Dia seorang Ammar. Aku??


Malam ni Allah menggerakkan hatiku dan sahabatku untuk menonton video seorang mujahid Melayu bernama Ammar. Syahidnya beliau di bumi Turki, di mana terbebasnya kota Kostantinople di tangan Al-Fateh dan bersemayamnya Abu Ayub Al-Ansari, sahabat baginda Nabi SAW di bumi itu.

20 tahun umurnya, beliau dipanggil menghadap Ilahi. Muda lagi. Muda yang tidak menjamin sesiapa sahaja menemui ajalnya. Namun, sebak dada melihat cebisan perjalanan insan bertuah ini. Dalam tempoh hayatnya selama 20 tahun, sudah banyak jasa yang ditabur, sungguh indah nilai kehidupannya pada memberi dan terus memberi.

Aku?? Sudah genap 20 tahun, namun, apa yang aku telah lakukan? Apa yang telah aku sumbangkan? Banyak pahala atau banyak dosa yang dikumpul?

Allah...Allah...Allah... Sebak dada dan jiwa, takut mencengkam, risau mendalam, apakah pengakhiran hidupku nanti penuh manfaat yang tersebar luas pada insan lain? Aku dipagut resah lagi.

Moga Allah mengampuni Allahyarham Ahmad Ammar (1993-2013).
Moga Allah mematikan kami dalam iman dan husnul khatimah.
Moga diizin dan dikuatkan semangat untuk terus berjasa dan berjuang kerana-Nya.

Astaghfirullah, redhalah kami Wahai Tuhan!!

Membaca dan Berfikir


Sambil-sambil "window shopping" dinding facebook, tengok-tengok "jualan percuma" ilmu dan perkongsian bacaan rakan-rakan, saya terbaca status beberapa sahabat berkenaan membaca dan berfikir. Baca punya baca, memang terkesan dan terkena batang hidung sendiri.

Tahap membaca mahasiswa sekarang di peringkat yang mana?
Kualiti bacaan mahasiswa macam mana?
Masa lapang diiisi tak dengan membaca?

Banyak lagi persoalan-persoalan dan jentikan tulus ini memuhasabahkan diri saya. Saya sejujurnya pun belum mencapai tahap membaca yang baik. Buku penuh di rak dan atas meja, tapi bacanya kurang. Bahan bacaan ilmiah di laman-laman web dan isu-isu semasa di laman berita pun kurang dijenguk. Alahai!!

Semua orang tahu kepentingan membaca. Tidak dinafikan. Tetapi tahukah membaca sangat berkait rapat dengan budaya berfikir. Fikir, fikir, fikir. Banyak cetusan sang pemikir akan pemikiran dan ideanya. Digarap dan diolah daripada proses membaca menghasilkan satu pandangan dan kefahaman yang jelas.

Teringat kata-kata seorang ustaz, orang yang TAHU ini hanya menyalin dan memuntahkan kembali apa yang dibaca, dilihat dan didengarinya. Tetapi orang yang FAHAM ini, daripada pembacaannya, dia boleh mengolah kembali isi dan kandungannya atas apa yang dia rasa, yang dia fikir, bukan semata-mata berdasarkan pandangan penulis sebenar.

Kalam Allah banyak menyebut tentang berfikir. "Afala tatafakkaruun". Dalam fikir ini banyak lebihnya namun perlu ada batasnya. Allah mengurniakan akal untuk berfikir tetapi jangan sampai berfikir itu melebihi sunnatullah. Berfikirlah atas kuasa iman dan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah sehebat pemikir salafussoleh dahulu kala.

Saya yang masih terlalu sedikit membaca dan berfikir tergerak untuk menulis cebisan tulisan ini sebagai dorongan untuk diri saya di samping mengajak teman-teman untuk sama-sama membudayakan amalan membaca dan berfikir. Susah!!! Ya...memang susah pada permulaannya tetapi andai dibiasakan menjadi amalan, in sha Allah akan dimudahkan Tuhan, ameen.

Jom sama-sama ke arah generasi ulul albab, membaca dan berfikir.
Moga Allah redha :)

Pada-Mu Allah aku berserah!


Dalam hidup ini memang akan ada pasang surutnya, ada penat lelahnya, ada suka dukanya, ada pula ujian demi ujian. Itulah fitrah kehidupan. Setiap ujian yang Allah hadirkan buat hamba-Nya merupakan sunnatullah. Pada hambalah menafsirkan ujian itu bagaimana. Adakah sekadar penghapus dosa atau penambah iman atau penguji kesabaran?

Firman Allah bermaksud : "Apakah kamu sudah dikira beriman tetapi kamu belum lagi diuji?"

Ujian!

Besarnya ujian yang menimpa kita, mana lebih besar dengan ujian para anbiya'?
Berat ujian kita, mana lebih berat dengan ujian salafus soleh dahulu?
Teguhnya kita menghadapi ujian, siapakah yang lebih teguh seperti baginda s.a.w dan para sahabat?

Allah tidak akan membebankan hamba-Nya dengan ujian yang hamba-Nya tidak mampu.
Pada-Nya kita berserah dan bertawakkal, moga dinilai disisi Allah, moga ujian itu menguatkan cinta hamba pada Tuhan-Nya.

Mohon doa sahabat-sahabat agar Allah mengurniakan yang terbaik dalam hidup kita semua :)

Wordless Wednesday #2


Anak itu,
Moga tabah,
Moga kuat,
Moga Allah bantu,
Jom doa.


Sahabat saya susah tetapi senang!


Baru-baru ini ditakdirkan Allah uji saya dengan masalah kewangan, sedikit kesempitan waktu itu. Ayah kata, "Biasalah, belajar agama ni, macam-macam ujian tiba". Moga Allah memberi kekuatan, mengampuni dosa dan memelihara iman atas ujian yang menimpa ini.

Tetiba, saya terfikir, baru sedikit Allah bagi ujian, kita dah nak melatah. Astaghfirullah. Saya kagum dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang tidak berpeluang mendapat dermasiswa zakat dan hanya bergantung pada kewangan keluarga untuk menampung pengajian di Jordan yang nilai mata wangnya lebih tinggi berbanding Mesir dan Malaysia.

Mereka jika hendak dibandingkan dengan saya, saya lagi beruntung. Walaupun diduga dengan sistem perjanjian dermasiwa, saya masih ada ibu ayah yang bekerja tetap dan pendapatan mereka sangat cukup untuk menanggung saya dan adik. Namun, ramai sahabat saya di sini tidak sebegitu. Mereka anak buruh, anak peniaga, yang mana sumber pendapatan sekadar cukup-cukup makan.

Saya bertanya, bagaimana kehidupan kalian dengan keadaan keluarga kalian sekarang??

Senang dan tenang!! Kalau duit banyak tapi hati tak tenang pun meletihkan hidup. Bagi kami, rezeki itu sentiasa ada. In sha Allah, cukup selagi mana kita menggantung tinggi harapan pada Allah.

Saya terpana...

Saya pun melihat kekadang kehidupan lebih senang, tidak susah dan tidak berkira-kira melabur wang sepanjang permusafiran ilmu ini.

Terlupa seketika saya. Jelas dan nyata hikmah Allah uji sedemikian adalah untuk menarik kembali hati dan pergantungan seorang hamba itu pada Allah semata-mata iaitu Tuhan yang sebaik-baik pemberi rezeki.

Teringat saya hikmah Allah menarik dua insan tercinta Nabi SAW yang selama ini menjadi pendokong setia baginda di kala waktu genting itu. Walau sekuat mana sokongan mereka pada baginda dalam membantu agama Allah, ternyata Allah ingin mengingatkan hamba-Nya bahawa Dialah sebaik-sebaik tempat kembali, tempat bergantung dan berharap.

Moga Allah merahmati kita, mengampuni dosa kita dan sentiasa meletakkan Allahsebagai cinta hati kita yang utama. Dengan cinta-Nya lah, kita sandarkan cinta pada makhluk-Nya.
Wallahu a'lam.

Ulama Saintis Memory ^_^

Di tanah itu 
Aku mendekati Tuhan, 
Aku mengenal diri,
Aku menjadi manusia,
Aku merapati insan.

Di tanah itu,
Aku dididik guru,
Aku diasuh teman, 
Aku disuluh ilmu,
Moga Engkau, Rabbi redha mereka.

Lima tahun di sana,
Aku menumpang kasih guru, 
Mengecapi ukhuwah teman, 
Suka duka sehati,
Pahit manis sejiwa.

Moga Allah rahmati tempat itu dan seisinya.
Aku cinta tanah itu,
SMKA Kuala Abang...

  



~mood rindu sekolah lama...rasa nak terbang terus ke sana...menjengah insan-insan yang sudah lama kupendam rindu dan ingin berkongsi ceritera..moga satu masa Allah izin kujejak ke sana~


Filem Realiti Kehidupan

Hari itu saya duduk santai-santai di rumah dan sambil-sambil berehat sempat melayan filem Melayu yang bertajuk 'Lapan Jam'. Filem yang berkisarkan kehidupan seorang anak lorong bernama Alang yang dibesarkan dalam suasana yang kurang kondusif menyebabkan dia kurang menjadi seorang 'manusia'. Dia kemudian ditakdirkan menjadi anak yatim piatu dan selalu diburu oleh orang jahat. Akibat mengalami penyakit mental, dia telah membunuh kekasihnya sendiri dan akhirnya dihukum gantung sampai mati.


Dahulu, saya pernah menonton satu dokumentari yang diterbitkan oleh Al-Jazeera. Dokumentari yang mengisahkan pengakuan benar seorang gadis remaja tentang kehidupannya di lorong hitam Kuala Lumpur, Chow Kit. Gadis yang bernama Ida ini hidup dalam keadaan yang susah dari kecil hingga besar ditambah pula dengan tekanan keluarga yang miskin menyebabkan dia pernah terlibat dengan dadah dan kehidupan sosial yang teruk.
link video

Kedua-dua video filem dan dokumentari yang saya tonton ini merupakan antara realiti kehidupan masyarakat di Malaysia. Kedua-dua watak utama dalam video tersebut sedar akan kehidupan mereka dan memang mempunyai niat dan hasrat serta harapan yang tinggi untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik. Walaupun tak banyak nilai baik dalam video ini yang boleh kita contohi, namun bagi saya nilai 'mahal' yang ditonjolkan itu ialah nilai kehidupan yang sebenar.

Jika anda menonton kedua-dua filem ini, suka untuk saya mengajak kalian merenung sejenak kenapakah dalam filem ini kita menyaksikan harapan manusia hanya tinggal kenangan? Cita-cita untuk berubah itu pula hanya terkubur begitu sahaja? Bagaimana pula apabila kita yang perlu menghadapi dan mendepani mereka secara langsung yang mana kita merupakan salah satu watak yang melengkapi drama kehidupan mereka? Apa yang bakal kita lakukan?

Walaupun anggapan itu tidak akan terjadi dan kita takkan pernah berjumpa dengan realiti kehidupan seperti itu, tetapi siapakah yang akan membantu golongan seperti ini? Siapa??

Hayati! Simpati! Empati! Dakwah!

Itulah yang tiada pada mereka. Mereka tidak dibawa ke arah itu. Tiada yang sudi menyelongkar hati mereka yang meronta-ronta ingin dibelai dengan belas dan rahmat. Tiada sesiapa yang membantu golongan seperti ini jauh sekali ingin mendekati dan membawa mereka kepada hidup bertuhan. Hidup yang bersandarkan matlamat kepada akhirat yang menjanjikan ketenangan yang abadi. Tiada!! 

Saya terfikir seketika. Andai situasi ini benar-benar terjadi kepada saya, mampukah saya menjadi wasilah kepada hidayah Allah buat mereka? Bolehkah saya membantu mereka berubah? Dapatkah saya salurkan kebaikan dan ketenangan yang diingini mereka selama ini?
~Itu juga yang saya ingin kalian tanyakan pada diri dan iman kalian~

" Takkan kau nak masuk syurga sorang-sorang dan takkan nak biar je orang lain masuk ke dalam neraka?"

Jom persiapkan diri. Siapa lagi yang akan mendepani masyarakat seperti ini kalau bukan kita. Bersatulah, berjemaahlah, supaya kita kuat dan teguh, agar kefahaman dan fikrah kita terpandu, untuk kita menuju jalan dakwah ini membawa kepada Tuhan Yang Satu.

Wallahu a'lam.



Jangan biarkan hati kosong


Hari ini Allah izin untuk mendapat pengisian daripada seorang kakak yang saya cukup kagumi. Kelembutannya, tutur katanya, segala gerak lakunya mendorong saya mengikut jejaknya. Banyak input dan sentuhan rohani yang dikongsinya, antaranya ialah berkisarkan ciri-ciri ulul albab yang mana Allah ada menyebut berkenaan orang mukmin yang senantiasa mengingati Allah dalam bangunnya, duduknya dan baringnya. Subhanallah.

Begitu juga kita sebagai manusia, seorang muslim yang berhajat kepada darjat mukmin. banyak benda yang kita lakukan sehari-hari, adakah mampu mengaitkannya dengan ketuhanan? Dalam kerja buat kita, amalan kita, kebajikan kita, tugasan kita, ilmu dan semuanya...mampukah kita membawa diri kita pada Tuhan? Dapatkah dengan itu kita dekat pada-Nya atau semakin jauh?

Alangkah ruginya apabila seorang yang sentiasa aktif dan komited dalam menguruskan persatuan, pekerjaan, atau apa-apa gerak kerja  Islam, namun dibiarkan hatinya kosong dan gersang begitu sahaja tanpa apa-apa yang boleh menyentuh hati padaTuhan. Maka apabila tiada ruang bersih yang menyelinap di dalam hati, mulalah manusia ini mencari sesuatu yang lain untuk menjadi kepuasannya.

Dalam surah Al-Anfal, Allah menyebut bahawa apabila orang mukmin itu disebut padanya kalimah Allah, maka bergetarlah hatinya. Dalam ayat ini, Allah tidak mengatakan 'apabila mereka menyebut', tetapi perkatan ذكر  itu merupakan atas wazan mabni lil majhul (على وزن مبني للمجهول) yang bermaksud 'apabila disebut padanya', hatinya gementar akan Tuhannya, lantas cuba bayangkan apabila dia sendiri yang menyebut kalimah suci Allah itu??

Ternyata, peringatan ini walaupun ringkas tetapi sungguh membekas. Diri ini selalu alpa, lupa, maka janganlah jemu mendapat peringatan dan mengingatkan orang lain agar hati-hati kita semua sentiasa penuh dan kenyang dengan ingatan pada Rabb yang Maha Membolak-balikkan hati. Moga dijentik hati kita pada syukur dan dipalingkan daripada kufur.

~Moga Allah redha diriku dan kalian semua~

Setahun lagi...

Lama tak mencoret santai-santai di sini :) Tahun ini masih lagi di Mu'tah, Jordan. Berpuasa, beraya di Jordan. Kawan-kawan ramai yang pulang, yang buat walimah pun tak kurang ramainya. Fuhhh, penuh jemputan. Tapi, tak apalah, apa-apa pun buat sahabat-sahabat yang bakal mendirikan rumah tangga, moga dimudahkan urusan, buat yang berlibur bersama keluarga, moga happy sokmo.

Alhamdulillah, ala kulli hal, tahun ni ada adik menemani di sini meneruskan perjuangan yang masih banyak perlu diaulakan dan diselesaikan. Kalau diikutkan rasa, memang nak je fly terus ke Dungun tu, tapi mak abah pun dah redha stay dulu setahun lagi, in sha Allah, ada rezeki, balik tahun hadapan.

Bakal menjadi third year Shariah student di sini, seriously, masih banyak perkara yang perlu dipelajari, ilmu fiqh, bahasa Arab mahupun English, kemahiran rumah tangga, softskill, pengurusan kerja, organisasi, dan banyak lagi perlu diperbaiki dan dipertingkat. Tambahan, dah tak lama nak menjengah ke real world di Malaysia nanti, lagilah banyak persediaan mental dan fizikal yang kena dibuat.

Sejujurnya tak sabar nak tengok masyarakat, tengok perubahan di Malaysia, khususnya Dungun Terengganu. Seronok tengok sahabat-sahabat seperjuangan istiqamah dengan gerak kerja Islam ni. Tak sabar nak berjuang pula dengan sahabat-sahabat di sana apatah lagi Parlimen Dungun menang PRU lepas, pasti masih banyak kelangsungan gerak kerja yang perlu diteruskan. Dun Sura...I'm coming soon!!




Mohon sahabat-sahabat mendoakan kesihatan saya dan dikekalkan semangat nak berjuang tu selalu. Mohon juga dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur pulang ke Malaysia tahun depan berjumpa dengan ummah!

Moga Allah redha kalian. Salam Ramadhan dan selamat beramal menuju ketaqwaan ^__^


Pembakar Semangat Mahasiswi

Saya mula menapak ke alam blogger ini sejak umur 16 tahun. Menulis kerana ingin berkongsi dan menyebarkan kebaikan buat orang lain. Apatah lagi, apabila melihatkan ramai tukang buat blog yang semakin membanjiri alam maya, hati berkobar-kobar ingin menjadikan penulisan sebagai medan dakwah.

Antara blog yang saya sangat minat di awal pembabitan saya ke dunia blogger ialah kak Nurul Suhadah Shuib. Mengenalinya walaupun hanya melalui blognya menambah dorongan dan minat saya. Tambahan, bahan penulisannya begitu membakar semangat juang anak mudi seperti saya.

Bagi saya, kak Nurul adalah antara tokoh mahasiswi yang terkehadapan juga di saat ini. Di samping menjadi orang kuat sebuah consultant milik suaminya, beliau juga merupakan setiausaha Ameerah Fan Club. Dalam usia muda beliau berkahwin, mendapat anak, dan bekerja tidak pernah menghalang semangat juangnya mendekati masyarakat dengan gayanya tersendiri.

Artikel-artikel dalam blognya berkenaan gerakan muslimat pula banyak menjurus ke arah membina minda dan peribadi mahasiswa yang matang dalam menghadapi cabaran yang pelbagai. Seorang yang kritis dan berhemah dalam melontarkan pandangan membuka minda dan jiwa saya untuk meletakkan satu target besar dalam membawa para anak muda khususnya wanita ke arah yang lebih produktif dan cemerlang dalam banyak sudut.

Alhamdulillah, hari itu saya diizinkan berjumpa secara live idola dalam diam ini. Moga saya dapat menyerap semangat perjuangannya itu dan bergerak, melangkah dan terus berjuang. Ke arah wanita Islam yang produktif untuk Islam dan ummah, in sha Allah.


Dikau Penguat Hidupku


Alhamdulillah, 22/4 yang lalu, genap umur ibuku 51 tahun. Pada 22/5 pula, ayahku menyambut ulang tahunnya yang ke-51. Ya Allah, kedua-duanya sudah menjangkau lebih separuh abad dalam hidup mereka.

Kini, ibu bapaku sudah ada seorang cucu dan bakal menerima kelahiran cucu baru. Anak-anak semakin membesar, matang berdikari, seorang dah bekerja, yang lain masih di alam pelajaran. Sungguh! Masa berlalu begitu cepat dan semuanya dengan izin Allah.

Tiada apa yang istimewa dalam coretan ini. Tetapi, bagiku, ibu bapaku yang teristimewa, tiada tara. Aku takut andai mereka dulu yang pergi daripadaku. Aku takut siapa lagi yang akan mendoakan kejayaanku selama ini. Ya Allah, ampunilah dan rahmatillah ibu bapaku.

Ternyata, rinduku pada mereka tidak dapat dibendung lagi, Andai masa masih berputar, andai umur masih seiiring dengan nafasku, izinkanlah aku membawa kejayaan ini buatmu, mok dan aboh tersayang.

Dikau kekuatanku !!!

Mengisi Sebuah Kekalahan

Menang atau kalah?
Pasca PRU 13 menyaksikan konflik dan perebutan kuasa kerajaan Malaysia yang cukup sengit, ditambah dengan kemenangan yang dianggap kotor dan tidak bermaruah oleh pihak kerajaan menjadikan pilihanraya kali ini pilihanraya yang tercemar identiti Suruhanjaya Pilihanraya itu sendiri. Menangnya kerajaan Barisan Nasional tidak dianggap menang oleh rakyat apabila undi popularnya dimiliki oleh pembangkang dengan kedudukan DAP sebagai peraih undi terbanyak dituruti PKR dan PAS. Bagi rakyat, pembangkang juara di hati mereka, namun menang atau kalah bagi saya sudah ditentukan namun, satu muhasabah atau post mortem perlu dibuat oleh kedua-dua pihak pasca PRU ini.

Apabila dilihat analisis pemerhati politik atau analisis parti itu sendiri, isu pertindihan kuasa, isu sosial calon, isu kredibiliti calon, isu tranformasi calon muda, isu black list calon, isu pesempadanan kawasan calon dan pelbagai isu menjadikan PRU kali ini cukup hangat. Lebih menghangatkan apabila masalah dalaman parti dengan perpecahan undi dalam kalangan ahli parti sendiri dikaitkan dengan kemenangan dan kekalahan kedua-dua parti.

Masih Tidak Berubah
Saya bukanlah pemerhati politik mahupun penganalisis politik yang mahir dan masih belajar untuk mengaitkan isu seputar dengan pertimbangan akal untuk menilai yang mana baik dan yang mana perlu diperbetulkan. Cuma sekadar pandangan peribadi terhadap beberapa perkara dan terasa untuk berkongsi atas dasar tanggungjawab rakyat Malaysia yang semestinya menginginkan perubahan daripada pimpinan, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Tidak sampai sebulan PRU 13 melabuh tirainya, di saat kepimpinan kerajaan Malaysia yang baharu bagi sesi lima tahun ini secara rasminya diumumkan, pelbagai isu baru pula yang melanda. Isu sokongan kepada petisyen piihanraya, isu beberapa orang yang ditangkap di bawah Akta Hasutan, isu rakyat Malaysia perlu mencari negara baru yang lain, isu YB yang dihalang masuk ke daerah tertentu, isu berat sebelah parti terhadap rakyat negerinya dan pelbagai lagi isu-isu yang hangat diperkatakan.

Ternyata, politik ini bukanlah sesuatu yang diambil remeh oleh rakyat walaupun hakikatnya tidak semua yang faham akan konsep dan perjalanannya. Dan ternyata, politik tidak lepas daripada isu yang mungkin sekadar hanya digembar-gemburkan atau sekadar polemik semata-mata atau memang isu sebenar yang berlaku. Kalau hanya tahu mengkritik pun, tetapi kurang solusinya ATAU apabila dikritik, kurang lapang dadanya dan tindakan untuk berubah pun, tiada gunanya apabila dari hari ke hari masih tiada reformasi yang seimbang antara kedua-dua belah pihak.

Semak Imbang untuk Malaysia
Kita tahu untuk menang itu bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi untuk mengisi kemenangan. Sebagaimana kerajaan Barisan Nasional merasakan saat kemenangan mereka teramat tipis (susah) lantas mungkin digunanya taktik lain yang dirasakan boleh mengekalkan kejuaraannya dalam tampuk kepimpinan Malaysia. Begitu juga pihak pembangkang yang kita lihat PRU kali ini, pelbagai usaha dan idea baru dilaksanakan ditambah kerahan tenaga anak muda yang dahsyat, melihatkan kepada kita betapa susahnya meraih sebuah kemenangan.

Walaupun Barisan Nasional dapat melakukan apa sahaja untuk kerajaan Malaysia dengan kelebihan pada statusnya sekarang, kita tidak menafikan dalam BN mengisi kemenangan ini, teramatlah susah dan tidak mudah dalam menawan kembali hati majoriti rakyat Malaysia dengan capaian rekod buruk sepanjang lima tahun yang lepas. Begitu juga pihak pembangkang, dalam mengisi kekalahan ini, usaha yang semaksimum mungkin perlu dibuat bersama muhasabah dalam melihat kebersamaan ketiga-tiga parti dan mencari solusi atau tindakan baru dalam menilai dan menangani kesilapan-kesilapan pihak pembangkang ke arah matlamat mengejar Malaysia baharu.

Hakikatnya, pihak kerajaan dan pembangkang perlu mempunyai good connection dalam sesi kali ini melihatkan kepada beberapa masalah dan isu yang timbul yang mana agak menjejaskan keharmonian parti dan kesejahteraan Malaysia secara amnya. Masing-masing ada betul dan silapnya, masing-masing ada lebih dan kurangnya. Oleh sebab itu, kerajaan perlu berubah untuk melaksanakan segala janji manisnya atau lebih tepatnya AMANAH yang terpikul untuk kebaikan rakyat dan negara itu sendiri tanpa mengira kroni atau isu perkauman atau apa-apa isu yang boleh menjejaskan reputasi dan imej kerajaan.

Pihak pembangkang pula tugasnya adalah menilai dan membetulkan kesilapan serta kelompangan pihak kerajaan dengan tindakan untuk terus menyokong gagasan pihak kerajaan atas pertimbangan yang baik sebagai satu negara dan rakyat Malaysia. Dalam pada masa yang sama, pihak pembangkang perlu sentiasa menilai dan menganalisis kekuatan parti beserta reformasi yang lebih terbuka dan terkehadapan sesuai dengan rentak semasa Malaysia dan rakyatnya. Inilah yang dikatakan semak imbang kerajaan dan pembangkang dalam menuju ke arah Malaysia yang gemilang dan diberkahi kepimpinannya.

Jadilah kerajaan yang baik untuk rakyat dan negara, dan jadilah pembangkang yang baik untuk melengkapi kerajaannya.

Semoga Allah meredhai hamba-Nya sebagai rakyat Malaysia dan merahmati semua pimpinannya.
Wallahu a'lam.

p/s : Mohon maaf atas segala kekurangan. Saya masih baru belajar. Dialu-alukan sebarang komentar dan cadangan untuk kebaikan bersama.



Short post - Canteknya bila buat baek!



Kata Abdullah bin Mas`ud Radhiyallahu `anhu:
"Sesungguhnya kebaikan itu memberi sinar pada wajah, dan cahaya bagi hati, dan keluasan pada rezeki, dan memberi kekuatan pada badan, dan kasih sayang di hati manusia.

Dan sesungguhnya keburukan itu menghitamkan wajah, dan menggelapkan hati, dan melemahkan badan, dan mengurangkan rezeki, dan menjadi kebencian di hati manusia."

Perkongsian ini saya peroleh daripada salah seorang sahabat di statusnya.

Kebaikan menghapuskan dosa.
Kebaikan menyenangkan.
Kebaikan meluaskan rahmat Allah.
Nyata, bukan kerana kebaikan yang memasukkan manusia ke syurga-Nya, namun rahmat Allah.
Lantas, jom sama-sama melakukan kebaikan dan berusaha meninggalkan keburukan agar dengannya pintu rahmat dan keampunan terbuka luas buat kita.

Yakini kuasa doa!

Hari itu saya menziarahi ibu seorang sahabat yang datang bertandang ke bumi Mu'tah ni. Makcik yang senang dipanggil 'Ma' sungguh hebat di mata saya. Dalam usia 50-an, walaupun sering lenguh-lenguh badan, ceramah-ceramah agama tak pernah sunyi daripada telinganya. Isu-isu semasa di Malaysia pun selalu diupdate. Dalam hemat saya, beliau penuh dengan jiwa tarbiyah dan semangat untuk melihat masa depan ummah kembali cerah dengan aturan Islam.

Seusai meminta izin untuk pulang ke rumah, sebelum saya melangkah pergi, 'Ma' sempat berpesan pada saya, katanya :
"Jangan lupa doa, jangan lupa doa, ingat...untuk doa selalu" dengan loghat Kelantannya yang pekat, saya terkedu.

Ya Allah, dalam fatrah PRU 13 yang sedang hangat kini, saya hampir terlupa tanggungjawab yang satu itu. Walaupun umur belum cukup untuk mengundi dan tidak dapat pulang ke Malaysia untuk berkempen, saya lupa yang saya masih ada satu senjata dan sumbangan yang sangat mampu saya lakukan untuk Islam iaitu DOA!!

Cakap memang mudah. Berdoa, berdoa, dan berdoa. Buat lagi mudah, doa sahaja lah. Namun, nak pupuk keyakinan bahawa yang memakbulkan doa hanyalah Allah bukan mudah. Nak percaya dalam hati sedalam-dalamnya bahawa Allah PASTI akan makbulkan doa hamba-Nya pun bukan mudah.

Namun, itulah yang sebenarnya yang perlu diyakini.

Kuasa doa. Bukan calang-calang kuasa.

Kerna Allah Tuhan Yang Maha Memakbulkan.

"Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan memakbulkan"

~Ini Kalilah, Kita Ubah~

Sama-sama doakan kemenangan Islam di tanah air...


Gunting Rambut Mudah Dapat Pahala?


Abu ke kedai gunting rambut, dia meminta Pak Cik Ali menggunting rambutnya ikut potongan Fahrin Ahmad.
"Pak Cik Ali...gunting mula belah kanan dulu cantik jugak, ikut sunnah kan?"
"Betul tu Abu, terima kasih ingatkan pak cik ni"

Pak Cik Ali menggunting rambut bagi 20 kepala sehari, selama sebulan sudah berapa kepala, apatah lagi dia bekerja selama 20 tahun sebagai penggunting rambut.
Setiap kali memulakan proses menggunting, dimulakannya dengan bahagian kanan dahulu.

Subhanallah, berapa pahala Pak Cik Ali di situ??
Plus, Abu pula yang mengajaknya menghidupkan sunnah.
Berapa kali ganda pula yang Abu dapat?

Subhanallah, mudahnya aturan Islam.
So simple nak buat baik dan dapat pahala.

Yok!! Hidupkan sunnah baginda s.a.w....
Mulakan yang mudah-mudah dahulu....
~Nabi memulakan sesuatu perkara dengan bahagian kanan dahulu~

مَنْ أَحْيَا سُنَّةً مِنْ سُنَّتِى فَعَمِلَ بِهَا النَّاسُ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا
“Barangsiapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnah-sunnahku, kemudian diamalkan oleh manusia, maka dia akan mendapatkan (pahala) seperti pahala orang-orang yang mengamalkannya, dengan tidak mengurangi pahala mereka sedikit pun"

Cinta Merosakkan?


Cukup terkesan dengan syarahan Dr.Syuweis sebentar tadi.
Ada yang bertanyakan tentang 'al-hub' yakni cinta!!

Al-fadhil Dr.Syuweis mengkhabarkan kepada kami bahawa cinta boleh memberi mafsadah (keburukan).
Bagaimana??

Cinta yang tidak didasari iman yang sebenarnya, sehingga melalaikan minda, khayal siang dan malam.
Oh! Andainya cinta itu halal, pasti tiada halangan lagi....tapi, sebaliknya.

Suburkan cinta berteraskan taqwa, menuju redha Allah.
Tiada cinta yang lebih murni bagiku melainkan selepas kahwin ^__^

Eh! Jangan duk sibuk persoalkan cinta hamba, cinta Ilahi??
Dush!! terkena sebiji atas kepala...

~jom muhasabah cinta~

Cute Girl :)

Scroll status sahabat-sahabat di facebook, tetiba terlihat satu status ringkas daripada seorang teman, tetapi bagi saya sungguh terkesan.

" Menjadi wanita yang DIHORMATI itu adalah LEBIH ELOK daripada menjadi wanita yg DIMINATI lelaki ".

Muhasabah seketika, aku ni wanita yang mana? Ya Allah, kalaulah aku ni menjadi seorang wanita yang sentiasa menyebabkan lelaki terlalai kerna diriku, ruginya aku.

Muhasabah lagi, sejauh manakah aku menjaga kehormatan diriku agar tidak menjadi daya tarikan lelaki?

Biarlah naluri seorang wanita sepertiku disalurkan melalui wasilah yang lebih suci menuju matlamat utama.

Wasilah : Perkahwinan.
Matlamat : Keredhaan Allah.

Road to wanita solehah !!!

~muhasabahwahaiwanitaku~


Ayuh wanitaku!!!




[Gelombang Epal Hijau]

Wanita...
Tak lagi berdiam diri,
Tak lagi betah menyepi,
Tak lagi ikut membuta tuli,
Kini...
Dia bangkit menuju cita murni,
Semangatnya berapi-api,
Jiwanya sebati dalam jihad ini,
Demi kebenaran hakiki,
Demi ummah dan pertiwi.



Diuji??


Satu hari, aku melihat seseorang, wajahnya nampak kurang matang, namun, badannya sudah besar macam dewasa.
Aku melihat lagi dirinya, kuamati senyap-senyap tanpa dia sedari. Dia membuat isyarat yang aku tak fahami kepada orang disebelahnya, barangkali ayahnya.
Dia meminta makanan daripada ayahnya, ayahnya memberikan.
Dia meminta ayahnya membetulkan kerusinya, lalu dibetulkan.
Hematku, usia yang lebih muda darinya pun mampu membetulkan sendiri tempat duduk tanpa dibantu.
Dia meminta diterangkan apa yang dilihatnya, sesuatu yang tidak difahaminya.
Lantas, si ayah menerangkan dengan bahasa isyarat antara mereka sahaja yang memahaminya.
Dia melilau lagi sekelilingnya. Matanya hanya terpaku melihat sketsa kehidupan yang bukanlah sepenuhnya difahami.
Aku yang setia menyaksikan tetiba sebak.
Ujian yang melanda si lelaki itu cukup tabah dan rahmat dihadapi ibu ayahnya.
Down sindrom menurut pengamatanku.
Allah....walaupun bukanlah dia seorang pesakit yang sepertinya telah kuketemu, namun, entah mengapa, hari itu cukup syahdu.
Ia menyedarkanku erti kehidupan, bahawa tidak semua orang diuji perkara yang sama.
Tidak semua mampu menghadapi ujian yang melanda.
Tidak semua ujian mampu menambah iman, kecuali orang-orang yang bertaqwa.
Yakni orang-orang yang merasakan ujian itu tanda Allah dekat dan kasih padanya.

~Masih belum dianggap beriman seseorang yang belum diuji hidupnya~

-coretan alam-

~Cinta De Salju~





Di kala pagi yang hening, 
Salji jatuh mengurai ke bumi,
Memutihkan tanah-tanah Mu'tah,
Saat ini semuanya suka bukan kepalang.
Namun, kala ini juga,
Ada insan berduka,
Kehilangan insan tersayang,
Si ibu pergi bertemu-Nya,
Saat ini juga,
Kala kesejukan mencengkam tulang,
Cinta pada-Nya teruji,
Bagaimanakah juhudnya kamu pada tahajud?
Istiqamahnya kamu ke masjid untuk solat jemaah?
Tekunnya kamu menelaah tinta-tinta ilmu?
Jangan hanya kerana butir-butir salju itu,
Kamu hanya berkelubung,
Tanpa amal,
Sejuk, panas, semuanya ujian,
Tidaklah dunia ini melainkan ujian semata-mata,
Moga salju ini berkat,
Bukan tanda azab,
Moga cinta de salju ini,
Terus menggamit memori.


~tengkufatimahazzahra~
I9.40 a.m bayt qiblatain,mu'tah 09/01/13I

Zainab Al-Ghazali

Alhamdulillah, dalam duduk relax-relax di rumah pada malam Jumaat, dapat juga input dan ilmu yang dikongsi oleh ahli rumah baru saya, Bayt Qiblatain. Terkesan sungguh dengan kisah Zainab Al-Ghazali yang hidup pada zaman pemerintahan kuku besi Mesir, Jamal Naseer. Zainab merupakan antara pejuang muslimat yang menentang pemerintahan pada zaman itu.

Satu hari di dalam penjara -dengan wajah bersemangat ahli rumah saya bercerita masa itu- mereka yang zalim itu memasukkan anjing-anjing yang ganas dalam 'kamar' Zainab. Allah, saat sang anjing mula masuk, hati Zainab pada masa itu sudah berdebar-debar, sangkanya hari  itu bukan harinya lagi.

Dalam hatinya, dia hanya mampu berdoa pada Allah. Saat tiada sesiapa yang mampu menolongnya, Allah sahaja yang pasti akan menolongnya. Tidak putus-putus doa dan harapan yang dipohonnya kepada Allah swt. Allahu Allah....Terdetik di hati saya seketika, bagaimanakah pergantungan kita sebagai hamba pada-Nya selama ini??

Ketika mana detik cemas tiba, anjing-anjing itu bersiap siaga untuk menerkam 'jamuan' mereka, Zainab hanya memejam mata, dia hanya membayangkan bajunya yang putih itu akan berlumuran darah, koyak rabak, barangkali tiada lagi yang menutupinya. Namun, tidak pernah sesaat pun, hatinya tidak berhenti-henti mengalunkan munajat pada Tuhan-Nya, Allah Yang Maha Esa.

Tiba-tiba....dia membuka matanya, alangkah terkejutnya apabila warna kerudungnya tidak berubah, putih itu masih kekal putih berseri-seri tanpa palitan kekotoran apatah lagi warna-warna merah darah. Sang anjing-anjing ganas itu hanya 'baik-baik' sahaja di suatu sudut. "Aku selamat", seolah-olah itulah yang dijerit batinnya. Zainab selamat denagn izin Allah Yang Maha Kuasa.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, tiada lafaz lagi mampu terucap. Saat itu, Zainab tidak pernah menyerah, dia tidak pernah gentar atas segala siksaan yang dihadapinya kerana yakinnya pada perjuangannya demi Islam tercinta beserta tawakkal dan keyakinannya pada Allah.

::: Muhasabah malam Jumaat, adakah kita mampu sekental, sehebat Zainab dan setinggi tawakkal pada-Nya sebagaimana Zainab?? Renung-renungkanlah :::

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...