Kisah Tudung Labuh

Terkagum sendiri dengan seorang personaliti muslimah ini, Saudari Adibah Rozain. Tatkala melihat keratan akhbar ini, saya memuji peribadi yang ditunjukkan oleh beliau. Tudung labuh bukanlah fesyen yang out to date. Tudung labuh adalah pilihan yang sentiasa relevan sepanjang zaman.Prinsip yang jelas dan tegas ini semestinya tidak mudah dijual beli begitu sahaja.

Bahkan, saya turut mengagumi beberapa orang personaliti TV wanita yang tidak pernah menjadikan alasan berada dalam bidang 'media televisyen' untuk bermudah-mudah mengubah cara pemakaian mengikut kehendak pengurus produksi mereka. Elok sahaja dengan pakaian muslimah mereka, kuliah yang disampaikan dan rancangan yang dikendalikan berkesan kepada para penonton dan pendengar.

Saya teringat suatu ketika dahulu, saya mula berjinak-jinak dengan tudung labuh sejak usia 12 tahun sehingga ke saat ini, alhamdulillah Allah masih memberi kekuatan untuk saya istiqamah dengan penampilan bertudung labuh.

Saya sendiri tidak pasti dorongan untuk mula mengubah penampilan diri ini datang daripada mana. Bahkan ibu saya yang memang sudah lama bertudung labuh tidak pernah memaksa anak-anak perempuannya untuk berpakaian sepertinya. Barangkali, qudwah seorang ibu yang baik itulah penguat kepada perubahan ini.

Saya turut bersyukur kerana semenjak itu, kesemua adik perempuan saya terus mengikut jejak langkah ibu dan saya yang merupakan anak perempuan sulung dalam keluarga. Atas kesedaran yang timbul, berpakaian menutup aurat dan bertudung labuh sudah menjadi kebiasaan kami.

Soal berpakaian dan bergaya ini suatu perkara yang subjektif saya kira. Namun, asalkan perkara itu berada dalam lingkungan syariat Islam, tidak terlalu melampau, dan cuba bersederhana, itu sudah cukup baik. Apatah lagi, jika perkara yang kita lakukan itu dapat mendekatkan wanita-wanita lain kepada kesempurnaan dalam menutup aurat, itu berkali-kali lebih baik.

Menutup aurat dalam berpakaian dan bergaya. Betulkan niat. Konsistenkan prinsip. Lakukan dengan ilmu dan mengharapkan keredhaan Allah, in sha Allah semoga kekuatan untuk teguh di jalan yang benar terus mengalir dalam diri seorang wanita muslimah.

Kerana yang tertutup itu lebih indah. Dan yang menjaga itu lebih baik!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...