Mengambil Ibrah daripada Sebatang PENSEL


Pensel hanya sebatang pensel, namun sebatang pensel tersembunyi hikmah untuk hidup manusia.

Sebatang pensel mampu melakar lakaran lukisan yang mampu memberi keuntungan seisi dunia.
Namun, ingatlah, ibarat pensel, sehebat mana pun pensel itu, ada tangan yang memegangnnya.
Begitu juga dirimu, sehebat mana pun kamu di dunia ini, ada kuasa besar yang menguasaimua, iaitulah Allah, lantas janganlah sombong dan angkuh malah ingatlah kebesaran Tuhanmu senantiasa.

Sebatang pensel yang kerap menulis akan tumpul, namun walaupun pensel itu pasti menderita ketika diraut, pensel akan menjadi tajam dan akan menghasilkan hasil tulisan yang sangat bagus.
Begitu juga dirimu, walaupun kamu terpaksa menempuhi pelbagai kesusahan dalam hidup, namun percayalah bahawa keperitan itu akan menjadikanmu seorang insan yang lebih baik untuk manusia sejagat.

Sifir sebatang pensel, pasti akan menghasilkan tulisan yang salah, namun kesalahan itu boleh dipadamkan.
Begitulah yang diharapkan dalam dirimu. Fitrah manusia, tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan.
Namun, ingatlah bahawa kamu mampu membaiki kesalahanmu dan berubah kepada sesuatu yang lebih baik.

Walaupun hanya sebatang pensel, sang pensel inilah yang mengingatkanmu erti kehidupan yang hakiki.

Sebagaimana pensel itu milik tangan yang memegang dan pasti akan patah atau pendek usianya, begitulah manusia milik Rabbul 'Alamin..Allah yang Maha Agung, manusia pasti akan mati dan kembali pada Tuhan-Nya.

Sama-samalah kita kembali kepada Allah sebelum kita dikembalikan kepada-Nya.
Wallahu a'lam.

Air : tanah rendah VS Ilmu : rendah hati


Ibarat air,
Mana mungkin air bertakung di tempat yang tak mampu ditadah,
Air akan mengalir, turun mengikut aliran yang indah,
Kemudian bertakung di tanah yang rendah,
Subhanallah, cantik sekali sunnatullah.

Begitulah ilmu yang dituntut,
Dianalogikan pada air,
Mana mungkin ilmu akan bersinar di hati yang penuh kesombongan dan keegoan,
Kedekut untuk mencurahkan ilmu yang hakikatnya bukan miliknya,
Tapi bagi orang yang senantiasa merendah diri,
Yang merasakan ilmu milik Tuhan Yang Maha Esa,
Pasti akan terpancar nur ilmu dalam hatinya.
Pasti mudah baginya mengingati dan mengamalkan ilmu itu.

Kata Imam Syafie,
Ilmu itu cahaya dan cahaya tidak akan memberi petunjuk pada hati yang berbuat maksiat.

Allah, Allah, Allah....
Raja segala jasad dan rohani iaitu hati,
Ia milik Allah,
Tuhan Yang Maha Membolak-balikkan hati manusia,
Moga tetapkanlah hati kami atas jalan ketaatan dalam agama-Mu.

Ayuh, lihat alam, fikirkan ciptaan Tuhan, sama-sama amalkan ibrah dalam kehidupan.
LIHAT, FIKIR, AMAL.....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...