Wujudkah suasana Islam dalam rumah anda?

Rumahku syurgaku. Itulah antara ungkapan yang disebut dalam kalangan kita bagi menggambarkan betapa suatu nikmatnya memiliki rumah yang indah, bahkan makin nikmat apabila segenap ruang rumah dapat dimanfaatkan oleh seisi rumah. Oleh sebab itu, bagi setiap Muslim yang ingin menjadikan rumahnya seolah-olah 'syurga' dunia, mereka seharusnya memberi perhatian terhadap pemilihan rumah yang bercirikan Islam sebelum diduduki oleh seisi rumah.

Suatu artikel yang menarik untuk dibaca iaitu Prinsip Islam di dalam Ruang Kediaman Muslim (Muhammad Suhaimi Musa, 2011), ada menyebutkan beberapa penekanan penting terhadap pemilihan rumah untuk kediaman Muslim. Antara yang menarik disebut ialah penelitian terhadap ruang dan reka bentuk kediaman yang sepatutnya mesra ibadah dan mesra aktiviti sosial bersama ahli keluarga dan para tetamu. Sebagai contohnya, ada ruang khusus untuk beribadah, diasingkan ruangan tetamu lelaki dan wanita, mengasingkan bilik tidur anak lelaki dan perempuan, ruang yang selesa untuk para tetamu dan anak-anak, ruang jika berlaku kematian untuk pengurusan jenazah, ruang untuk majlis perkahwinan, aspek-aspek pada penggunaan tandas dan lain-lain.

Sebenarnya, terlalu banyak aspek yang perlu diberi penekanan dalam segenap ruang rumah yang perlu diambil berat oleh Muslim yang ingin menjadikan rumahnya sebagai tempat beristirehat, beribadah dan bersosial bersama ahli keluarga, jiran dan sahabat handai. Oleh sebab itu, dalam apa-apa jua keadaan, hatta pada pemilihan ruangan rumah, seorang Muslim itu perlu meletakkan elemen hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia itu suatu yang utama. Rumah yang ingin didiami perlulah bermatlamatkan kedua perkara itu. Mengikat ikatan kukuh dengan Tuhan melalui pengibadatan kepadanya dan mengeratkan hubungan silaturahim bersama ahli keluarga dan sahabat handai dengan untaian kasih sayang sesama mereka.

Bahkan, kemodenan teknologi pada zaman ini tidak seharusnya dipersiakan. Faktor teknologi dalam aspek kediaman perlu dititikberatkan dan dengan membina rumah dan ruang yang selesa dengan kelengkapan teknologi supaya dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh seisi rumah. Dengan adanya kemudahan ini, sudah pastinya akan memudahkan dan menyempurnakan Muslim itu bagi mencapai kedua-dua matlamat tadi, iaitu hubungan dengan Allah dan juga hubungan dengan manusia.

Semoga keluarga Muslim yang mendiami rumah dan teratak mereka pada hari ini dapat menghidupkan suasana Islam dengan mengamalkan ibadat serta akhlak yang baik sesama mereka. Rumah kediaman juga merupakan antara nikmat dan anugerah Tuhan kepada hamba-Nya dalam meniti arus kehidupan dunia yang merupakan jambatan menuju akhirat. Oleh sebab itu, berusahalah mencipta keindahan 'syurga' dalam rumah anda, agar anda bisa menikmati syurga Tuhan yang kekal abadi kelak.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...