Rahsia Allah Yang Tidak Diketahui

Salam lebaran buat semua. Alhamdulillah kita masih berkesempatan untuk menyambut Aidilfitri selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia. Semoga puasa kita diterima dan kita insya Allah berjaya mencapai darjat taqwa yang merupakan idaman setiap mukmin.

Saya di sini pada kali ini sukacita untuk berkongsi sesuatu yang baru bagi saya tentang rahsia allah yang kita tidak ketahui. Alhamdulillah, perkongsian yang menarik ini saya peroleh daripada naqib saya dalam satu sesi halaqah bersama sahabat-sahabat SMKA Kuala Abang yang tercinta.

Empat perkara yang merupakan rahsia Allah ialah mustajab dalam doa, redha dalam ibadat, murka dalam maksiat, dan wali dalam manusia.

Faham tak?? Saya pun tidaklah arif sangat tetapi saya yakin anda lebih arif dalam menilai empat perkara ini.

Apabila kita katakan mustajab dalam doa, bermakna kita tidak tahu doa yang manakah dimakbulkan Allah, justeru kita tidak boleh jemu dalam berdoa kepada-Nya. Begitu juga dengan redha dalam ibadat. Kita tidak tahu ibadat apakah yang kita lakukan Allah redha, jadi ayuhlah kita teruskan istiqamah dalam beribadat kepada-Nya.

Apabila disebut murka dalam maksiat, kita tidak tahu maksiat yang kita lakukan tanpa kita sedari atau tidak sebenarnya Allah sangat7x murka. Tapi kita beranggapan Allah tak murka. Zalim betul kita!! Jadi kita perlu berusaha untuk meninggalkan dan menjauhi segala larangan Allah.

Begitu pula dengan wali dalam manusia. Agak-agaknya, adakah kita berjaya mengecam wali allah dalam kalangan kita? Sudah tentu tidak. Lantas, janganlah sombong untuk mengutip hikmah dan permata ilmu daripada alim ulama di sekeliling kita. Manalah tahu 'dia' ialah wali dalam manusia.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda. Sejujurnya saya cakap (dalam hati) empat perkara ini sebenarnya memberi kesan dalam diri saya. Semoga saya dan anda mampu mengamalkannya, insya Allah.


By the way, belum terlambat kot untuk saya nak mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR DAN BATIN KEPADA SEMUA"
Semoga terus menyokong 'lihat,fikir,amal' ye!!
Wallahu a'lam...

   Ini lemang yang saya buat sehari sebelum raya di kampung datuk dan nenek....khas buat anda...

Berhasilkah Ramadhan Kita??


Ramadhan bakal  berakhir tidak lama lagi. Sedih? Gembira? Marah? Entahlah...Manusia apakah ini tiada perasaan. Persoalannya sekarang apakah kita berjaya mencapai darjat taqwa selepas proses pentarbiayahan di bulan Ramadhan ini.

Orang cakap kalau kita hendak menilai diri kita yang sebenarnya, kita boleh jadikan Ramadhan sebagai bahan ukurannya. Yelah, masa itu segala syaitan dan anak beranak dia semuanya sudah dirantai. Maknanya tiada lagi unsur-unsur yang boleh menyebabkan kita 'terbabas'.

Tapi, AWAS....musuh nombor satu kita di bulan Ramadhan, NAFSU. Jika kita berjaya mengawal nafsu di bulan Ramadhan, insya Allah di bulan-bulan lain teramatlah senang bagi kita sebenarnya. Tapi, adakah sebelas bulan yang mendatang berjaya kita lalui dengan jayanya hasil madrasah Ramadhan? Itulah yang kita perlu sama-sama perhatikan nanti.

Semasa berhalaqah dengan sahabat-sahabat saya suatu masa dahulu dalam sesi usrah,kami selalu ditekankan begini.
"Usrah itu bermula selepas bacaan tasbih kafarah surah al-Asr dan ditangguhkan dengan bacaan al-Fatihah"
* Usrah: satu kumpulan yang berdiskusi ilmiah dalam satu halaqah yang antara mereka diibaratkan sebagai keluarga.


Pelik atau tidak?? Bukankah sesuatu majlis itu bermula dengan bacaan al-Fatihan dan ditangguhkan dengan bacaan tasbih kafarah dan surah al-Asr? Ya! memang benar. Tapi sejauh mana keberkesanan usrah itu dinilai dengan amaln istiqamah kita selepas berusrah kerana dalam usrah kita hanya berprogram, merancang dan berbincang tentang sesuatu yang bermanfaat untuk Islam. Selepas usrah kita diuji dengan segala perancangan semasa usrah.


Begitu juga dengan Ramadhan. Allah meanugerahkan bulan ini untuk melatih dan memperkuatkan diri bagi menghadapi sebelas bulan yang akan datang. Jadi, sejauh mana Ramadhan kita berhasil akan dinilai dengan amalan pada sebelas bulan lagi sama ada elok atau tidak. Jika di bulan Ramadhan kita berjaya menahan marah, adakah seperti itu juga di bulan-bulan yang lain?

Tepuk dada tanya iman! Semoga kita berhasil menjadi produk bertaqwa hasil tarbiyah di bulan Ramadhan. Semoga Allah menerima segala amal soleh kita di bulan Ramadhan dan moga-moga diberi kekuatan untuk terus beramal pada sebelas bulan yang lain sehingga kita bertemu kembali dengan bulan Ramadhan pada tahun hadapan, insya Allah.

Wallahu a'lam

Cerpen : Mujahid Melayu (Bhg 2)

Masalah Terungkai
            Pergerakan barisan kepimpinan BDK Sekolah Menengah Agama Budiman semakin mantap, gah berdiri bagaikan akar tunjang yang kuat. Organisasi mereka juga kian utuh dengan adanya semangat kerjasama dalam kumpulan. Usrah dan tazkirah pelajar diteruskan di samping halaqah dalam kalangan mereka sendiri. Bagi mereka, amat penting untuk sesuatu organisasi itu berganding bahu dalam melaksanakan misi dakwah kerana sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
            “Ana bukanlah siapa-siapa yang layak untuk menegur tetapi sekadar peringatan buat semua. Apatah lagi berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran disuruh oleh Allah,” ujar Hafiz dalam halaqah pemimpin pada suatu petang.
            “Kami bersedia menerimanya, lagipun anta telah banyak pengalaman di sekolah lama. Ana tahu perjuangan anta di sana sentiasa bersemarak bak api yang menyala-nyala,” salah seorang anggota kepimpinan, Syed Abduh bersuara.
            “Ya, betul tu. Kami perlukan peringatan dan pengisian rohani untuk membakar semangat perjuangan kita,” seorang lagi, Muiz menambah.
            ‘Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu kerana mengurniakan sahabat-sahabat yang sanggup berjuang di jalan-Mu,’ Hafiz bertahmid dalam hati seraya menyambung butir-butir ucapannya.
            “Ana harap kita sama-sama dapat bermuhasabah diri atas dosa-dosa yang lepas. Kadang-kadang, tanpa kita sedari dosa yang kita lakukan boleh menghalang daripada keberkesanan dan keberhasilan dakwah. Oleh sebab itu, mulai saat dan detik ini, kita tanamkan tekad untuk terus istiqamah membina kekuatan dalaman dalam diri,”
            “Apa maksud anta?” Mursyid bertanya memecah kesunyian.
            “Kita kan nak bawa Islam, jadi sebelum Islam tertegak di atas bumi Allah ini, kita dahulu yang perlu menegakkan Islam dalam diri,” Hafiz menjawab. Semua ahli usrah seramai 12 orang itu mengangguk tanda faham. Hafiz masih menambah.
            “Qiyamullail, puasa sunat, membaca dan menghafaz Al-Quran, solat-solat sunat, dan amalan-amalan yang lain semuanya perlu sebati dalam diri kita. Maknanya, apabila tidak dilakukan amalan-amalan itu, ketenangan kita seolah-olah diragut kerana itulah makanan rohani kita. Barulah keimanan kepada Allah terus kukuh terpateri dalam jiwa kita,”
            “Betul tu, nanti kita sama-sama teruskan usaha melakukan amar makruf nahi mungkar di sekolah ini, kemudian Insya Allah berterusan sehinggalah ke hujung nyawa kita,” Ketua mereka, Amirul menambah dengan menaruh harapan yang tinggi terhadap rakan-rakan pimpinannya.
            “Tapi, bagaimana dengan pelajaran? Ana takut result SPM kita jatuh nanti kalau kita terus berdakwah,” Mursyid kembali bertanya.
            “Mursyid, anta janganlah bimbang, kita kena yakin dengan janji Allah. Jika kamu membantu agama Allah, Allah akan bantu kamu dan mengukuhkan kedudukanmu. Belajar dan dakwah bukanlah ibarat jongkang-jongket, jika dakwah di atas, study jatuh, tapi  berkadar terus. Jika dakwah di atas Insya Allah, study akan turut gempak,” Amirul segera membetulkan persepsi yang salah berkenaan dakwah.
            “Betul tu. Dalam pada masa yang sama kita perlu bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Niat study mesti betul kerana Allah. Kita mesti buat yang terbaik untuk Islam, kena buktikan orang Islam boleh! Takkan kita nak bagi C dan D untuk Islam. Mesti nak kasi A! Insya Allah, pertolongan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi kita,” Saiful yang dari tadi berdiam diri dan hanya mendengar, tiba-tiba menambah dengan penuh bersemangat.
             “Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar… antum semua sudah faham konsep dakwah yang sebenar. Nanti kita bolehlah mengajak Ustaz Asri untuk join halaqah ini agar kita dapat menimba lebih banyak ilmu untuk sama-sama berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini,”  Hafiz mengutarakan cadangannya.
            “Insya Allah, boleh!” rakan-rakan yang lain menyokong. Kemudian mereka sama-sama membaca doa Rabitah untuk mengukuhkan ukhuwwah yang terbina antara mereka.

  
Wahai Adikku,Insaflah!
             “Hafiz, mari sini kejap,” Hafiz yang sedang sibuk mengulang kaji pelajaran terus menuju ke arah ibunya. Panggilan seorang yang bergelar ibu wajib diutamakan.
             “Ya, Umi,”
            “Nanti, adik kamu dari asrama akan pulang. Kamu tolong ambilkan dia, ya!” arah Puan Azizah.
            “Baik, Umi,” Arahan ibunya tidak pernah diingkari. Baginya, ibulah orang yang wajib ditaati dan dicintai selepas Allah dan Rasulullah. Dia tidak sesekali membantah kerana tidak mahu menjadi anak derhaka seperti Alqamah dan Si Tanggang lantaran derhaka terhadap ibu bapa amat dilarang dan dilaknat Allah.
            “Assalamualaikum, Umi, Abang, Aisyah dah balik ni,” salam yang dihulur agak mengejutkan kedua-dua beranak itu.
            “Waalaikumussalam,” mereka menjawab serentak.
             “Eh, Umi baru sahaja nak suruh Abang ambilkan Aisyah,” Puan Azizah bersuara.
            “Aisyah balik dengan siapa? Sebelum ni tidak pernah pun Abang tengok Aisyah balik dengan orang lain,” Hafiz tiba-tiba bertanya.
            “Aisyah balik dengan kawan. Kebetulan, dia melalui kawasan ni, jadi Aisyah tumpanglah,” jawab Aisyah. Nadanya seolah-olah tidak senang dengan soalan abangnya itu.
            “Dahlah, yang penting anak perempuan Umi ni selamat pulang ke rumah. Sekarang ni Aisyah pergi mandi, makan. Nanti, kita solat berjemaah sama-sama. Kemudian kita berusrah sama-sama, ya!” Puan Azizah memujuk. Dia seperti mengetahui rasa tidak enak dalam hati anak perempuannya itu.
           “Usrah?”Aisyah bertanya seolah-olah tidak mengerti.
           “Yelah, sayang… Inikan harapan arwah abi supaya kita teruskan usrah keluarga kita. Kenapa Aisyah tanya macam tu? Aisyah ada masalah ke?” kini Puan Azizah pula bertanya kehairanan.
            “Tak ada apa-apalah Umi. Aisyah pergi mandi dulu, ya,” ujar Aisyah meninggalkan Puan Azizah dan Hafiz yang masih lagi hairan dengan sikap Aisyah yang tiba-tiba berubah.
            Selepas selesai solat, Puan Azizah bersama-sama Hafiz bersiap sedia untuk berusrah. Puan Azizah menyuruh Hafiz memanggil adiknya, untuk berusrah bersama-sama.
            “Umi, Aisyah tidurlah. Umi nak suruh Hafiz kejutkan dia, ke?” Tanya Hafiz.
            “Tidur? Tak apalah, mungkin dia penat agaknya. Nampaknya, kita berdua sahajalah yang berusrah hari ini,” ujar Puan Azizah memujuk hatinya.
            Usrah keluarga itu diteruskan. Seperti biasa, selepas membuka majlis dan membaca beberapa potongan Kalamullah, Puan Azizah akan membahaskan ayat-ayat tersebut. Baginya, amat penting untuk mentadabbur isi kandungan Al-Quran kerana Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sebaik-baik kalian ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain.” Harapannya tidak lain tidak bukan ingin melihat keturunan yang lahir daripada rahimnya benar-benar mengamalkan ajaran Al-Quran dan Assunnah kerana hanya itulah yang dapat memastikan keselamatan hidup mereka di dunia dan di akhirat.
            “Umi, Hafiz rasa tidak sedap hatilah dengan kelakuan dan tingkah laku Aisyah. Yelah, tidak pernah pun sebelum ini dia tidak menghadiri usrah keluarga kita ni. Dah tu, dia macam tak suka sahaja bila Umi kata nak buat usrah,” Hafiz menyuarakan suara hatinya tidak lama selepas itu.
             “Hafiz, tak baik buruk sangka dengan adik sendiri. Buruk sangka salah satu daripada sifat mazmumah yang perlu kita jauhi. Lagipun, Umi dah beritahu tadi yang Aisyah tu mungkin penat, dia kan baru pulang dari asrama,” Puan Azizah membetulkan sangkaan Hafiz. Dia sentiasa mendidik anak-anaknya dengan akhlak yang terpuji, agar dapat menjadi qudwah hasanah kepada anggota masyarakat yang lain.
“Hafiz minta maaf, Umi. Hafiz bukannya apa, Cuma Hafiz bimbangkan Aisyah tu. Dia kan masih muda, baru sahaja menginjak ke usia remaja. Hafiz takut dia terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak elok. Nau’zubillahi min zaalik,” kini, Hafiz menyuarakan kerisauan hatinya kepada ibunya yang tercinta.
            “Umi tahu…Hafiz amat sayangkan Aisyah, tapi Insya Allah kita sama-sama mentarbiahnya. Ingat, wahai anakku, jangan terlebih dahulu menghukum atas kesalahan seseorang, sebaliknya, didiklah ia agar dia lebih mudah mengerti dan memahami. Hafiz faham, kan maksud Umi,” Puan Azizah menutur dengan berhati-hati agar anaknya itu tidak terburu-buru dalam tindakannya.
            “Hafiz faham, Umi. Insya Allah, Hafiz akan tanya elok-elok dengan Aisyah berkenaan hal ini,”
            “Baguslah kalau macam tu. Oh ye, macam mana dengan sekolah. Ada masalah tak?” Puan Azizah bertanya berkenaan sekolah Hafiz.
            “Alhamdulillah, Umi, setakat ni tak adalah teruk sangat, biasa-biasa saja. Tapi, semenjak Hafiz dilantik ahli BDK, ada juga pelajar yang tidak puas hati, maklumlah, Hafiz ni kan pelajar baru. Kadang-kadang, rasa sedih dan kecewa pun ada juga,” Hafiz mengadu masalah yang mencengkam dirinya.
            “Biasalah, itu kan ujian daripada Allah. Kita sebagai hamba-Nya perlu sabar dan terus berusaha. Jangan jadikan masalah itu sebagai alasan yang boleh melemahkan semangat perjuangan Hafiz. Jalan dakwah ni memang payah, perit, dan penuh cabaran, kerana syurga itu manis, jadi Hafiz kena teguhkan hati. Janganlah takut kerana kita ada Allah. Rasulullah s.a.w sendiri pun pernah dibaling batu dan najis semata-mata hendak menegakkan agama Allah. Apa yang penting ialah Hafiz kena banyak berdoa agar mereka diberi petunjuk oleh Allah. Kita hanya mampu berusaha, hanya Allah yang dapat memancarkan nur hidayah kepada mereka. Bolehkan, Hafiz?” Kata-kata nasihat dan perangsang Puan Azizah sedikit banyak memujuk hati Hafiz yang lara itu.
            “Terima kasih atas segala nasihat yang diberikan, Umi. Insya Allah, Selepas ini, Hafiz tidak akan mengeluh dan akan terus berusaha,” ujar Hafiz mengakhiri usrah mereka.
            Pagi itu Hafiz tidak ke mana-mana. Waktu cutinya digunakan dengan sebaik-baiknya. Selepas mengulang kaji pelajaran, Hafiz melayari internet. Dia membuka laman ‘facebook’ miliknya. Baginya, kemudahan teknologi maklumat perlu digunakan ke arah kebaikan supaya ada kebaikan untuk semua. Dia menggunakan laman sesawang itu untuk berukhuwwah dengan sahabat-sahabatnya dan sebagai medan ilmu untuk dikongsi kepada masyarakat seluruh dunia.
             Dalam mengembangkan Islam, seorang pendakwah  perlu bergerak seiring dengan arus kemodenan dan tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung. Islam ialah agama yang menyeluruh, syumul, bukan sahaja di masjid-masjid dan surau-surau, tapi bersifat universal. Oleh sebab itu, para pendakwah perlu mempersiapkan diri dengan segala ilmu, bukan sekadar ilmu fardhu ain tetapi ilmu fardhu kifayah agar masyarakat dapat didekati kepada Islam dengan mudah.
             Tatkala asyik melayari internet, hati Hafiz tiba-tiba tergerak untuk membuka ‘facebook’ adiknya, Aisyah. Apabila ditekan bahagian ‘Aisyah’s photo’, alangkah terkejutnya dia apabila melihat pakaian adiknya yang agak terdedah sedang makan bersama-sama rakan-rakannya di sebuah restoran. Baju T-shirt berlengan tiga suku dan tudung yang jarang, menampakkan bahagian lehernya. Dadanya menjadi sebak. Jiwanya diruntun pilu melihat kelakuan adiknya di luar pandangannya dan ibunya.
            ‘Umi pasti sedih melihat gambar-gambar ini. Aku takkan biarkan Umi tahu hal ini. Aku kena buat sesuatu untuk sedarkan Aisyah,’ bisiknya di dalam hati.
            Petang itu, Hafiz duduk sendirian di atas bangku di halaman rumahnya. Dia tenang menikmati keindahan landskap rumahnya yang bercirikan kampung Melayu tradisional. Namun, gelojak hatinya hanya Allah yang tahu. Fikirannya masih menerawang memikirkan adiknya, Aisyah. Tiba-tiba Aisyah muncul bersama sepinggan pisang goreng dan dua cawan teh.
             “Abang, jomlah kita makan. Aisyah goreng pisang ini untuk Abang,” ujar Aisyah.
            “Umi mana?” Hafiz pula bertanya.
            “Umi keluar, beli barang,” ujarnya sambil menyuapkkan pisang goreng ke mulut.
            “Dah lama Abang tak borak-borak dengan Aisyah kan. Aisyah ada masalah tak di sekolah, dengan kawan-kawan ke…hal pelajaran ke?” Hafiz kembali bertanya. Ada sesuatu yang ingin dikorek daripada adiknya. Tetapi, dia tidak terburu-buru. Penuh berhati-hati. Dia ingin mengikut pesan ibunya.
            “Tak ada apa-apa. Setakat ni ok lagi, malah Aisyah seronok sangat duduk asrama,” ujar Aisyah.
            “Aisyah ada ‘facebook’ kan. Lepas ni, bolehlah Abang buka ‘facebook’ Aisyah. Bolehlah kita sembang-sembang dan kalau Aisyah ada masalah Aisyah beritahulah Abang. Yelah, Aisyah kan sekarang ni duduk asrama, esok dah nak pergi asrama,” Hafiz cuba menduga Aisyah.
            “Eh, Abang. Tak payahlah Abang buka ‘facebook’ Aisyah. Aisyah kan boleh telefon Abang kalau nak bercakap dengan Abang,” Aisyah kelihatan terperangkap.
            “Kenapa pula tak boleh atau ada apa-apa yang Aisyah rahsiakan daripada Abang?” Hafiz semakin memerangkap Aisyah.
            “Er…er…” Aisyah tergagap-gagap
            “Sebenarnya, Abang dah tahu semuanya. Abang dah tengok semua gambar-gambar Aisyah tapi Abang agak kecewa dengan apa yang telah Aisyah lakukan. Aisyah nak ke Umi sedih dengan kelakuan Aisyah. Cuba Aisyah beritahu Abang kenapa Aisyah buat semua ni?” akhirnya rahsia Aisyah terbongkar.
             “Aisyah dah bosan dengan semua ini. Aisyah malu pakai tudung labuh, baju labuh. Kawan-kawan Aisyah semuanya pandai bergaya. Aisyah pun nak jadi macam mereka,” Aisyah membuat pengakuan.
             “Aisyah, abang tak salahkan Aisyah. Mungkin Abang yang kurang beri perhatian terhadap Aisyah, tapi Abang tahu Aisyah faham aurat wanita setakat mana dan bagaimana batas-batas pergaulan yang dibenarkan Islam. Aisyah kena ingat, Islam tidak pernah menghalang wanita daripada berhias tetapi perlu mengikut syariat yang dibenarkan,” tutur Hafiz dengan lemah lembut. Dia tidak boleh terlalu beremosi kerana bimbangkan penerimaan adiknya itu. Dia harus berhemah dan berhikmah dalam mendidiknya.
            “Maafkan Aisyah, bang. Aisyah sedar Aisyah dah banyak buat salah pada Allah, Umi dan juga Abang. Aisyah terlalu mengikut kawan-kawan. Aisyah telah tersilap pilih kawan. Aisyah telah berdosa, ampunkan Aisyah, bang,” Aisyah berkata sambil teresak-esak.
             “Tak apa Aisyah. Allah kan Maha Pengampun. Aisyah mintalah keampunan daripada-Nya. Apa yang penting sekarang ni, Aisyah dah sedar dan insaf dengan apa yang telah Aisyah lakukan.Yang lepas biarlah lepas. Insya Allah lepas ni, Aisyah kena berubah menjadi seorang muslimah yang solehah dan Abang juga berjanji akan membantu Aisyah, ya,” ujar Hafiz mententeramkan adiknya. Dalam hati Hafiz bersyukur kerana Allah telah memberi hidayah dan peluang kepada adiknya untuk kembali ke jalan-Nya.
            Tanpa disedari mereka berdua, Puan Azizah yang baru pulang memerhatikan kelakuan mereka.
            ‘Alhamdulillah, aku bersyukur kerana Engkau telah memakbulkan doaku dan memberi petunjuk kepada anakku, Aisyah,’ Puan Azizah bertahmid  penuh kesyukuran.
            Sebelum Aisyah bertolak pulang ke asrama, Hafiz sempat menghadiahkannya sebuah buku motivasi berjudul ‘Hadiah Buat Muslimah’ karangan Dato’ Siti Nor Bahyah Mahamood keluaran Telaga Biru. Doanya agar Aisyah menjadi seorang wanita yang berjiwa besar seperti srikandi-srikandi Islam pada zaman Rasulullah s.a.w.
        
 Iman Digoyah
            “Umi, Hafiz rasa tak sedap hatilah nak pergi kem tu. Dah tu pula, Hafiz seorang je yang kena pergi kem tu. Takutlah tak dapat nak sesuaikan diri,” Hafiz menyuarakan rasa hatinya. Dia terpaksa menghadiri sebuah kem kepimpinan di Perlis. Hnya dia yang terpilih bagi mewakili sekolahnya.
            “Tak apa, ingat, inilah peluang Hafiz nak tunjukkan Islam kepada orang lain. Tunjukkan kepada orang lain bahawa  agama di sisi Allah hanyalah Islam. Ke mana pun Hafiz pergi, amalkanlah Islam dan setiap yang dilakukan hendaklah berlandaskan Islam,” ujar ibunya penuh nasihat dan peringatan kepada anaknya.
            “Insya Allah, Umi,”
            Semasa di dalam bas untuk ke kem itu, pelbagai dugaan iman yang perlu dilaluinya. Pelajar lelaki dengan selambanya duduk di sebelah pelajar perempuan. Lagu-lagu Hindustan turut diperdengarkan sebagai halwa telinga mereka. Tidak sudah dengan semua itu, mereka juga dipertontonkan dengan filem-filem Barat yang sememangnya melalaikan jiwa manusia. Hafiz dihimpit kepiluan. Hanya puisi menjadi wadah luahan hatinya. Sungguh, kepada Allah jua dia mengadu.
           Seperti yang disangkanya, tatkala berada di sana selama beberapa hari, kejutan budaya telah berlaku kepadanya. Kebanyakan pelajar di sana terlalu jahil tentang agama. Pergaulan lelaki dan perempuan tidak terjaga. Aurat terdedah di sana sini. Hiburan pula melampau-lampau. Syariat ditolak tepi, solat pula tidaklah terlalu dijaga, mujurlah dia sedang bermusafir. Itulah Islam, agama yang mudah. Rukhsah solat menjadi bukti kecintaan Allah kepada hamba-hamba-Nya. Namun, rasa belas kasihan dihulur kepada peserta yang hanya tinggal di kawasan sekitar kerana mereka terpaksa berkejar-kejaran untuk menunaikan kewajipan solat.
            “Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini dalam menghadapi segala ujian dan cabaran. Berilah aku kekuatan untuk aku menegakkan agama-Mu dalam kem ini. Berilah cahaya petunjuk kepada semua peserta kem dan fasilitator agar syariat agama terus terpelihara. Aku tidak mampu tanpa pertolongan-Mu. Hanya kepada-Mu sahaja aku memohon dan bertawakkal,” Hafiz berdoa sebaik sahaja selesai menunaikan solat  tahajud, solat taubat dan solat hajat. Dia jarang meninggalkan amalan-amalan sunat itu. Baginya hanya itu sumber kekuatan untuk dia terus berjuang di jalan Allah.          
            Pada malam kebudayaan kem, semua kumpulan dikehendaki membuat satu persembahan. Bagi Hafiz, inilah peluangnya untuk berdakwah walaupun sebelum ini, dia telah memohon budi bicara kem komandan kem itu,  Encik Abu Bakar untuk mengasingkan peserta lelaki dan perempuan dalam satu kumpulan. Malah, dia juga pernah menyuarakan kepada beliau untuk tidak menjalankan aktiviti pada waktu solat. Namun, semua usaha itu tidak berhasil, bahkan dia telah dimarahi teruk oleh Encik Abu Bakar atas tindakan tersebut.
            ‘Tak apa, Allah tidak akan menilai hasilku tetapi usaha yang kulakukan untuk menegakkan Islam. Insya Allah, Allah akan bantu aku, aku tidak akan berputus asa,’ tekad Hafiz dengan keyakinan yang teguh kepada Allah.
            “Untuk persembahan malam ini, saya cadangkan agar kita bernasyid,” ujar Hafiz selaku ketua kumpulan. Dalam kem itu, Hafiz menggunakan kata ganti nama ‘saya’ supaya sesuai dengan keadaan mereka yang masih belum terbiasa dengan panggilan ala-ala Arab itu.
            “Apa? Nasyid! Tapi kami tak pandai bernasyid, setakat lagu-lagu pop tu kami tahulah,” ujar salah seorang ahli kumpulannya, Husin.
            “Yelah, kau tu lainlah, budak sekolah agama,” ujar yang lain pula.
            “Tak apa, saya boleh ajarkan. Nasyid ini bukan sebarang lagu tau. Iramanya sungguh mengasyikkan, sangat mendamaikan, bahkan boleh mendekatkan kita kepada Allah. Yelah, sepanjang kem ni, jarang kita ingat Allah, berzikir jauh sekali, betul tak?” Hafiz cuba mencucukkan jarum dakwah, berharap mereka akan terpikat dan bersetuju dengan cadangannya.
            “Baiklah, kami setuju. Lagipun, kita boleh buat lain daripada yang lain. Mana tahu ada rezeki boleh menang. Tapi, pelajar perempuan bagaimana? Setahu saya, nasyid hanya pelajar lelaki yang terlibat kan?” salah seorang peserta perempuan, Fatimah bersuara.
            “Betul tu, lagipun suara perempuan kan aurat, jadi saya nak pelajar perempuan hanya berdiri di belakang lelaki dan tidak perlu bernasyid,” jawab Hafiz.
            “Tapi, Encik Abu Bakar menyuruh semua pelajar terlibat,” Siti, peserta dari Kedah pula bersuara.
            “Memang kita semua terlibat, pelajar perempuan pun akan naik ke pentas, cuma, tidak perlu menyanyi sahaja. Insya Allah, jika kita menjaga syariat dalam Islam, Allah akan bantu kita,” ujar Hafiz mengakhiri perbincangan. Semua ahli kumpulan mengangguk dan tidak membantah.
            Kebanyakan kumpulan mempersembahkan drama dan nyanyian lagu-lagu pop dan lagu-lagu rock. Hanya kumpulan Hafiz yang mempersembahkan nasyid.  Hafiz telah memilih lagu Fata morgana, nyanyian kumpulan nasyid Hijjaz dan Selawat Nabi sebagai alunan pembukaan. Semua penonton terpegun dengan persembahan mereka. Mereka kelihatan teruja. Kedamaian dan ketenangan begitu dirasai. Apabila keputusan diumumkan, kumpulan Hafiz yang telah  memikat hati juri dan penonton berjaya menggondol tempat pertama dalam kategori persembahan.
            ‘Alhamdulillah, Allah telah membantuku, semoga Allah memberikan hidayah kepada mereka melalui usahaku ini, Amiin,’ doa Hafiz dengan penuh harapan.
            Itulah berkat tawakkal, sebagaimana janji Allah dalam ayat seribu dinar, ‘Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.’


 Dakwah Kembali Mekar
            Seusai program, tiba-tiba Husin, rakan sekumpulannya muncul.
            “Hafiz, awak dah nak balik ke?” tanya Husin.
            “Belum lagi, kenapa?” jawab Hafiz.
            “Saya ada hal nak cakap dengan awak. Sebenarnya, saya rasa bersyukur dapat berkawan dan berada dalam satu kumpulan dengan awak. Yelah, lagipun, awak selalu mengingatkan kami kepada Allah. Selepas kita bernasyid dan mengalunkan selawat hari itu, saya rasa tenang. Saya tidak pernah rasa setenang itu sebelum ini.”
            “Alhamdulillah, baguslah kalau begitu.”
            “Kalau boleh, saya hendak sangat belajar agama, tapi saya bukannya bersekolah di sekolah agama. Saya tidak tahu nak buat bagaimana. Mak ayah saya pun jarang ada di rumah. Mereka tak pernah ajar saya, jauh sekali nak ajak saya mendekatkan diri kepada Allah,” akhirnya Husin meluahkan masalahnya.
            “Tidak apa, Husin. Sekolah mana-mana pun sama, belajar agama di mana-mana pun boleh. Saya bersyukur  Allah kurniakan kesedaran ini kepada awak. Tetapi, awak tidak boleh menyalahkan ibu bapa awak, mungkin mereka sibuk mencari nafkah untuk keluarga.”
            “Habis tu, apa yang saya perlu lakukan. Boleh tak awak bantu saya?”
            “Insya Allah, setakat yang boleh saya akan bantu. Awak boleh hubungi saya bila-bila masa sahaja. Tetapi, saya rasa lebih baik awak berjumpa dengan ustaz di sekolah awak atau sesiapa sahaja yang boleh bantu awak belajar agama agar lebih mudah awak memahami ajaran Islam ini.”
            “Ya, betul juga cakap awak tu. Lagipun kita kan duduk di negeri yang berbeza. Insya Allah, saya akan berusaha untuk mempelajari agama dengan lebih mendalam lagi. Tetapi, Hafiz, bagaimana dengan mak ayah saya? Saya takut mereka tidak sempat nak dekat dengan Allah sebelum mereka menutup mata. Saya takut, takut sangat,” tanpa disedari, Husin menangis teresak-esak bagaikan anak kecil yang kehilangan ibu bapa.
            “Insya Allah, tiada apa yang awak perlu risaukan dan takutkan. Apa yang penting ialah awak terus mendokan mereka agar mereka mendapat hidayah daripada Allah. Awak kena ingat Allah tu Maha Mendengar dan Memakbulkan doa hamba-hamba-Nya,” Hafiz cuba meyakinkan Husin.
            “Awak dokanlah untuk saya dan keluarga saya, ya.”
            “Insya Allah, nanti kita akan selalu berhubung. Walaupun jauh di mata, tetapi tetap dekat di hati dan ukhuwwah kita juga akan terus berpanjangan.”
            “Terima kasih banyak-banyak Hafiz, Insya Allah saya akan cuba mengikuti segala pesanan dan nasihat awak. Lain kali kita jumpa lagi, ya,” ujar Husin, lantas menamatkan pertemuan mereka.
            Dalam hati, Hafiz tidak putus-putus bertahmid atas kurniaan hidayah kepada sahabatnya itu. Dia turut berdoa agar Husin berjaya menemukan orang yang dapat membawanya dan ibu bapanya pulang ke jalan Ilahi. 
Suasana di rumah Hafiz  pada hari itu begitu meriah dengan majlis kesyukuran sempena kejayaan Aisyah dalam PMR dan Hafiz dalam SPM. Malah, rakan-rakan Hafiz juga mengecapi kejayaan dalam SPM dan mereka turut diraikan. Ibunya pula telah melangsungkan perkahwinan keduanya dengan Ustaz Asri, sebulan yang lalu. Rupa-rupanya Ustaz Asri ialah rakan karib arwah ayahnya yang dahulu turut sama-sama berjuang menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini. Begitu kecil dunia ini. Maha Suci Allah,pemilik alam semesta yang luas ini. Dia juga tidak menyangka Ustaz Asri yang kini dipanggil ‘abah’ akan melamar ibunya yang sudah beranak dua itu untuk menamatkan zaman bujangnya. Namun, jodoh, pertemuan dan ajal manusia semuanya telah ditentukan oleh Allah. Dia sangat gembira kerana dapat melihat ibunya bahagia setelah lama menjanda.
            “Alhamdulillah, Abang bersyukur Aisyah dah benar-benar berubah. Abang bangga ada adik macam Aisyah, baik… bijak. Abang harap Aisyah dapat menggunakan apa yang Aisyah miliki ini ke jalan yang diredhai Allah,” ujar Hafiz kepada Aisyah sebaik sahaja majlis berakhir. Aisyah kelihatan begitu cantik dengan jubah dan tudung labuh berwarna sedondon.
            “Insya Allah, bang. Ini semua berkat doa Abang dan Umi juga. Oh ya, apa perancangan Abang selepas ini?”
            “Kalau diizinkan Allah, Abang nak melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang perubatan. Kalau jadi doktor, senang hendak mendekati masyarakat. Abang bukan sahaja nak merawat orang ramai tapi nak mengajarkan ajaran Islam yang sebenar kepada mereka. Abang nak ubah persepsi mereka tentang Islam biar mereka tahu Islam itu bukan sahaja bab solat, puasa tetapi nikah, perniagaan, perubatan dan lain-lain lagi semuanya perlu berdasarkan Islam,” Hafiz menyuarakan harapannya.
            “Wah, hebatlah Abang ni, bercita-cita besar. Insya Allah, bang, niat yang mulia pasti akan dipermudahkan Allah,” ujar Aisyah seraya mereka sama-sama menuju ke arah umi dan abah mereka.
Hafiz tahu cabaran dakwahnya nanti pasti lebih mencabar namun, keyakinan dan tawakkalnya kepada Tuhan Yang Maha Satu tidak pernah menggoyahkan semangatnya. Selagi hayat dikandung badan, dia akan terus berjuang demi agama, bangsa, dan negara. 

-TAMAT-

Baju Wanita Mahal??

Apabila kaki menjengah ke kedai untuk membeli baju-baju, agak terkejut saya dibuatnya. Baju-baju wanita semuanya mahal-mahal. Baju bercorak, baju berfesyen, baju berjenama semuanya sudah mahal. Semakin membesar semakin mahal harga baju yang perlu dibayar.

Kadang-kadang saya terfikir, mengapalah baju yang menutup aurat dari segi aspek ketebalannya, warna yang tidak terlalu menyerlah, dan kelebarannya harganya terlalu mahal? Sedangkan, baju yang biasa-biasa murah sahaja. Tapi ada juga baju yang nipis, jarang-jarang tapi mahal.

Sukar rasanya saya ingin membuat andaian. Baju yang menutup aurat mahal kerana kualitinya baik. Tapi baju yang tidak menutup aurat pun mahal kerana berkualiti ke? Atau sekadar berjenama sahaja? Entahlah. Rasa macam agak mengarut pulak post kali ini. sorry..^__^


Tapi, sebagai seorang gadis yang alhamdulillah ada kesedaran tentang penutupan aurat, jujur saya berkata bahawa satu set lengkap untuk menutup aurat bukannya murah. Nak kena cari baju yang besar-besar (walaupun saiz untuk diri sendiri memang dah besar pun). Nak kena cari baju yang berwarna kurang menyerlah, baju yang tebal, ditambah lagi set tudung labuh, anak telekung, sarung kaki tebal, sarung tangan bahkan ada yang turut berpurdah.

Mahal semua itu tahu tak? Kalau pengalaman saya sendiri, jubah yang berkualiti pun hampir mencecah RM80 bahkan lebih dari itu. Hatta kalau yang sekadar berbaju kurung dan berT-shirt muslimah (T-shirt labuh) harganya pun boleh tahan. Mahal! Nak beli tudung pun susah sekarang ini kerana sekarang banyak tudung yang jarang-jarang.

Tapi saya sedar satu hal. Pakaian wanita mahal kerana nilai wanita itu mahal. Apalah sangat kalau nak dibandingkan nilai harga pakaian seorang wanita dengan nilai wanita itu sendiri. Wanita yang telah dinaiktarafkan martabatnya oleh Rasul junjungan kita, Nabi Muhammmad s.a.w. Wanita yang mana pada zaman dahulu tatkala perintah menutup aurat turun melalui wahyu-Nya, semuanya segera mengambil kain-kain di sekeliling mereka untuk terus menutup keindahan tubuh yang hanya layak untuk insan bergelar suami.


Ya Allah, mampukah saya menjadi wanita yang 'mahal'. Bukan kerana pakaian yang dipakai, bukan kerana harta, kecantikan, dan darjat semata-mata tapi kerana ketulusan hati menjaga nilai 'mahal' seorang wanita. Betapa saya merasakan saya masih belum mampu mencapai setaraf serikandi-serikandi dahulu. Solehah, berpekerti mulia, berilmu dan warak.

Insya Allah, saya dalam perjalanan ke arah itu. Anda ingin bersama saya? Menjadi wanita 'mahal'? Dengan akhlak berpandukan al-Quran dan Sunnah? Wanita yang menjadi pewaris syurga abadi Ilahi? Tidak mustahil, bukan??

Jom...Ayuh wanitaku! Kita sama-sama derap langkah ke arah itu! Jangan takut...kerana Allah bersama kita!!

Allahu Akbar!!!

Cerpen : Mujahid Melayu (Bhg 1)


Sekolah Baru
Matanya asyik menatap bangunan tiga tingkat yang tersergam indah itu. Warna putih dan biru yang menyaluti bangunan itu bagaikan memukau matanya. Keindahan kawasan sekitarnya sukar digambarkan. Air terjun kecil buatan manusia menderu laju. Iramanya sungguh mengasyikkan seolah-olah berada di hutan belantara.
“Assalamualaikum, saudara pelajar baru di sini?” satu teguran menyapa. Dia lantas tersedar daripada lamunan.
             “Waalaikumussalam. Ya, saya pelajar baru di sini. Nama saya Hafiz. Di mana saya harus mendaftarkan diri?” tangan dihulur tanda perkenalan lantas soalan diaju kepada seorang pelajar lelaki yang kelihatan lebih muda daripadanya
            “Nama ana Abdullah. Anta boleh ikut ana ke pejabat untuk mendaftar,”pelajar tersebut ramah menjawab. Hafiz terpegun dengan kata ganti nama yang digunakan. Ala-ala Arab, persis sekolah lamanya dahulu yang turut mengetengahkan penggunaan ‘ana, anta, anti, antum’ dalam kalangan pelajar.
            Kakinya terus melangkah deras menuju ke pejabat. Dia mendaftarkan diri di Sekolah Menengah Agama Budiman seorang diri. Dia terpaksa bertukar ke sekolah tersebut kerana ibunya juga perlu ditukarkan ke tempat baru. Bertugas sebagai pensyarah jurusan undang-undang syariah, Puan Azizah tabah mendidik Hafiz bersama adik bongsunya. Sejak kematian  suami hampir lapan tahun yang lalu ketika Hafiz berusia sembilan tahun, Puan Azizah mula bekerja sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berbekalkan ijazah sarjana muda yang dimilikinya. Kini, dia terpaksa dipindahkan ke Universiti Malaya atas sebab-sebab tertentu.
            Saat menjejakkan kaki ke Kelas 5 As-Siddiq, Hafiz merasakan dirinya menjadi santapan mata seluruh penghuni kelas itu. Kelihatan ada yang berbisik sesama mereka. Hafiz jadi tidak keruan. Setelah memperkenalkan diri dalam sesi taaruf, dia mengambil tempat duduk.
             ‘Ah, biarkanlah mereka. Biasalah bila dapat pelajar baru, mestilah lain sikit. Apapun, mulai saat ini aku nak belajar sungguh-sungguh kerana Allah,’ Hafiz sentiasa membetulkan niatnya agar matlamat belajarnya lebih jelas iaitu menuju keredaan Allah. Tidak dihiraukan pandangan orang lain terhadapnya.

Couple itu Haram
            Sudah hampir sebulan Hafiz menuntut ilmu di sekolah baru. Kadang-kadang rasa rindu terhadap sekolah lama menapak di hati. Mana mungkin memorinya terhadap tempat yang telah mentarbiah dirinya, Sekolah Menengah Seri Islam. Empat tahun mengaji di sana banyak memberinya pengalaman yang berharga buat hidupnya. Pahit manis perjuangan di sana kekal dalam sanubarinya. Ukhuwwah yang terbina bersama sahabat manis sekali terasa sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, tiga perkara yang menyebabkan seseorang itu mendapat kemanisan iman iaitu cinta kepada Allah dan Rasul-Nya lebih daripada cintanya kepada yang lain, mengasihi sahabatnya semata-mata kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekufuran selepas diselamatkan Allah daripadanya, sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam neraka.
             “Anta apabila berada di sana teruskanlah perjuangan dakwah ini. Cabaran di sana pasti terlalu banyak, tetapi janganlah anta takut dan sedih kerana Allah bersama kita. Ingat, walau apapun berlaku janganlah putus pergantungan kepada Allah kerana hanya Allah Yang Maha Mengetahui,” pesanan salah seorang temannya, Umar kembali terngiang-ngiang.
             ‘Ya, aku perlu terus berjuang!’ bisik hati kecilnya.
             Sepanjang pengamatannya, masalah ‘couple’ di sekolah barunya itu agak berleluasa. Dalam seminggu, pasti ada pasangan yang ditangkap ‘berdating’ di kelas pada waktu malam, malah pada waktu siang. Ada juga antara mereka yang berutus-utus surat bagi meluahkan rindu palsu masing-masing. Alangkah indahnya jika rindu itu bersemarak kepada Allah. Hanya Allah yang layak dicinta kerana Dialah pencipta cinta.
            ‘Nampaknya, masih ramai pelajar yang tidak ada kesedaran agama. Sekalipun tidak berzina secara zahir, ‘bercouple’ kan perbuatan yang mendekati zina. Allah telah pun melarangnya dalam Al-Quran, jadi sudah pasti hukumnya haram,’
            “Apa yang anta menungkan tu, Hafiz?” Teguran Amirul mengganggu fikiran Hafiz. Semenjak ke sekolah ini, Amirullah satu-satunya sahabat yang rapat dengannya, mungkin kerana mereka dalam fikrah yang sama, ingin melihat Islam kembali gemilang. Amirul ialah ketua Badan Dakwah dan Kerohanian (BDK) di sekolah itu. Disebabkan Hafiz dilihat berpotensi untuk mengembangkan dakwah di sekolah itu, Amirul telah memasukkan nama Hafiz dalam organisasi BDK apatah lagi Hafiz pernah bersekolah di sekolah agama yang terkenal dengan kemantapan gerakan dakwah dan tarbiah.
            Dakwah ataupun bahasa mudahnya ‘ajak manusia buat kebaikan dan cegah mereka buat kemungkaran’, merupakan antara kewajipan umat Islam. Malahan, Allah telah menjelaskan tanggungjawab ini dalam Al-Quran sebagaimana mafhumnya berbunyi “Dan hendaklah antara kamu ada segolongan orang yang menyuruh kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
            “Ana cuma memikirkan masalah ‘couple’ kat sekolah ni dan ana rasa kita perlu membuat sesuatu untuk atasinya. Lagipun, kalau kita tidak atasi masalah tersebut dengan segera, ana takut perkara yang lebih buruk akan berlaku kerana ‘couple’  ialah muqaddimah kepada zina,” ujar Hafiz menjawab pertanyaan sahabatnya.
            “Ya, ana pun rasa begitu. Dulu, sekolah ni tidaklah teruk sangat masalah ‘couple’ ni. Tapi, barisan kepimpinan BDK yang nampaknya kurang bersungguh–sungguh dalam hal ini menyebabkan masalah semakin ni merebak. Ana pun kadang-kadang rasa tidak teguh hendak berjuang apatah lagi memimpin BDK,” satu keluhan keluar daripada Amirul. Dirinya seolah-olah berputus asa.
            “Tidak mengapa sahabatku, janganlah menjadikan masalah itu satu alasan untuk tidak berjuang. Jadikan ia sebagai cabaran yang perlu ditempuhi oleh setiap pendakwah. Mungkin ini juga ujian daripada Allah. Allah nak tengok sejauh mana usaha kita. Jadi, janganlah kita berputus asa,” tutur kata Hafiz penuh hikmah. Amirul mengangguk tanda faham. Hafiz berharap sahabatnya akan terus istiqamah dalam perjuangan ini.
            “Ermm, untuk kes ni ana cadangkan kita buat kempen ‘anti-couple’. Kita boleh memperbanyak tazkirah berkenaan hal ini di surau. Bagi yang telah terjebak dalam cinta monyet ini, kita perlu memberi nasihat dan pengajaran yang berhikmah agar mereka insaf. Kita boleh serahkan mereka kepada ustaz dan ustazah kerana mereka kan lebih pakar,” Hafiz bersuara mempromosi buah fikirannya.
            “Alhamdulillah, bagus cadangan anta tu. Ana setuju. Yelah, mereka ini sebenarnya perlu sentiasa diperingatkan. Maklum sahajalah pengaruh di luar sana tu bila-bila masa sahaja boleh meruntuhkan iman kita. Kita tidak boleh salahkan mereka seratus-peratus. Tanggungjawab menyedarkan mereka terletak atas bahu kita, barisan BDK. Lagipun, pelajar sekolah beragamalah yang diharapkan untuk mengembangkan Islam sebab kita sudah diberi pendedahan, betul tak?” Amirul menyokong pendapat Hafiz.
            “Betul, sebab itulah kita kena mentarbiah pelajar-pelajar kita dahulu agar mereka dapat menjadi permata Islam yang akan menyinari insan di luar sana yang masih lagi dalam kegelapan, tenggelam dengan keseronokan duniawi,” tambah Hafiz lantas mengakhiri munaqasyah mereka. Dalam hati Hafiz memuji kewibawaan Amirul. Patutlah dia dilantik sebagai Ketua Badan Dakwah dan Kerohanian.
            ‘Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk berjuang,’ doa Hafiz dalam hati.
            Selepas berbincang dengan guru penasihat BDK, Ustaz Asri, mereka akhirnya melancarkan kempen ‘anti-couple’. Selama dua minggu kempen ini berjalan, pelbagai aktiviti dijalankan seperti tazkirah, malam keinsafan, ‘spot check’ pencegahan, dan program kerohanian dan kesedaran untuk pasangan yang ‘bercouple’. Alhamdulillah, usaha mereka diberkati Allah dan hampir keseluruhan masalah ini berjaya diselesaikan.
            “Ustaz bangga dengan kamu, Hafiz, Amirul kerana telah berjaya kembali menggerakkan organisasi kita setelah lama terkubur.  Teruskanlah usaha kamu ini. Kamu masih muda, perjalanan kamu masih jauh. Ustaz harap kamu dapat membuka minda pelajar sekolah kita. Kalau bukan kamu pelajar sekolah agama, siapa lagi yang hendak diharapkan untuk meneruskan tugas Rasulullah ini,” ujar Ustaz Asri panjang lebar, tersirat 1001 harapan untuk melihat Islam kembali mekar.
            “Insya Allah, Ustaz,” kedua-duanya berkata serentak.
            ‘Alhamdulillah, ana sesungguhnya tak sangka dapat jumpa Hafiz di sekolah ini, Ahmad. Anak anta memang mewarisi sikap anta. Dia ibarat pengganti anta buat ana,’ Ustaz Asri bermonolog. 


 Masalah Terungkai
            Pergerakan barisan kepimpinan BDK Sekolah Menengah Agama Budiman semakin mantap, gah berdiri bagaikan akar tunjang yang kuat. Organisasi mereka juga kian utuh dengan adanya semangat kerjasama dalam kumpulan. Usrah dan tazkirah pelajar diteruskan di samping halaqah dalam kalangan mereka sendiri. Bagi mereka, amat penting untuk sesuatu organisasi itu berganding bahu dalam melaksanakan misi dakwah kerana sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.
            “Ana bukanlah siapa-siapa yang layak untuk menegur tetapi sekadar peringatan buat semua. Apatah lagi berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran disuruh oleh Allah,” ujar Hafiz dalam halaqah pemimpin pada suatu petang.
            “Kami bersedia menerimanya, lagipun anta telah banyak pengalaman di sekolah lama. Ana tahu perjuangan anta di sana sentiasa bersemarak bak api yang menyala-nyala,” salah seorang anggota kepimpinan, Syed Abduh bersuara.
            “Ya, betul tu. Kami perlukan peringatan dan pengisian rohani untuk membakar semangat perjuangan kita,” seorang lagi, Muiz menambah.
            ‘Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu kerana mengurniakan sahabat-sahabat yang sanggup berjuang di jalan-Mu,’ Hafiz bertahmid dalam hati seraya menyambung butir-butir ucapannya.
            “Ana harap kita sama-sama dapat bermuhasabah diri atas dosa-dosa yang lepas. Kadang-kadang, tanpa kita sedari dosa yang kita lakukan boleh menghalang daripada keberkesanan dan keberhasilan dakwah. Oleh sebab itu, mulai saat dan detik ini, kita tanamkan tekad untuk terus istiqamah membina kekuatan dalaman dalam diri,”
            “Apa maksud anta?” Mursyid bertanya memecah kesunyian.
            “Kita kan nak bawa Islam, jadi sebelum Islam tertegak di atas bumi Allah ini, kita dahulu yang perlu menegakkan Islam dalam diri,” Hafiz menjawab. Semua ahli usrah seramai 12 orang itu mengangguk tanda faham. Hafiz masih menambah.
            “Qiyamullail, puasa sunat, membaca dan menghafaz Al-Quran, solat-solat sunat, dan amalan-amalan yang lain semuanya perlu sebati dalam diri kita. Maknanya, apabila tidak dilakukan amalan-amalan itu, ketenangan kita seolah-olah diragut kerana itulah makanan rohani kita. Barulah keimanan kepada Allah terus kukuh terpateri dalam jiwa kita,”
            “Betul tu, nanti kita sama-sama teruskan usaha melakukan amar makruf nahi mungkar di sekolah ini, kemudian Insya Allah berterusan sehinggalah ke hujung nyawa kita,” Ketua mereka, Amirul menambah dengan menaruh harapan yang tinggi terhadap rakan-rakan pimpinannya.
            “Tapi, bagaimana dengan pelajaran? Ana takut result SPM kita jatuh nanti kalau kita terus berdakwah,” Mursyid kembali bertanya.
            “Mursyid, anta janganlah bimbang, kita kena yakin dengan janji Allah. Jika kamu membantu agama Allah, Allah akan bantu kamu dan mengukuhkan kedudukanmu. Belajar dan dakwah bukanlah ibarat jongkang-jongket, jika dakwah di atas, study jatuh, tapi  berkadar terus. Jika dakwah di atas Insya Allah, study akan turut gempak,” Amirul segera membetulkan persepsi yang salah berkenaan dakwah.
            “Betul tu. Dalam pada masa yang sama kita perlu bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Niat study mesti betul kerana Allah. Kita mesti buat yang terbaik untuk Islam, kena buktikan orang Islam boleh! Takkan kita nak bagi C dan D untuk Islam. Mesti nak kasi A! Insya Allah, pertolongan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi kita,” Saiful yang dari tadi berdiam diri dan hanya mendengar, tiba-tiba menambah dengan penuh bersemangat.
             “Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar… antum semua sudah faham konsep dakwah yang sebenar. Nanti kita bolehlah mengajak Ustaz Asri untuk join halaqah ini agar kita dapat menimba lebih banyak ilmu untuk sama-sama berjuang menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini,”  Hafiz mengutarakan cadangannya.
            “Insya Allah, boleh!” rakan-rakan yang lain menyokong. Kemudian mereka sama-sama membaca doa Rabitah untuk mengukuhkan ukhuwwah yang terbina antara mereka.

Bersambung...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...