Alkisah Wang Melayang

Dunia hari ini menyaksikan pelbagai dugaan kesempitan kewangan. Apabila dikira-kira, duit banyak dihabiskan hanya untuk membayar cukai, saman, sewa, yuran, dan hutang. Ini belum lagi termasuk perbelanjaan seharian. Fuh, tenat juga hidup kita sehari-hari. Resah memikirkan di mana lagi harus kucari duit. Duit oh duit!

Walaupun kita menuding jari kepada kerajaan yang suka-suka hati je dengan kuasa mereka menyusahkan rakyat, kadang-kadang, perlu juga kita insan yang lemah ini bermuhasabah atas apa yang telah berlaku. Duit yang tetiba sahaja melayang pada perkara-perkara yang membebankan boleh jadi satu ujian akibat kelalaian terhadap nikmat dan rezeki yang Allah kurniakan dalam bentuk kewangan dan kekayaan.

Beberapa kisah tentang duit...

Apabila beberapa surat saman sampai ke rumah atau terdapat barang hilang yang perlu dibeli semula, Mak mesti menyuarakan kebimbangannya. "Ke ada hok dok kena ni dengan duit hok kita guna sebelum ni?". Mak resah kalau-kalau rezeki duit yang Allah berikan tidak digunakan ke jalan yang betul menyebabkan Allah menarik kembali nikmat ini dengan ujian-ujian sebegini.

Aduh! Kami anak-anak yang mendengar turut termuhasabah seketika. Bimbang jika kami yang menjadi penyebab kepada ujian ini. Duit yang Mak Abah berikan tidak dimanfaatkan dengan baik oleh anak-anak. Allahurabbi! Mereka yang bersusah payah mencari rezeki, tetapi anak-anak pula yang tidak menghargai.

Semalam, semasa usrah, seorang kakak berkongsi kisah hidupnya. Dalam bulan ini sahaja, duitnya dihabiskan untuk membayar hutang-hutang. Oleh itu, bagi menanggung hal tersebut, dia terpaksa mengambil keputusan untuk menjual makanan di kawasan sekitar. Sempat dia mengingatkan kami bahawa ujian ini berlaku mungkin kerana duit yang ada sebelum ini diguna untuk bersuka ria, justeru perlulah beringat-ingat untuk kehidupan mendatang.

Bahkan, seorang lagi kakak usrah menambah isu ura-ura biasiswa JPA akan diberhentikan akan menambah beban pelajar. Lebih-lebih lagi, bagi pelajar perubatan yang terpaksa menanggung kos pengajian yang tinggi berbanding bidang lain. Walaubagaimanapun, dia juga berpesan bahawa ujian yang diduga ini adalah suatu peringatan kepada pelajar-pelajar kerana sebelum ini, rezeki kewangan mungkin banyak disia-siakan mereka untuk melancong ke luar negara dan membeli barang-barang yang mewah.

Begitulah alkisah wang melayang. Saya cuma kongsikan beberapa kisah yang dekat dengan kehidupan saya. Ini hanyalah cebisan kisah daripada ribuan kisah duit dan kehidupan orang lain. Ya! Sekarang, negara kita tenat dengan masalah ekonomi dan kesempingan kewangan yang menghimpit rakyat. Oleh sebab itu, baik pemimpin mahupun seluruh rakyat perlu bermuhasabah kembali. Ujian ini puncanya mungkin daripada keangkuhan, kelalaian, ketamakan dan sifat tidak pernah cukup dan tidak syukur kita.

Ubahlah....

Apakah akan ada sinar baru buat rakyat dan negara dalam hal ini? Jangan putus asa terlebih dahulu. Kita perlu berusaha! Bagi menjamin perubahan negara yang lebih baik, jangan lupa daftar pemilih sekarang. Kita ubah negara dengan undi PRU 14 akan datang. Harapannya semoga pemimpin yang adil atas tunjang Islam diberi peluang memimpin. Kita semua ingin melihat masa depan Malaysia yang lebih baik. Semoga keadaan politik, ekonomi dan sosial negara lebih baik. Ya! Lebih baik.

Ayuh kembali kepada Allah dengan bermuhasabah dan memohon keampunan daripada-Nya. Teruskan usaha dan berdoa. Semoga Allah membuka jalan keluar kepada segala kesulitan dan kepayahan yang kita hadapi.
Wallahu a'lam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...