni..

Boleh rujuk link insan ini....Wallahu a'lam

Ilmu diuji ketika peperiksaan sahaja???


Salam mujahadah buat semua. Semoga dalam inayah-Nya sentiasa. Sekarang ni sudah masuk fasa exam kedua dan tidak lama selepas itu menyusul pula final exam di universiti saya. Ya Allah, terasa sekejap sahaja masa berlalu. Sedar tak sedar sudah dua bulan lebih pengembaraaan musafir ilmu saya di bumi Jordan in.

Kita study bagai nak rak apabila exam menjelang tiba. Study betul-betul, hafal itu, hafal ini, solat sunat itu, solat sunat ini dan macam-macam lagi. Tetapi kekadang saya terfikir, adakah ilmu yang kita pelajari selama ini, khususnya ilmu di kuliah atau kelas-kelas rasmi diuji tatkala peperiksaan sahaja?

Tidak! Itu jawapan muktamad saya. Bagi saya ilmu bukan sahaja diuji di atas kertas soalan atau ujian lisan daripada pemeriksa tetapi boleh jadi ilmu itu bakal diuji pada bila-bila masa sahaja, mungkin ketika kita berada dalam masyarakat nanti setelah tamat belajar atau semasa kita masih menuntut ilmu, masyarakat mendekati kita dan bertanya tentang ilmu yang dipelajari.

Oleh kerana itulah, saya sentiasa mengingatkan diri saya yang lemah dan selalu alpa ini untuk mengulang kaji pelajaran pada setiap hari sekurang-kurangnya hatta waktu cuti dan bukan musim exam. Kenapa? Untuk memastikan ilmu yang dipelajari tidak lupa dan tatkala ada seorang daripada kita bertanya tentang sesuatu perkara, kita mampu menjawab dan merungkaikan persoalan itu dengan baik, Insya Allah.

Cuba anda bayangkan, jika anda hanya study semasa musim peperiksaan, apabila seseorang bertanya tentang ilmu yang anda pelajari, pasti anda boleh menjawabnya kerana ilmu itu masih 'fresh' dalam ingatan anda. Tetapi, andaikata anda tidak mengulang kaji apa yang anda pelajari, kemudian, seseorang bertanya, tetapi anda lupa akan ilmu itu, apakah yang perlu anda lakukan??

Adakah dengan menjawab, "Maaflah, saya tak ingat lah...nanti saya study dahulu, selepas tu, saya beritahu awak ye". Adakah ini jawapan orang yang dalam bab exam, result 'berapi', tetapi untuk menjawab dan membincangkan sesuatu ilmu apabila berhadapan dengan masyarakat, 'api' tadi seolah-olah sudah tidak marak dan hampir-hampir terpadam. Maknanya, dia tidak mampu mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam masa-masa selain masa exam.

Jadi, saya ingin menasihati dan mengingati diri  anda dan saya khasnya bahawa ilmu itu tidak diuji dalam peperiksaan semata-mata, tetapi boleh jadi Allah ingin menguji ilmu itu bila-bila masa sahaja seperti menghadirkan seseorang yang bertanyakan ilmu tersebut atau dengan bermacam-macam cara lagi.

Buatlah persediaan untuk 'ujian' itu sepanjang masa, bukan dalam waktu exam sahaja. Ketahuilah bahawa ilmu itu milik Allah dan tugas kita sebagai penuntut ilmu adalah menyampaikan ilmu Allah itu kepada orang lain, agar kita sama-sama belajar dan mengambil manfaat daripada ilmu itu, seterusnya mengamalkannya.

Sama-sama muhasabah diri. Saya turut mengkoreksi diri saya. Moga sama-sama beramal, insya Allah.
Wallahu a'lam....

Gubahan Jiwa 2


Aku tiada hak untuk mengatakan perbuatan itu salah, wallahu a'lam. Tetapi, bagiku tindakannya merisik melalui mesej di FB agak kurang menyenangkan. Semua itu akan mengundang kepada kelalaian semata-mata tanpa pengawasan sesiapa melainkan CCTV Allah sahaja. Kalau ***** benar-benar serius igin menjadikanku atau sesiapa sahaja mangsa mesejnya, jumpalah wali untuk menyatakan hasrat. Bukankah itu lebih baik?

Aku rasa tidak wajar untuk membalas mesej ***** walaupun niatku hanya untuk menasihati tindakannya itu. Dikhuatiri pula  aku yang 'terbabas' akibat rasa syok bermesej dengan lelaki yang bukan mahramku walaupun atas tujuan yang baik. Takut pula nanti pahala berulam dosa. Lagipun, masih ramai kaum adam yang arif dan soleh untuk menasihatinya.

Biarlah orang mengatakan tindakannya tidak salah, tetapi aku tidak berkenan. Tengoklah, semasa mula-mula mendapat mesej itu, hati aku berdetik dengan risikan itu walaupun hanya dengan kata-kata...yang bagiku, mengusik jiwa sesiapa yang membacanya. Biarkanlah ia.

Lebih baik aku menyepi daripada memberi respon walaupun respon yang mungkin diterima ***** seratus peratus negatif. Aku tidak perlu menghiraukannya. Masih banyak tanggungjawab yang perlu aku laksanakan. Bak kata seorang ulama,"tanggungjawab yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada".

Aku tak nak hatiku terusik lagi dek igauan impian seorang lelaki yang kempunan beristeri. Semoga ***** berjaya menemui pilihan hatinya untuk menjadi suri dalam hidupnya yang mana dapat menyelamatkannya daripada fitnah dunia yang cukup besar iaitu wanita. Mungkin ada lagi wanita yang lebih solehah daripadaku. Cukuplah! Aku tak nak jiwaku terganggu. Biarlah gubahan jiwa ini berhenti di sini dahulu. Andai tiba masanya, pasti akan bersatu jua.


Gubahan Jiwa



Aku membuka peti mesej di ruangan muka buku. Eh, ada lelaki hantar mesej la.


Assalamualikum,
secara terus terang.
sy sedang mencari calon.untuk melengkapi agama sy dan memlihara iman di zaman yg semakin rapuh ini..sy baru buat fb ni khas utk itu.ingin taaruf dengan saudari sekiranya berkeinginan yg sama.
jazakillah


Ya Allah! Siapa yang hantar mesej ini? Siapa ***** ni? Bukan rakan FB aku. Tetapi, macam mana dia boleh menghantar mesej yang itu kepadaku? Macam mana dia boleh kenal aku? Adakah wanita lain pun mendapat mesej sebegini daripadanya?


Bermacam-macam persoalan timbul di benak fikiranku. Tanpa aku sedari, rupa-rupanya hatiku gembira tatkala mendapat mesej itu. Aku rasa dihargai. Meskipun cuma mesej yang seakan-akan 'melamar' aku sebagai suri dalam hidup *****.


Eh! Cop....Cop! Jangan leka. Aku tak boleh terpedaya dengan mesej itu. Memang nampak seolah-olah ***** seorang yang sangat alim. Yelah, mana tidaknya, sanggup dia membuka akaun FB untuk mencari calon isteri demi menyelamatkan diri di zaman yang mencabar ini.

Tetapi....

Aku langsung tak kenal lelaki ini. Entah benar atau tidak dia ingin menjadikan aku isterinya. Aku masih muda, masih di takuk ilmu. Entah-entah dia sahaja ingin menguji muslimah sepertiku. Ah, tak usah dipedulikan lelaki yang bernama ***** itu. 

Tetapi, perlukah aku membalas mesej itu? Tidak timbul fitnah kah nanti? Walaupun niatku hanya untuk menasihati tindakannya itu. Tetapi salah kah tindakannya itu??

......................

.................

.............

Nantikan kesudahan Gubahan Jiwa dalam post yang akan datang.
Wallahu a'lam...

Sejauh Mana Keberhasilan Dakwah

"Dan hendaklah di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Dan mereka itulah orang yang beruntung"
(Ali-Imran:104)

Saya kekadang sedih tatkala 'berjalan' di ruangan facebook tatkala melihat pelbagai gambar yang tidak sepatutnya dilihat. Apatah lagi orang tersebut terlalu baik di hadapan saya semasa saya bersamanya dan saya terlalu menghormatinya. Namun, sukar untuk saya menipu diri sendiri bahawa saya kurang mampu untuk menghormati dan menyayanginya lagi apabila melihat segala kemungkaran itu.

Ah! Cepat sekali saya membuat andaian. Kalau benar dia sudah berubah, dengan gambar yang tidak menutup aurat, sedangkan pada suatu masa dahulu saya telah banyak mentarbiahnya supaya menutup aurat dan telah beracap kali saya menasihatinya untuk tidak melakukan kemaksiatan...apakah itu salahnya kerana tidak mengambil berat akan dakwah saya padanya?

Tanpa saya sedari, keberhasilan dakwah seseorang kekadang terhalang dengan kesalahan pendakwah itu sendiri. Tidak adil rasanya andainya saya menghukum sahabat saya, keluarga saya atau sesiapa sahaja yang telah saya dakwah atas segala kejahatan, kemungkaran dan kemaksiatan mereka. Apakah saya ini sudah terlalu sempurna dan baik dengan meletakkan 'jauhnya' mereka dari Tuhan itu adalah kerana kelalaian dan kealpaan mereka??

Beberapa persoalan bermain di minda. Adakah di kala saya bersama dengan mereka dahulu, dan pada saat itu saya selalu mengajaknya kepada kebaikan, hati saya ikhlas berdakwah semata-mata kerana Allah? Adakah saya berdakwah untuk mendapat penghormatan mereka sahaja? Adakah segala nasihat dan peringatan saya kepada mereka telah saya amalkan terlebih dahulu? Adakah saya sentiasa istiqamah dengan dakwah saya kepada mereka?

Hampir sahaja jawapan bagi persoalan itu menjurus ke arah negatif. Sebagai pendakwah, sama-sama kita renungkan. Kealpaan madu'u(orang yang diajak ke arah kebaikan) kekadang disebabkan kealpaan para pendakwah. Ingatlah bahawa hidayah dan petunjuk adalah milik Allah. Pendakwah hanya mampu berusaha, berdakwah, dan berdoa, tetapi yang menggerakkan hati madu'u ke arah kebaikan ialah Allah. Put trust on Allah!

Justeru, andaikata dakwah kita selama ini kurang berhasil, janganlah hanya meletakkan kesalahan pada para madu'u. Refleksilah diri kita terlebih dahulu. adakah kita sudah benar-benar thiqah dalam dakwah kita untuk mengharapkan keredhaan Allah? Sememangnya dakwah itu sangat-sangat susah kerana syurga itu manis....
Wallahu a'lam.


Ayuh muhasabah diri wahai para daie' ilallah...
Giatkan dakwah, mantapkan tarbiyah!!

Pandai cakap tapi tiada ilmu

Selalunya orang yang pandai bercakap ini sering dianggap orang yang banyak ilmu. Atau adakah orang yang pandai menyusun kata ini hanya seorang yang beromong kosong sahaja. Bagi saya, orang yang pandai bercakap tidak semestinya mereka yang berilmu tinggi manakala orang yang berilmu tinggi pula tidak semestinya orang yang pandai berbicara.

Baru-baru ini persatuan di sini mengadakan pertandingan debat, pidato, wacana minda dan syarahan dengan tujuan untuk mencungkil bakat. Saya teringin sekali menyertainya tetapi apabila memikirkan sekalipun saya pandai berkata-kata tetapi tidak mempunyai ilmu di dada, apalahlah guna kata-kata itu jika tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Kemudian, apabila menyaksikan sendiri pertandingan itu, diri saya terasa sangat kerdil. Manakan tidak. Semua peserta yang bertanding semuanya hebat-hebat belaka. Saya melihat mereka yang bertanding mempunyai kombinasi dua elemen iaitu ilmu dan kemahiran bercakap. Dengan adanya dua elemen ini, apa yang disampaikan mereka mampu meresap ke dalam sanubari penonton.

Alhamdulillah,pertandingan mencari bakat itu menjadi batu loncatan untuk saya terus mengasah bakat yang terpendam untuk dikeluarkan isinya pada masa-masa akan datang. Saya bukanlah ingin mengatakan bahawa saya ini seorang yang sangat berbakat tetapi bagi saya bakat itu boleh dipupuk dan dilatih untuk menjadi sesuatu yang lebih baik.

Seringkali saya berasa rendah diri untuk mengembangkan kebolehan berkata-kata yang Allah pinjamkan kepada saya dengan alasan tiada ilmu yang banyak di dada sama ada ilmu tentang isu semasa, ilmu agama, ilmu psikologi mahupun apa-apa ilmu yang hebat seperti mana hebatnya ilmu Allah yang disampaikan oleh mana-mana pendebat mahupun pemidato.

Tetapi, saya tersedar bahawa Allah tidak menjadikan hamba-Nya ini dengan sia-sia, justeru saya tekadkan hati mulai sekarang untuk terus menggali ilmu Allah disamping terus memperbaiki cara berkomunikasi dengan harapan selepas ini saya mampu untuk menonjol ke hadapan bagi menyampaiakn ilmu Allah dengan cara yang terbaik. Inilah juga cara yang perlu dimiliki oleh seorang pendakwah dalam mendekati dan membawa masyarakat ke arah kebaikan.

Demi Islam, saya harus bangkit. Tiada ilmu walaupun pandai berbicara bukan alasannya untuk mengabaikan anugerah Allah itu. Tiada kemahiran berucap walaupun ada ilmu bukan pula alasannya untuk tidak menyampaikan ilmu tersebut seperti mana ungkapan hadis Nabi SAW yang selalu didengari,"sampaikan dariku walaupun satu ayat".

Ayuh teman-teman kita menderap langkah untuk sama-sama kita garap dan bina kembali diri kita. Allah tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Allah meanugerahkan kita dengan kelebihan, jadi janganlah kita mensia-siakannya. Allah tidak menjadikan kita bodoh tetapi Allah menjadikan kita dengan kepintaran yang berbeza-beza.


Sama-sama muhasabah diri dan beramal...Moga Allah redha!!
Wallahu a'lam.

Mak, Abah!...aku rindu kamu

Tetiba sahaja perasaaan ini kangan sama mak dan abah,
Dua purnama aku di perantauan,
Di kala pemergianku menadah ilmu,
Terasa sudah terlalu lama aku berjauhan.

Kini ku mula rasai betapa indahnya saat itu,
Saat aku diberi peluang menolong mak abah,
Saat aku mampu mengucup dahi mereka,
Saat aku mencium tangan mereka.

Di kala aku merindui semua itu,
Aku sedar,
Aku sudah jauh daripada mereka,
Jauh di mata dekat di hati.

Penyesalan kekadang bertandang,
Alangkah kalau aku menghargai mak abah,
Tatkala mereka di sisi,
Namun, semuanya tidak bereti lagi.

Cukuplah dalam kejauhan ini,
Kutitipkan doa buat mak dan abah,
Kukhabarkan kejayaan yang gemilang buat mereka,
Walaupun hanya kumampu,
Dengari suara mereka sahaja.

Hakikatnya aku tak pernah lupa mak abah,
Dan aku harap sangat-sangat,
Aku tidak sekali-kali lupa mereka,
Apatah lagi mengabaikan mereka.

Ya Allah ampunilah dosaku terhadap mak abah,
Mak abah, redhailah aku,
Moga Dia jua meredhaiku,
Doakan aku dapat mendakapmu,
Dengan segulung ijazah di tanganku,
Untuk memanfaatkan insan di tanah airku.

Aku rindu sangat-sangat kamu,
Wahai mak abahku!!!


Di sebalik kain kecil ini



Di sebalik kain kecil ini,
Aku merasakan ketenangan,
Menikmati kedamaian,
Wajahku terpelihara daripada pandangan,
Menutup pintu fitnah wanita
Fitnah paling besar akhir zaman ini,
Hamdalah...“Alhamdulillah”.

Adanya kain kecil di mukaku,
Belum tentu mataku bebas meliar,
Belum tentu aku sudah solehah,
Belum tentu aku orang baik,
Kupakainya kerana siapa?
Kututup mukaku kerana apa?
Adakah ingin menunjuk aku baik?
Adakah untuk memikat lelaki beriman?

Ingatlah wahai hati,
Pakailah kain ini kerana Allah,
Bukan kerana manusia semata-mata,
Bukan kerana persekitaran cuma,
Pakainya bukan untuk memperlekeh,
Wanita yang tak memakainya.

Pakailah kerana-Nya,
Moga diredhai-Nya,
Moga disukai-Nya ,
Moga diberkati-Nya,
Moga ianya menjadi saham di akhirat kelak.
Amiin…..

Indahnya Doa

Salam mujahadah daripada saya buat semua...semoga dalam inayah-Nya selalu.

Alhamdulillah, tadi semasa kelas khat, ustaz menyuruh kami menulis satu ungkapan dalam tulisan khat rika'h. Ungkapan tersebut daripada seorang ulama tetapi tidak diketahui namanya.

في الوقت الذي يريد لا في الوقت الذي تريد

Maksud ungkapan berhikmah ini ialah pada waktu yang Dia mahu, bukan pada waktu yang kamu mahu. Apa yang ustaz terangkan kepada kami dalam kelas khat tadi ialah sebagai hamba, kita akan berdoa apa-apa sahaja. Contohnya berdoa supaya diberikan kemahiran dalam khat. Apa yang kita hajatkan pasti akan terkabul tetapi bukan pada waktu yang kita inginkan tetapi pada waktu yang Allah kehendaki.

Ustaz turut berpesan kepada kami untuk sentiasa berdoa kerana doa kita pasti akan dimakbulkan Allah, cuma cepat atau lambat ataupun Allah memakbulkan dalam bentuk yang lain. Anda boleh merujuk kembali post saya yang lepas tentang cara Allah makbulkan doa (klik sini)

Sama-samalah kita beramal, insya Allah....Terima kasih ustaz atas nasihat itu...moga Allah redha.
Wallahu a'lam.

Raya Yang Istimewa


Salam mujahadah dan selamat berjuang sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian. Hari ini, saya cuma ingin berkongsi pengalaman beraya buat pertama kali di perantauan.

Alhamdulillah, suasana raya Aidil Adha di bumi Mu'tah ini seperti raya Aidilfitri di Malaysia. Ziarah-menziarahi, memenuhi undangan rumah terbuka, melapah daging korban secara beramai-ramai dan yang paling best dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Apa yang buat saya bersyukur dan teruja sangat-sangat ialah saya dapat kenal ramai orang. Kalau dahulu, ada senior yang pernah jumpa tapi kemudian tak ingat nama. Ada senior yang langsung tak pernah jumpa. Tapi, apabila saling menziarahi semasa raya ini, nama mereka sudah lekat di ingatan dan dapat berkenalan dengan mereka yang langsung tidak pernah berjumpa. Alhamdulillah.

Semalam pun saya baru sahaja menziarahi sahabat dari Thailand. Subhanallah, walaupun hidup mereka simple, tapi melihat kesungguhan mereka yang lebih daripada kami pelajar Malaysia, diri terasa sangat kerdil apatah lagi tatkala mengetahui satu sikap mereka yang sangat bagus iaitu mereka benar-benar mengaplikasikan bahasa arab dalam kehidupan seharian. Insya Allah, saya ingin mencontohi mereka.

Sejujurnya saya cakap bahawa saya tidak terlalu sedih beraya di perantauan walaupun tiada keluarga di sisi kerana sahabat-sahabat di sinilah keluarga baru saya sekarang. Namun, apa yang paling penting ialah bukan sekadar mengenali, bertaaaruf dengan sahabat-sahabat, makan beramai-ramai, ziarah rumah itu dan ini, tapi bagaimana kita menjaga ukhuwah dengan mereka. Maknanya, bukan sekadar waktu perayaan ukhuwah dipererat, tapi selama-lamanya sehingga ke syurga.

Antara cara mencapai kemanisan iman adalah dengan mencintai sahabat kerana Allah. Subhanallah, nampak senang kan? Tetapi, sejauh mana kita mampu aplikasikannya itu sesuatu yang agak sukar, tapi dengan mengambil ibrah pengorbanan dalam suasana Aidil Adha ini, kita mampu mencapainya kerana ukhuwah dalam persahabatan perlukan pengorbanan, bukan sahaja wang, tenaga mahupun masa bahkan kita terpaksa berkorban perasaan sendiri demi sahabat.

Apapun, sama-samalah kita menghargai sahabat kerana sahabat di kala suka mudah dicari namun sahabat di saat duka amat sukar didapati. Dalam mood raya ini, jangan lupa mengambil peluang bermaaf-maafan atas segala kekhilafan walaupun pada hakikatnya bukan semasa raya sahaja masa untuk meminta maaf. Semoga Allah redha dengan kita dan menerima setiap amalan yang kita lakukan kerana-Nya.

Salam ukhuwah daripada saya...mohon maaf atas segalanya.
Wallahu a'lam.

Kapas, Kertas, Kulit

Salam Aidil Adha buat semua. Semoga dalam naungan rahmat Allah selalu. Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaan Tuhan yang tidak terperi. Insya Allah hari ini saya ingin berkongsi tentang kapas, kertas, dan kulit. Kenapa saya memilih tajuk ni ye?? Mentang-mentang la musim korban, kulit dijadikan isu. Ada apa dengan 3K ini?? Sebenarnya apa yang saya ingin kongsikan ini saya petik daripada seorang senior dalam satu majlis sambutan raya di sini. Moga menjadi saham ilmu yang bermanfaaat di akhirat kelak.

Sebagai manusia yang lemah, kita selalu membeza-bezakan kapas, kertas dan kulit antara kita. Saya analogikan  kapas sebagai pakaian, kertas sebagai pangkat dan sijil yang kita peroleh, manakala kulit sebagai warna kulit dan bangsa kita.

Kita selalu mementingkan kedudukan yang tinggi, pakaian yang cantik-cantik, orang yang berwajah cantik tanpa memikirkan kedudukan orang lain dengan selalu meremeh-remehkannya. Sekali pun semua itu tiada dalam diri kita, tapi kita juga sering memuja-muja orang yang dianggap 'hebat' itu sehingga sanggup mengampu mereka dan melakukan apa sahaja untuk mereka bagi mendapat ganjaran.

Tanpa kita sedari, manusia ini hanyalah sama sahaja tidak kira pangkat, warna kulit, mahupun kekayaaan yang dimilikinya. Sesungguhnya manusia yang terbaik dalam kalangan kita di sisi Allah SWT hanyalah orang yang bertaqwa. Jika mereka lebih cantik, lebih kaya, lebih berpangkat, lebih hebat daripada kita sedangkan mereka pun daripada kalangan orang yang bertaqwa walaupun taqwa hanya Allah yang layak menilai, janganlah sedih kerana Allah menjadikan setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Saya mempunyai seorang rakan arab wanita yang sekuliah dengan saya yang bernama Rozan. Saya suka memerhatikannya. Saya selalu memuji Rozan di hadapan rakan Melayu saya. Saya selalu cakap yang Rozan ini sangat cantik seolah-olah saya sangat kagum pada kecantikannya. Kemudian, rakan saya yang bernama Hikmah menegur saya, " Takpe, Fatimah...Rozan kelebihannya cantik, tapi kita ada kelebihan pada sudut lain pula".

Sememangnya Allah menjadikan manusia ini tidak sia-sia. Lihat sahajalah pada proses penciptaan manusia yang sudah tiada taranya. Sudah pastinya penciptaan kita ini cukup cukup hebat. Cumanya, kelebihan yang kita ada ini perlu digilap dan diasah. Ops!! bukan sekadar perlu digilap, bahkan WAJIB dicungkil dan diasah supaya dengan kelebihan ini, kita mampu mengimarahkan dunia yang sementara ini dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini.

Semoga sama-sama kita muhasabah diri.
Segala KAPAS, KERTAS dan KULIT hanyalah pinjaman Allah kepada kita.
Dengannya kita mampu menjadi insan yang terbaik.
Walaupun KAPAS, KERTAS dan KULIT kita tidak hebat, tetapi Allah menjadikan kita sebagai seorang yang sangat HEBAT....

Ayuh menjadi orang hebat....
Wallahu a'lam.

Salam Aidil Adha


Salam beribadat buat semua.
Mungkin tidak terlalu awal saya hendak mengucapkan Salam Aidil Adha buat semua pengunjung blog ini.
Jadual sepanjang cuti raya, pastinya sibuk.(saya pun sibuk)
Apapun, penuhilah masa cuti raya ini untuk sama-sama kita tingkatkan ibadat kepada Allah.
Tapi ingat, beribadah bukan hanya pada masa tertentu sahaja kerana seluruh hidup kita adalah ibadah.
Salam Aidil Adha dan selamat menjalani ibadah korban.
Mohon maaf atas segala keterlanjuran bicara dan tutur kata.
Kullu 'am wa antum bikhoir.
Wallahu a'lam...

Usaha Mesti Sehabis Daya

Salam mujahadah buat semua. Semoga iman anda dalam keadaan 'sihat' selalu. Hari ini saya baru sahaja selesai imtihan awal subjek ikhtiari (subjek pilihan) iaitu Mabadi' Tarbiyah Arriyadhiyah. Subjek ini berkenaan sukan. Sukan Olimpik, sukan zaman dahulu di India, Cina, sifat-sifat atlet dan banyak lagi berkenaan sukan.

Alhamdulillah, soalan yang diberi dapat dijawab semuanya dengan baik tetapi sejauh mana kesahihan jawapan, saya berserah sepenuhnya kepada Allah. Saya hanya mampu berusaha dan menjawab yang terbaik dalam peperiksaan, tetapi, yang memberikan natijahnya, sama ada cemerlang atau kurang cemerlang tidak lain dan tidak bukan hanyalah Allah SWT.

Tetapi, tiba-tiba sahaja saya kembali berfikir, "Benarkah aku sudah buat yang terbaik dalam ujian tadi? Kenapa aku hanya membaca satu nota sahaja sedangkan soalan yang keluar tadi terdapat dalam nota yang lain?"

Terasa menyesal pula kerana saya hanya bergantung dengan satu nota sahaja, akibatnya ada soalan yang saya jawab mengikut kefahaman yang sedia ada sahaja(saya redah je jawab ikut logik). Kalaulah saya study juga nota yang satu lagi. Astaghfirullah, tak baik sebut kalau, kalau ni.

Adakah ini yang dikatakan usaha sehabis daya? Bagi saya usaha saya kali ini untuk peperiksaan hari ini masih lagi  bukan usaha yang sehabis daya kerana saya kembali berfikir, usaha yang sehabis daya ialah apabila kita tidak mampu hendak menyangkal lagi usaha kita. Maknanya, semuanya kita sudah laksanakan, tinggal lagi bertawakkal kepada Allah atas usaha yang telah dibuat.

Saya bagi contoh, saya akan menduduki satu peperiksaan, jadi saya mengulangkaji semua nota yang saya ada. Nota daripada kawan-kawan mahupun nota rujukan saya sendiri. Apabila masa peperiksaan hampir tiba, saya bertanyakan diri saya sendiri, "Apa lagi yang perlu aku ulang kaji ni? Nota semuanya sudah baca, faham dan hafal, solat hajat tak tinggal, doa selalu buat, apa yang tak faham dah tanya pada orang lain, tinggal lagi buat yang terbaik dalam exam dan tawakkal." Semuanya sudah dibuat, sehinggakan apabila checklist kembali, dah tak tahu nak buat apa lagi dah.

Tapi, benda yang dah jadi hari ini, tak usah nak dikesalkan.(saya cuba pujuk hati saya) Apa yang terjadi, baik dan buruk semuanya dalam percaturan Allah, tetapi tidak semestinya apa yang buruk itu tidak mampu menjadi yang lebih baik pada masa akan datang. Selagi keputusan sesuatu usaha itu belum diperoleh, masih ada lagi usaha yang perlu terus, terus, dan terus dilaksanakan iaitu DOA dan TAWAKAL.

Hanya pada-Nya sahaja saya berserah. Semoga Allah memberikan saya dan anda semua kejayaan yang cemerlang yang diberkati dan diredhai dalam apa jua yang kita laksanakan. Semoga perkongsian saya kali ini dapat menjadi muhasabah dan pedoman buat anda semua. Saya mohon maaf atas segala kekhilafan.
Wallahu a'lam.

Malam seorang Imam

IMAM ABU HANIFAH R.A

Dari belakang dinding rumah seorang gadis kecil, pada setiap malam dia sering melihat bayang-bayang pohon yang melintang di sebelah rumahnya. Anehnya, bayangan itu hanya kelihatan pada waktu malam. Setiap malam apabila mengintip dari celah-celah dinding rumah, ia akan melihat bayangan pohon itu. Padanya kejadian itu agak menakutkan, seperti  ada bayangan orang yang hendak menghampiri, tapi lama-kelamaan ia jadi terbiasa dengan kehadirannya.

Namun pada suatu malam, gadis kecil itu tidak mampu melihat pohon yang melintang di sebelah rumahnya, begitu juga dengan malam-malam berikutnya. Seperti ada yang hilang, ia bertanya pada si nenek yang sentiasa menemani waktu tidurnya.

"Nek, malam-malam sebelum ni  aku selalu lihat bayangan pohon yang melintang di sebelah rumah kita. Tapi sekarang sudah tidak kelihatan. Ke mana pohon itu  nek? Ditebang ke? Atau mungkin sudah tumbang ? “

Mendengar pertanyaan cucunya, si nenek pun menangis.

Seminggu yang lalu tetangga  mereka, Imam Abu Hanifah RA baru saja meninggal dunia. Sebagai ulama muttaqin, setiap malam beliau mengerjakan solat malam (qiyamulail). Begitu khusyu' , khudu’ dan tuma'ninahnya seorang Imam berdiri mengerjakan solat di keheningan malam sehingga gadis kecil di sebelah rumahnya menyangka dirinya bagaikan pohon besar yang bayangannya melintang di rumah gadis kecil itu.




 SubhanAllah ! Alangkah indahnya sekiranya kita hari ini sebagai 'penuntut ilmu' mampu menghidupkan malam seperti mana Imam Abu Hainfah menghidupkan malamnya.
Siang harinya penuntut dan pengajar ilmu, malam harinya seorang ‘abid laksana pohon, khusyu, khudu’ dan tuma’inah berdiri menghadap Rabbul Jalal !
Pada hari ini  dikenang sebagai seorang ulama’ yang membawa rahmat buat umat. Contohi mereka, mereka pedoman buati kita. 

Wallahu'alam.
 

p/s: saya copy paste daripada orang lain sahaja...untuk pedoman semua.

Ada jodoh tak ke mana

Salam cinta kerana Allah semuanya. Tiba-tiba sahaja bercakap tentang jodoh. Wah, ada sesiapa yang akan mendirikan masjid ke? Takdelah. Cumanya, mengingatkan hari itu persatuan di sini ada mengadakan kenduri kesyukuran mutazawij bagi pasangan-pasangan Malaysia yang sudah pun berumah tangga, jadi terasa ingin mencoret tentangnya.

Saya cukup tersentuh dengan kata-kata seorang ustaz semasa majlis kenduri itu yang mana beliau sempat berpesan dengan menekankan persediaan ke alam perkahwinan perlu disiapkan di usia remaja lagi, bukan sebelum berkahwin supaya bait muslim yang terbina mampu mencorakkan generasi yang bertaqwa pada masa akan datang. Daripada individu muslim yang bertaqwa melahirkan bait muslim yang bahagia sekaligus menyerlahkan masyarakat yang sentiasa hidup dalam syariat Islam yang syumul ke arah pembentukan daulah islamiyah yang dimpi-impikan.

Saya ini sebenarnya tidak layak untuk bercerita tentang hal ini memandangkan umur pun masih setahun jagung kata orang. Cuma berdasarkan pengalaman sahabat-sahabat di sekeliling saya, dapatlah saya mengambil ibrah sedikit banyak daripada mereka. Ada seorang sahabat saya sudah pun bertunang, ada juga yang sedang hangat menjalinkan hubungan dengan 'seseorang'. Ada juga sudah diikat dengan satu ikatan tidak rasmi (sudah dicop orang).

Ada juga seorang senior saya yang pernah bercerita kepada saya bahawa sangat susah hendak menjaga hati dalam kalangan sesama sahabat yang bukan mahram. Apatah lagi, apabila berada di tempat belajar yang sama, bekerja di tempat yang sama, bahkan berchatting dalam satu laman yang sama. Dalam melaksanakan urusan dakwah pun, hati boleh tergugat, apatah lagi urusan-urusan lain.

Apa pun, perlu diingat bahawa perhubungan lelaki dan perempuan yang diredhai Allah hanya adalah selepas saat ijab kabul dilafazkan. Bukan ketika hati mereka sudah berpunya tanpa apa-apa ikatan. Sebab itulah, hati perlu dijaga dengan sebaik mungkin supaya tidak terjerumus ke arah kelalaian duniawi. Sememangnya perasaan ingin mencintai dan dicintai itu fitrah yang tidak boleh dihalang, tetapi perlu dikawal.

Ingatlah dan yakinlah bahawa jika ada jodoh pasti takkan ke mana. Asalkan kita terus mempersiapkan diri ke arah jalan yang diredhai Allah, Allah pasti akan menetapkan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.
Wallahu a'lam.




Jahiliyah Moden


Alhamdulillah, syukur dipanjatkan atas nikmat iman dan islam kurnian-Nya. Sebut pasal iman ini, kita semua maklum iman yazid wa yankus. Bertambah dan berkurang. Tetapi hendak menstabilkan iman adalah sesuatu yang sangat sukar. Inilah pentingnya mujahadah. Jika kuat mujahadah, selamat iman, jika lemah jihad nafsu daalm diri, alamatnya jatuh iman kita.

Walaupun zaman sekarang bukan lagi zaman jahiliyah, tetapi jahiliyah moden yang menyerang masyarakat kini menjadi faktor utama lemahnya iman apatah lagi kurang mujahadah yang dilakukan. Saya sendiri pun masih lagi dalam proses bermujahadah dan mujahadah ini bukannya boleh dilakukan sekali dua, bahkan berterusan dari hari ke hari, jam ke jam, hatta dari saat ke saat nafas kita masih dapat dihirup.

Kekadang, nafsu yang membuak-buak mendorong kita ingin melakukan perkara yang kita anggap hanya untuk menghiburkan kita, tetapi hal itu melalaikan sehingga lupa pada batas-batas agama sehingga solat diabaikan, kerja-kerja Islam tertangguh, ilmu yang dipelajari terkubur begitu sahaja dan bermacam-macam lagi kesan-kesan negatif.

Cukuplah pengalaman saya sendiri menjadi iktibar. Kekadang melayan drama-drama Korea memang menyeronokkan. Alasannya untuk release tension selepas penat belajar. Tetapi tanpa sedar hati terganggu, dirasakan ada sesuatu yang lain dalam jiwa. Ketenangan seolah-olah diragut. Jahiliyah moden telah merosakkan hati walau dari segi luarannya masih kelihatan terjaga.

Tetapi, setelah saya merasakan hal itu (drama Korea) telah 'memusnahkan' diri saya, akhirnya saya diberi kekuatan untuk permanently delete semua fail cerita itu. Alhamdulillah, saya rasa seperti dilahirkan semula. Rasa tenang sangat-sangat. Selama ini terasa jauh daripada Allah, kini tidak lagi. Harap-harap tidak sama sekali. Sekalipun diuji, harapnya janganlah ujian itu menjauhkan diri saya daripada-Nya.

Jiwa saya makin terhibur dan riang apabila saya memaklumkan kepada rakan dan senior saya bahawa saya telah 'membunuh' jahiliyah moden itu, mereka serta merta mengucapkan tahmid. Saya tersentuh sangat-sangat. Barangkali mereka selalu mendoakan saya dan terlalu ingin melihat saya jauh daripada kelalaian duniawi yang sementara cuma.

Alhamdulillah sangat-sangat. Oleh sebab itu, saya rasa terpanggil untuk berkongsi rasa gembira, tenang dan tenteram ini kepada anda semua. Kini, saya sedang menyibukkan diri untuk menghiburkan diri dengan sinar-sinar Islam. Jikalau kelapangan, sedaya upaya saya cuba untuk memenuhinya dengan tontonan ceramah-ceramah agama dan video yang memberi semangat dalam jiwa.

Saya tidak mempunyai kuasa untuk menyuruh anda meninggalkan semua karat jahiliyah dalam diri masing-masing kerana saya sendiri pun masih bertatih untuk mujahadah dan masih belum mampu mencapai darjat ketaqwaan yang tinggi, tetapi semoga pengalaman yang saya kongsikan kepada anda mampu menjentik pintu hidayah daripada Allah kepada anda, insya Allah disamping mujahadah dan doa yang sentiasa dipanjatkan pada-Nya.

Cumanya, bagi saya (yang masih belum kuat mujahadah), menghapuskan sumber-sumber yang boleh membawa kepada jahiliyah moden yang berupa hiburan yang melalaikan jiwa sangat WAJIB dilakukan. Kenapa?? Kerana iman manusia ini ada naik dan turunnya, tetapi dikhuatiri apabila iman kita lemah, kita akan terjerumus kepada kesesatan yang lebih teruk, nau'uzubillah.....semoga dijauhkan darinya.

Rasanya sekadar itu dahulu perkongsian saya. Bukanlah saya ingin membuka pekung di dada sendiri, cuma apa yang dinukilkan di sini diharapkan mampu menjadi peringatan buat anda dan diri saya terutamanya supaya kita sama-sama menjadi insan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga beramal dan ilmu yang diperoleh bukan untuk kebaikan sendiri semata-mata tetapi mampu bermanfaat buat insan yang lain.

Ampun maaf dipinta atas segala kekhilafan diri saya yang hina ini. Wallahu a'lam.

Khat oh Khat

Salam perjuangan buat semua. Terasa telah lama mengabaikan laman ini. Jutaan kemaafan dipohon. Kali ini saya hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman, moga dapat menjadi iktibar buat semua, insya Allah.

Baru-baru ini saya telah mendaftarkan diri dalam satu kelas khat yang dianjurkan persatuan di sini. Mula-mula dapat tahu ada kelas khat, saya punyalah gembira. Gembira sangat-sangat kerana sebelum ini saya tidak pernah berpeluang untuk belajar khat dengan lebih mendalam.

Tapi, kali ini saya mengambil peluang itu. Barangkali dahulu, peluang sudah terbentang di depan mata, tapi mungkin saya sahaja yang mengendahkannya. Tatkala mula-mula menyertai kelas khat itu, saya rasa sedih sangat. Sedih apabila melihat tulisan rakan-rakan yang cukup cantik. Dengki pun ada masa itu. Astaghfirullah.

Apabila mula-mula tulis khat, susahnya Ya Allah, sehinggakan saya rasa macam hendak berputus asa dan tidak ingin lagi hadir untuk kelas kali kedua. Pada hari kelas khat kali kedua diadakan, saya paksa juga diri saya. Alhamdulillah, perasaan saya sangat berbeza. Tiba-tiba sahaja saya merasakan Allah menghadirkan kemudahan dalam diri saya. Saya rasa sangat bersemangat dan walaupun tulisan saya masih belum cantik, tetapi lebih baik daripada sebelumnya.

Mulai saat itu, saya tekad. Saya tidak akan berputus asa. Saya akan terus istiqamah dan berusaha. Minat boleh dipupuk dan hasil yang terbaik akan datang dengan semangat juang yang tinggi. Wah! berapi-api ayat. Kalau hendakkan hasil yang totally perfect dalam masa tidak sampai sehari, ianya sesuatu yang agak mustahil. Practice makes perfect. Jadi kena banyakkan latihan. Insya Allah, boleh!!

Jika kita kembali kepada sirah Rasulullah saw, bagaimana Baginda sendiri berjaya dalam dakwahnya setelah 23 tahun berdakwah. Bukan dalam masa sehari dua Baginda berjaya menyampaikan Islam kepada umat, tetapi dalam tempoh yang sangat lama. Tetapi, adakah Rasulullah saw berputus asa dan berpaling daripada jalan dakwah??Tidak sama sekali.

Semoga semangat perjuangan Baginda menjadi inspirasi buat saya dan anda semua dalam melakukan sesuatu perkara yang bermanfaat. Sekalipun hal itu cukup simple dan mudah, tetapi jangan sesekali pandang enteng terhadap hal tersebut. Cukup sekadar itu dahulu. Semoga Allah meredhai kita semua.

Wallahu a'lam.

Solat Subuh dulu ye!!


Salam mahabbah buat semua pengujung dan follower laman ini, semoga diberkati selalu. Semasa saya menghadiri satu kelas tambahan Ulum Quran, ustaz yang mengajar itu membawakan satu kisah buat kami. Kisah ini berkenaan seorang pensyarah yang agak syadid dan beliau dikatakan boleh mengetahui sesuatu yang tidak dapat dijangkakan oleh para pelajar.

Suatu hari, seorang pelajar perempuan masuk lewat ke kelas pensyarah tadi. Dalam kelam kabut budak itu ingin masuk ke kelas tetapi sempat ditahan oleh pensyarah tadi. Tiba-tiba, pensyarah itu menyuruh perempuan tadi solat Subuh terlebih dahulu sebelum masuk ke kelas. Pelajar perempuan itu sangat terkejut. Rupa-rupanya, disebabkan dia bangun lewat daripada tidur kerana sudah kelewatan ke kuliah, dia tidak sempat menunaikan solat Subuh dan hal ini diketahui oleh pensyarah tadi.

Tatkala mendengar kisah itu, saya sangat kagum dengan pensyarah itu. Dalam fikiran saya, pensyarah itu semestinya seorang yang mempunyai hubungan yang kukuh dengan Allah sehingga Allah mengurniakan kelebihan sebegitu kepada beliau. Saya masih belum berkesempatan untuk menuntut ilmu dengan beliau, tetapi saya amat berharap suatu masa nanti saya diberi peluang bertemu empat mata dengan beliau.

Apapun, semoga kisah yang saya kongsikan dapt menjadi pengajaran buat semua. Jangan sesekali meninggalkan solat walau apa cara sekalipun. Sekalipun orang lain tidak nampak dan tahu perbuatan anda, tetapi Allah itu Maha Mengetahui. Selamat beramal.....Wasssalam, wallahu a'lam.

Bahasa Arab atau Syariah??

Salam perjuangan buat semua yang mengunjungi laman "lihat, fikir, amal". Semoga anda semua dirahmati dan diberkati Allah sentiasa. Kenapa saya menimbulkan persoalan yang tiada jawapan ini? Tidak mengapa tapi sekarang saya ingin menimbulkan persoalan lain yang mungkin membantu menjawab soalan di atas. Agak-agak anda apabila seseorang pelajar yang berkelulusan ijazah dari Timur Tengah pulang ke kampung halamannya, adakah orang kampungnya akan bertanyakannya sama ada dia itu mengambil jurusan bahasa arab ataupun syariah?

Sebagai contohnya, katakanlah saya ini berkelulusan syariah, kemudian seorang guru sekolah agama meminta bantuan saya untuk mengajar bahasa arab di sekolahnya. Namun, adakah wajar saya menolak atas alasan saya belajar syariah?? Contoh kedua, saya berijazah bahasa arab. Kemudian, seorang mak cik di kampung saya bertanyakan saya hukum-hakam berkaitan hal-hal wanita. Adakah saya juga wajar untuk tidak menjawab persoalan mak cik itu kerana saya tidak belajar syariah??

Apakah perasaan guru sekolah agama dan mak cik tadi jika saya menjawab sedemikian rupa. Apabila seseorang pulang dengan ijazah dari negara arab seperti Mesir, Jordan, Syria dan sebagainya, masyarakat tidak akan bertanya apakah pengkhususannya, tapi pada anggapan mereka, pelajar ini mampu membicarakan soal hukum hakam dan dapat mengajar bahasa arab di mana-mana tempat, walaupun pada hakikatnya pelajar itu tidak mengambil bidang tersebut.

Pada pendapat saya--ini hanya pendapat--menjadi satu cabaran yang besar buat pelajar yang mengambil jurusan bahasa arab kerana mereka sebenarnya perlu juga belajar Syariah. Namun, cabaran itu pasti dapat diatasi kerana kelebihan berada di bumi anbiya' membolehkan ilmu tentang Usuluddin mahupun Feqh dan Usul mampu dipelajari walaupun secara tidak formal sama ada dengan bertalaqqi dengan syeikh-syeikh, alim ulama' ataupun sahabat-handai sendiri.

Bagi pelajar Syariah pula, cabaran yang perlu dihadapi adalah mereka perlu lebih tekun dalam mendalami bahasa arab dan subjek Syariah sekali gus. Hal ini kerana mereka belajar Syariah dalam bahasa arab, malah pemahaman dalam Syariah dapat dikukuhkan dengan penguasaan bahasa arab. Apatah lagi, apabila pulang ke tanah air nanti, mereka turut dipertanggungjawabkan untuk menjelaskan bahasa al-Quran yakni bahasa arab kepada masyarakat.

Kesimpulannya, mengambil jurusan bahasa arab ataupun syariah sebenarnya sama sahaja dan perlu dikuasai oleh semua pelajar agama di negara Timur Tengah. Masyarakat kini masih terkontang kanting menanti hadirnya insan yang sudi mengajar mereka kalam Yang Maha Esa beserta ilmu-ilmu-Nya. Jadi, pelajar-pelajar jurusan agamalah yang diharapkan untuk menyuburkan kembali kekeringan hati masyarakat. Bukan sahaja pelajar agama yang belajar di Timur Tengah, namun tanggungjawab ini turut diberatkan atas semua pelajar agama di Malaysia, bahkan semua individu yang telah mempunyai kesedaran terhadap agama untuk kembali menyedarkan masyarakat...ummah akhir zaman ini...saudara seislam kita.

Ayuh semua....
Tidak kira siapa kamu, pengajian kamu, pekerjaan kamu, atau apa-apa sahaja,
Kita maju mengorak langkah,
Mengajak yang makruf, mencegah yang mungkar,
Demi kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.

Baca Kitab Arab

Apabila belajar di negara arab, pasti selalu bercakap arab dan baca pun kitab arab.
Aduhai, kitab arab....
Macam susah je kan.
Tapi, mula-mula memang susah tapi lama-lama mudah la kan.

Allah ada berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan"
"Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan"




Pesan Kak Siti Fatimah Mohd : 'Mula-mula bacalah kitab yang nipis seperti buku cerita, cepat habis, tak bosan sangat. Kemudian, biasakan baca kitab tebal. Kalau tak faham, cari maksud dalam kamus.'
Alah bisa tegal biasa.
Kalau nak senang, mesti kena rasa susah dulu.
Siapa yang berusaha pasti akan berjaya.

Yehhhh...Fatimah boleh.
Macam mana boleh yakin sangat ni??
Sebab.....
Allah ada bersama.
Insya Allah boleh!!!

Bacaan Yang Menyelamatkan Diri


Salam mahabbah buat semua. Semoga dalam rahmat dan inayah Allah selalu. Insya Allah, saya ingin merasmikan post Oktober tahun ini dengan satu perkongsian. Sebuah kisah yang menarik dan memberi pengajaran buat saya. Moga begitu juga dengan anda.

Kisah ini merupakan sebuah kisah benar yang dialami oleh seorang kakak senior di universiti saya. Rasanya tidak perlulah saya menyebut namanya namun, kisah ini memang beliau sendiri yang menceritakan kepada kami para junior tahun satu.

Kisahnya bermula pada suatu hari di rumah yang diduduki beliau dan rakan-rakan yang lain. Memang menjadi kelaziman beliau mengamalkan bacaan mathurat selepas menunaikan solat asar. Tetapi, kebetulan selepas beliau membaca mathurat, ahli rumah yang lain keluar kerana ada hal. Malangnya mereka keluar rumah tanpa menutup pintu utama rumah. Barangkali terlupa.

Tidak lama setelah itu, beliau keluar dari biliknya dan kelihatan ada seorang lelaki arab yang masuk ke rumahnya dan lelaki itu bertindak ingin menutup pintu rumah. Beliau sangat tergaman. Beliau memandang lelaki itu tanpa berkata-kata. Begitu juga lelaki arab itu. Mereka hanya saling memandang antara satu sama lain. Wah...wah...wah... main mata nampak!!He..He...Namun, tidak semena-mena lelaki arab itu tidak jadi menutup pintu malah segera keluar dari rumahnya.

Senior bersyukur kerana lelaki itu keluar dari rumahnya tetapi beliau pelik kenapa lelaki itu keluar begitu sahaja. Padahal beliau langsung tidak mampu berbuat  apa-apa waktu itu. Sebenarnya boleh sahaja lelaki arab itu menutup dan mengunci pintu rumah beliau dan mengambil apa-apa sahaja barang sebagai produk rompakannya, namun tidak sama sekali. Dalam hati beliau, beliau amat yakin bahawa itu semua adalah berkat bacaan mathuratnya sebentar tadi. Dengan izin-Nya, Allah telah menyelamatkannya daripada perkara yang tidak diingini. Alhamdulillah.


Saya yang mendengar kisah itu turut tergaman. Tidak dapat saya bayangkan jika perkara itu berlaku pada saya. Nau'uzubillah. Tetapi kisah ini mengajar saya agar meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Malahan, bacaan al-Quran dan mathurat perlu sentiasa diamalkan walau dimana-mana pun berada. Yang mendatangkan ujian itu hanyalah Allah dan yang menyelamatkan kita daripada ujian juga Allah, jadi hanya Dia tempat kita berharap, berdoa dan memohon perlindungan.

Semoga kisah yang saya kongsikan ini memberi ruang kepada kita untuk mengubah kembali tabiat hidup kita. Walaupun perubahan yang dilakukan bukanlah 360 darjah sekali gus, namun, biarlah perubahan hidup kita menjurus dan meningkat ke arah itu. Semoga Allah meredhai kita dan menyelamatkan kita daripada bencana dunia dan akhirat.

Terima kasih buat kakak yang sudi berkongsi kisah yang walaupun ringkas tetapi penuh pedoman untuk bekalan hari mendatang. Jazakillah!!

Wallahu a'lam.

Doa Permudah Bicara

"Ya Tuhanku lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, lepaskanlah kekakuan daripada lidahku, agar mereka mengerti bicaraku"

Doa ini sebenarnya dibaca oleh Nabi Musa a.s yang dicatat dalam al-Quran, surah Taaha ayat 25 -28. Nabi Musa memohon pada Allah dengan membaca doa ini ketika mana baginda ingin menghadapi Firaun yang zalim lagi kejam yang mengaku dirinya sebagai tuhan, semoga baginda dimudahkan dalam urusan dakwah baginda kepada Firaun.

Sebelum memulakan sebarang ucapan, doa ini lazimnya dibaca dengan harapan apa yang disampaikan memberi kesan kepada pendengar dengan izin-Nya. Ketika menuntut ilmu, sebelum guru memulakan pengajarannya, doa ini sering kali juga dibaca. Tetapi, apa yang perlu diingati, bukan pelajar sahaja yang perlu membacanya namun doa ini sepatutnya dibaca juga oleh guru-guru apatah lagi yang ingin menyebarkan pengetahuan dan ilmu tidak lain tidak bukan adalah guru itu sendiri. Moga-moga pengajaran guru difahami pelajarnya.

Apa pun, ayuhlah kita sama-sama mengamalkan doa ini dalam segenap kehidupan kita dan jadikanlah doa ini kewajipan yang perlu dibaca selepas menunaikan solat. Semoga hati kita senantiasa dilapangkan Allah, urusan kita dipermudah dan segala kekeluan tutur bicara kita diuraikan agar sesiapa yang mendengar tutur kata kita memahaminya mendapat manfaat daripadanya, insya Allah.

Sesungguhnya, segala ilmu, hikmah, nikmat dan apa yang ada di langit dan bumi adalah milik Allah jua.
Subhanallah.......

Wallahu a'lam.

Sebaik-baik perancangan dan penentuan

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang.
Sungguh! Dialah sebaik-baik perancang dan penentuan.
Manusia hanya mampu merancang tetapi Allah lah yang menentukan.
Kekadang penentuan-Nya lebih daripada apa yang kita sangkakan.
Kasihnya Allah pada kita...Subahanallah...Alhamdulillah.
Tapi, ada ketika takdir-Nya kekadang menghampakan kita.
Opps! jangan sedih dan kecewa.
Ketahuilah bahawa Allah sedang menguji kita.
Sejauh manakah  kita bersyukur dengan-Nya.
Setinggi manakah kesabaran kita atas dugaan-Nya.
Allah tidak pernah zalim tapi kita yang zalim.
Astaghfirullah....

p/s : Saya sedang memujuk diri atas dugaan-Nya. Terasa happy sangat kerana apa yang dirancang kelihatan akan berjalan lancar. Namun, sangkaan saya meleset. Allah telah menguji dengan cabaran yang perlu dihadapi. Mungkin peringatan kerana terlupa bersyukur setelah perancangan yang saya lakukan baik-baik sahaja. Ataupun mungkin Allah ingin menguji kesabaran saya. Wallahu a'lam....Apa pun keampunan dimohon agar dosa dihapuskan. Doa turut dipanjatkan moga dipermudah segala urusan dan perancangan.

Allah sahajalah sebaik-baik perancang dan penentu....

Ukhuwwah itu indah


Alhamdulillah wa syukurillah kerana Allah masih mengizinkan saya untuk terus istiqamah menulis dalam blog ini walaupun tidak sekerap mana dan isi kandungan post tidaklah begitu menarik. Namun, setiap catitan kalam saya dalam blog 'lihat fikir amal' ini tidak lain tidak bukan adalah untuk peringatan buat diri saya yang hina ini dan semoga apa yang baik dijadikan pedoman buat anda semua.

Alhamdulillah, selama tiga hari saya selamat menyertai program Minggu Haluan Siswa (MHS) Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA). Ya Allah sukar untuk digambarkan dan diungkap dengan kata-kata tentang apa yang saya rasai selepas program ini. Syukur sangat -sangat. Untuk melaporkan semua aktiviti yang terdapat di dalamnya rasanya tidak mampu saya nukilkan cumanya apa yang begitu memberi makna dalam diri saya adalah berkenaan ukhuwah.

Sudah pastinya dalam mana-mana program untuk pelajar baru sekalipun, pasti ditekankan dengan nilai ukhuwah fillah iaitu berukhuwah semata-mata kerana Allah. Dalam MHS yang saya sertai ini, salah satu modul yang membuatkan saya lebih menghayati dan menghargai ukhuwah ialah makan bertalam iaitu satu talam dimakan oleh ramai orang. Ianya juga sememangnya budaya pelajar Malaysia di Jordan.

Namun, apa yang lebih, hebat dan beruntungnya saya ialah syarat makan bertalam itu ialah "tiada suapan untuk diri sendiri". Maknanya setiap ahli kumpulan tidak boleh makan sendiri tetapi hendaklah saling menyuap makanan antara satu sama lain.  Mungkin sesetengah orang menganggap perkara ini menggelikan dan mengotorkan tetapi bagi saya ia sebenanya menguji nilai ukhuwah dalam diri seseorang.

Apakah sanggup kita menyuap makanan ke dalam mulut orang lain? Orang itu mungkin akan menjilat jari kita dan kita terpaksa menyentuh mulut dan lidah mereka. Semua itu hanyalah sedikit jika ingin dibandingkan dengan rakan kita yang sanggup menggadaikan harta, tenaga, bahkan apa sahaja demi persahabatannya dengan kita. Tetapi mengapa rakan kita itu sanggup melakukan sedemikian? Tidak lain tidak bukan adalah kerana ukhuwah fillah...bersahabat semata-mata kerana Allah.


Alhamdulillah, ukhuwah diuji dan indah sekali andai dilakukan semata-mata kerana Allah walaupun terpaksa menyuap rakan sendiri. Tapi syukur yang teramat sangat kerana sekurang-kurangnya modul suap-menyuap itu dapat mengubat jiwa yang rindu terhadap ibu bapa tercinta tatkala teringat bagaimana mereka juga menyuap makan minum kita semasa masih kecil.

Walau apapun, di perantauan orang ini yang jauh daripada keluarga, hanya sahabat-sahabat dan ahli dalam persatuan sahajalah yang menjadi tempat bergantung di samping Allah yang paling utama. Merekalah ibu, merekalah bapa. Siapa lagi tempat meminta bantuan, sumber rujukan, dan bahu untuk menumpang sedih tawa kalau tidak sahabat-sahabat.

Tidak kiralah sahabat yang berada di Jordan, Malaysia, di blog 'lihat fikir amal' atau di mana-mana sahaja, semoga ukhuwwah yang terjalin kerana-Nya membawa kita semua ke syurga...insya Allah. Allahu Akbar!!!

Wallahu a'lam

Sebutlah Nama Allah

Alhamdulillah, sudah genap seminggu saya berada di bumi Jordan ini. Hamdalah sangat-sangat kerana semuanya baik-baik belaka setakat ini. Namun ujian yang menimpa benar-benar mengajar erti kesabaran dan keredhaan atas ketentuan Ilahi. Sesungguhnya baik buruk sesuatu perkara yang terjadi berada dalam suratan takdir-Nya.

Bukan senang untuk terus istiqamah dan mujahadah dalam perjalanan hidup kita kan? Setuju tak? Tapi mengapa ianya sangat payah dan sukar bak melalui onak duri? Sudah semestinya kerana syurga itu manis. Sebelum menjejak langkah ke bumi anbiya' ini, sering kali saya dinasihati supaya mentajdid niat iaitu selalu membetulkan niat datang ke Jordan untuk menuntut ilmu kerana Allah. Bukan sekadar berilmu, tetapi juga beramal. Moga-moga niat saya tidak tersasar...nau'zubillah.

Alhamdulillah sekali lagi walaupun sebenarnya tidak cukup syukur dengan hamdalah sahaja kerana saya dipertemukan dengan insan-insan yang banyak mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Antara insan yang dimaksudkan ialah sahabat saya sendiri iaitu Nor Arina Abdul Rahman. Wah! Seakan-akan ingin membuat biografi pulak.

Apa yang buat saya sangat terkesan dan terlalu ingin mencontohinya adalah kerana satu sifat mulianya yang selalu menyebut nama Allah, tasbih, istighfar dalam percakapannya. Apabila mendengar sahaja kalimah-kalimah indah lagi mulia itu, lidah saya secara langsung menyebutnya juga.

Subhanallah, sejak bersahabat dengannya, satu amalan mulia yang perlu dipraktikkan dalam hidup saya adalah membaca basmalah setiap kali ingin melaksanakan sesuatu. Sahabat saya ini walaupun benda itu terlalu simple, namun nama Allah tidak pernah lekang di bibir.

Alhamdulillah, syukur kerana di bumi berkah ini saya dibukakan pintu hati oleh Allah untuk sentiasa bermuhasabah dan digerakkan seluruh anggota badan untuk melakukan kebaikan. Moga Allah terus menetapkan hati kita dalam ketaatan kepada-Nya walau di mana-mana jua kita berada.

Tidak lupa juga kutitipkan secebis doa buat sahabat saya, Nor Arina kerana melaluinya, Allah telah mengajar saya sifat yang mulia walaupun dilihat kecil. Insya Allah, ringan dan kecil di dunia tetapi besar dan berat di akhirat. Moga Allah meredhai sahabatku, Nor Arina dan keluarganya.

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri"
-Fussilat:33-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...