Gubahan Jiwa 2


Aku tiada hak untuk mengatakan perbuatan itu salah, wallahu a'lam. Tetapi, bagiku tindakannya merisik melalui mesej di FB agak kurang menyenangkan. Semua itu akan mengundang kepada kelalaian semata-mata tanpa pengawasan sesiapa melainkan CCTV Allah sahaja. Kalau ***** benar-benar serius igin menjadikanku atau sesiapa sahaja mangsa mesejnya, jumpalah wali untuk menyatakan hasrat. Bukankah itu lebih baik?

Aku rasa tidak wajar untuk membalas mesej ***** walaupun niatku hanya untuk menasihati tindakannya itu. Dikhuatiri pula  aku yang 'terbabas' akibat rasa syok bermesej dengan lelaki yang bukan mahramku walaupun atas tujuan yang baik. Takut pula nanti pahala berulam dosa. Lagipun, masih ramai kaum adam yang arif dan soleh untuk menasihatinya.

Biarlah orang mengatakan tindakannya tidak salah, tetapi aku tidak berkenan. Tengoklah, semasa mula-mula mendapat mesej itu, hati aku berdetik dengan risikan itu walaupun hanya dengan kata-kata...yang bagiku, mengusik jiwa sesiapa yang membacanya. Biarkanlah ia.

Lebih baik aku menyepi daripada memberi respon walaupun respon yang mungkin diterima ***** seratus peratus negatif. Aku tidak perlu menghiraukannya. Masih banyak tanggungjawab yang perlu aku laksanakan. Bak kata seorang ulama,"tanggungjawab yang perlu kamu lakukan lebih banyak daripada masa yang kamu ada".

Aku tak nak hatiku terusik lagi dek igauan impian seorang lelaki yang kempunan beristeri. Semoga ***** berjaya menemui pilihan hatinya untuk menjadi suri dalam hidupnya yang mana dapat menyelamatkannya daripada fitnah dunia yang cukup besar iaitu wanita. Mungkin ada lagi wanita yang lebih solehah daripadaku. Cukuplah! Aku tak nak jiwaku terganggu. Biarlah gubahan jiwa ini berhenti di sini dahulu. Andai tiba masanya, pasti akan bersatu jua.


Gubahan Jiwa



Aku membuka peti mesej di ruangan muka buku. Eh, ada lelaki hantar mesej la.


Assalamualikum,
secara terus terang.
sy sedang mencari calon.untuk melengkapi agama sy dan memlihara iman di zaman yg semakin rapuh ini..sy baru buat fb ni khas utk itu.ingin taaruf dengan saudari sekiranya berkeinginan yg sama.
jazakillah


Ya Allah! Siapa yang hantar mesej ini? Siapa ***** ni? Bukan rakan FB aku. Tetapi, macam mana dia boleh menghantar mesej yang itu kepadaku? Macam mana dia boleh kenal aku? Adakah wanita lain pun mendapat mesej sebegini daripadanya?


Bermacam-macam persoalan timbul di benak fikiranku. Tanpa aku sedari, rupa-rupanya hatiku gembira tatkala mendapat mesej itu. Aku rasa dihargai. Meskipun cuma mesej yang seakan-akan 'melamar' aku sebagai suri dalam hidup *****.


Eh! Cop....Cop! Jangan leka. Aku tak boleh terpedaya dengan mesej itu. Memang nampak seolah-olah ***** seorang yang sangat alim. Yelah, mana tidaknya, sanggup dia membuka akaun FB untuk mencari calon isteri demi menyelamatkan diri di zaman yang mencabar ini.

Tetapi....

Aku langsung tak kenal lelaki ini. Entah benar atau tidak dia ingin menjadikan aku isterinya. Aku masih muda, masih di takuk ilmu. Entah-entah dia sahaja ingin menguji muslimah sepertiku. Ah, tak usah dipedulikan lelaki yang bernama ***** itu. 

Tetapi, perlukah aku membalas mesej itu? Tidak timbul fitnah kah nanti? Walaupun niatku hanya untuk menasihati tindakannya itu. Tetapi salah kah tindakannya itu??

......................

.................

.............

Nantikan kesudahan Gubahan Jiwa dalam post yang akan datang.
Wallahu a'lam...

Sejauh Mana Keberhasilan Dakwah

"Dan hendaklah di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Dan mereka itulah orang yang beruntung"
(Ali-Imran:104)

Saya kekadang sedih tatkala 'berjalan' di ruangan facebook tatkala melihat pelbagai gambar yang tidak sepatutnya dilihat. Apatah lagi orang tersebut terlalu baik di hadapan saya semasa saya bersamanya dan saya terlalu menghormatinya. Namun, sukar untuk saya menipu diri sendiri bahawa saya kurang mampu untuk menghormati dan menyayanginya lagi apabila melihat segala kemungkaran itu.

Ah! Cepat sekali saya membuat andaian. Kalau benar dia sudah berubah, dengan gambar yang tidak menutup aurat, sedangkan pada suatu masa dahulu saya telah banyak mentarbiahnya supaya menutup aurat dan telah beracap kali saya menasihatinya untuk tidak melakukan kemaksiatan...apakah itu salahnya kerana tidak mengambil berat akan dakwah saya padanya?

Tanpa saya sedari, keberhasilan dakwah seseorang kekadang terhalang dengan kesalahan pendakwah itu sendiri. Tidak adil rasanya andainya saya menghukum sahabat saya, keluarga saya atau sesiapa sahaja yang telah saya dakwah atas segala kejahatan, kemungkaran dan kemaksiatan mereka. Apakah saya ini sudah terlalu sempurna dan baik dengan meletakkan 'jauhnya' mereka dari Tuhan itu adalah kerana kelalaian dan kealpaan mereka??

Beberapa persoalan bermain di minda. Adakah di kala saya bersama dengan mereka dahulu, dan pada saat itu saya selalu mengajaknya kepada kebaikan, hati saya ikhlas berdakwah semata-mata kerana Allah? Adakah saya berdakwah untuk mendapat penghormatan mereka sahaja? Adakah segala nasihat dan peringatan saya kepada mereka telah saya amalkan terlebih dahulu? Adakah saya sentiasa istiqamah dengan dakwah saya kepada mereka?

Hampir sahaja jawapan bagi persoalan itu menjurus ke arah negatif. Sebagai pendakwah, sama-sama kita renungkan. Kealpaan madu'u(orang yang diajak ke arah kebaikan) kekadang disebabkan kealpaan para pendakwah. Ingatlah bahawa hidayah dan petunjuk adalah milik Allah. Pendakwah hanya mampu berusaha, berdakwah, dan berdoa, tetapi yang menggerakkan hati madu'u ke arah kebaikan ialah Allah. Put trust on Allah!

Justeru, andaikata dakwah kita selama ini kurang berhasil, janganlah hanya meletakkan kesalahan pada para madu'u. Refleksilah diri kita terlebih dahulu. adakah kita sudah benar-benar thiqah dalam dakwah kita untuk mengharapkan keredhaan Allah? Sememangnya dakwah itu sangat-sangat susah kerana syurga itu manis....
Wallahu a'lam.


Ayuh muhasabah diri wahai para daie' ilallah...
Giatkan dakwah, mantapkan tarbiyah!!

Pandai cakap tapi tiada ilmu

Selalunya orang yang pandai bercakap ini sering dianggap orang yang banyak ilmu. Atau adakah orang yang pandai menyusun kata ini hanya seorang yang beromong kosong sahaja. Bagi saya, orang yang pandai bercakap tidak semestinya mereka yang berilmu tinggi manakala orang yang berilmu tinggi pula tidak semestinya orang yang pandai berbicara.

Baru-baru ini persatuan di sini mengadakan pertandingan debat, pidato, wacana minda dan syarahan dengan tujuan untuk mencungkil bakat. Saya teringin sekali menyertainya tetapi apabila memikirkan sekalipun saya pandai berkata-kata tetapi tidak mempunyai ilmu di dada, apalahlah guna kata-kata itu jika tidak mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Kemudian, apabila menyaksikan sendiri pertandingan itu, diri saya terasa sangat kerdil. Manakan tidak. Semua peserta yang bertanding semuanya hebat-hebat belaka. Saya melihat mereka yang bertanding mempunyai kombinasi dua elemen iaitu ilmu dan kemahiran bercakap. Dengan adanya dua elemen ini, apa yang disampaikan mereka mampu meresap ke dalam sanubari penonton.

Alhamdulillah,pertandingan mencari bakat itu menjadi batu loncatan untuk saya terus mengasah bakat yang terpendam untuk dikeluarkan isinya pada masa-masa akan datang. Saya bukanlah ingin mengatakan bahawa saya ini seorang yang sangat berbakat tetapi bagi saya bakat itu boleh dipupuk dan dilatih untuk menjadi sesuatu yang lebih baik.

Seringkali saya berasa rendah diri untuk mengembangkan kebolehan berkata-kata yang Allah pinjamkan kepada saya dengan alasan tiada ilmu yang banyak di dada sama ada ilmu tentang isu semasa, ilmu agama, ilmu psikologi mahupun apa-apa ilmu yang hebat seperti mana hebatnya ilmu Allah yang disampaikan oleh mana-mana pendebat mahupun pemidato.

Tetapi, saya tersedar bahawa Allah tidak menjadikan hamba-Nya ini dengan sia-sia, justeru saya tekadkan hati mulai sekarang untuk terus menggali ilmu Allah disamping terus memperbaiki cara berkomunikasi dengan harapan selepas ini saya mampu untuk menonjol ke hadapan bagi menyampaiakn ilmu Allah dengan cara yang terbaik. Inilah juga cara yang perlu dimiliki oleh seorang pendakwah dalam mendekati dan membawa masyarakat ke arah kebaikan.

Demi Islam, saya harus bangkit. Tiada ilmu walaupun pandai berbicara bukan alasannya untuk mengabaikan anugerah Allah itu. Tiada kemahiran berucap walaupun ada ilmu bukan pula alasannya untuk tidak menyampaikan ilmu tersebut seperti mana ungkapan hadis Nabi SAW yang selalu didengari,"sampaikan dariku walaupun satu ayat".

Ayuh teman-teman kita menderap langkah untuk sama-sama kita garap dan bina kembali diri kita. Allah tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Allah meanugerahkan kita dengan kelebihan, jadi janganlah kita mensia-siakannya. Allah tidak menjadikan kita bodoh tetapi Allah menjadikan kita dengan kepintaran yang berbeza-beza.


Sama-sama muhasabah diri dan beramal...Moga Allah redha!!
Wallahu a'lam.

Mak, Abah!...aku rindu kamu

Tetiba sahaja perasaaan ini kangan sama mak dan abah,
Dua purnama aku di perantauan,
Di kala pemergianku menadah ilmu,
Terasa sudah terlalu lama aku berjauhan.

Kini ku mula rasai betapa indahnya saat itu,
Saat aku diberi peluang menolong mak abah,
Saat aku mampu mengucup dahi mereka,
Saat aku mencium tangan mereka.

Di kala aku merindui semua itu,
Aku sedar,
Aku sudah jauh daripada mereka,
Jauh di mata dekat di hati.

Penyesalan kekadang bertandang,
Alangkah kalau aku menghargai mak abah,
Tatkala mereka di sisi,
Namun, semuanya tidak bereti lagi.

Cukuplah dalam kejauhan ini,
Kutitipkan doa buat mak dan abah,
Kukhabarkan kejayaan yang gemilang buat mereka,
Walaupun hanya kumampu,
Dengari suara mereka sahaja.

Hakikatnya aku tak pernah lupa mak abah,
Dan aku harap sangat-sangat,
Aku tidak sekali-kali lupa mereka,
Apatah lagi mengabaikan mereka.

Ya Allah ampunilah dosaku terhadap mak abah,
Mak abah, redhailah aku,
Moga Dia jua meredhaiku,
Doakan aku dapat mendakapmu,
Dengan segulung ijazah di tanganku,
Untuk memanfaatkan insan di tanah airku.

Aku rindu sangat-sangat kamu,
Wahai mak abahku!!!


Di sebalik kain kecil ini



Di sebalik kain kecil ini,
Aku merasakan ketenangan,
Menikmati kedamaian,
Wajahku terpelihara daripada pandangan,
Menutup pintu fitnah wanita
Fitnah paling besar akhir zaman ini,
Hamdalah...“Alhamdulillah”.

Adanya kain kecil di mukaku,
Belum tentu mataku bebas meliar,
Belum tentu aku sudah solehah,
Belum tentu aku orang baik,
Kupakainya kerana siapa?
Kututup mukaku kerana apa?
Adakah ingin menunjuk aku baik?
Adakah untuk memikat lelaki beriman?

Ingatlah wahai hati,
Pakailah kain ini kerana Allah,
Bukan kerana manusia semata-mata,
Bukan kerana persekitaran cuma,
Pakainya bukan untuk memperlekeh,
Wanita yang tak memakainya.

Pakailah kerana-Nya,
Moga diredhai-Nya,
Moga disukai-Nya ,
Moga diberkati-Nya,
Moga ianya menjadi saham di akhirat kelak.
Amiin…..

Indahnya Doa

Salam mujahadah daripada saya buat semua...semoga dalam inayah-Nya selalu.

Alhamdulillah, tadi semasa kelas khat, ustaz menyuruh kami menulis satu ungkapan dalam tulisan khat rika'h. Ungkapan tersebut daripada seorang ulama tetapi tidak diketahui namanya.

في الوقت الذي يريد لا في الوقت الذي تريد

Maksud ungkapan berhikmah ini ialah pada waktu yang Dia mahu, bukan pada waktu yang kamu mahu. Apa yang ustaz terangkan kepada kami dalam kelas khat tadi ialah sebagai hamba, kita akan berdoa apa-apa sahaja. Contohnya berdoa supaya diberikan kemahiran dalam khat. Apa yang kita hajatkan pasti akan terkabul tetapi bukan pada waktu yang kita inginkan tetapi pada waktu yang Allah kehendaki.

Ustaz turut berpesan kepada kami untuk sentiasa berdoa kerana doa kita pasti akan dimakbulkan Allah, cuma cepat atau lambat ataupun Allah memakbulkan dalam bentuk yang lain. Anda boleh merujuk kembali post saya yang lepas tentang cara Allah makbulkan doa (klik sini)

Sama-samalah kita beramal, insya Allah....Terima kasih ustaz atas nasihat itu...moga Allah redha.
Wallahu a'lam.

Raya Yang Istimewa


Salam mujahadah dan selamat berjuang sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian. Hari ini, saya cuma ingin berkongsi pengalaman beraya buat pertama kali di perantauan.

Alhamdulillah, suasana raya Aidil Adha di bumi Mu'tah ini seperti raya Aidilfitri di Malaysia. Ziarah-menziarahi, memenuhi undangan rumah terbuka, melapah daging korban secara beramai-ramai dan yang paling best dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

Apa yang buat saya bersyukur dan teruja sangat-sangat ialah saya dapat kenal ramai orang. Kalau dahulu, ada senior yang pernah jumpa tapi kemudian tak ingat nama. Ada senior yang langsung tak pernah jumpa. Tapi, apabila saling menziarahi semasa raya ini, nama mereka sudah lekat di ingatan dan dapat berkenalan dengan mereka yang langsung tidak pernah berjumpa. Alhamdulillah.

Semalam pun saya baru sahaja menziarahi sahabat dari Thailand. Subhanallah, walaupun hidup mereka simple, tapi melihat kesungguhan mereka yang lebih daripada kami pelajar Malaysia, diri terasa sangat kerdil apatah lagi tatkala mengetahui satu sikap mereka yang sangat bagus iaitu mereka benar-benar mengaplikasikan bahasa arab dalam kehidupan seharian. Insya Allah, saya ingin mencontohi mereka.

Sejujurnya saya cakap bahawa saya tidak terlalu sedih beraya di perantauan walaupun tiada keluarga di sisi kerana sahabat-sahabat di sinilah keluarga baru saya sekarang. Namun, apa yang paling penting ialah bukan sekadar mengenali, bertaaaruf dengan sahabat-sahabat, makan beramai-ramai, ziarah rumah itu dan ini, tapi bagaimana kita menjaga ukhuwah dengan mereka. Maknanya, bukan sekadar waktu perayaan ukhuwah dipererat, tapi selama-lamanya sehingga ke syurga.

Antara cara mencapai kemanisan iman adalah dengan mencintai sahabat kerana Allah. Subhanallah, nampak senang kan? Tetapi, sejauh mana kita mampu aplikasikannya itu sesuatu yang agak sukar, tapi dengan mengambil ibrah pengorbanan dalam suasana Aidil Adha ini, kita mampu mencapainya kerana ukhuwah dalam persahabatan perlukan pengorbanan, bukan sahaja wang, tenaga mahupun masa bahkan kita terpaksa berkorban perasaan sendiri demi sahabat.

Apapun, sama-samalah kita menghargai sahabat kerana sahabat di kala suka mudah dicari namun sahabat di saat duka amat sukar didapati. Dalam mood raya ini, jangan lupa mengambil peluang bermaaf-maafan atas segala kekhilafan walaupun pada hakikatnya bukan semasa raya sahaja masa untuk meminta maaf. Semoga Allah redha dengan kita dan menerima setiap amalan yang kita lakukan kerana-Nya.

Salam ukhuwah daripada saya...mohon maaf atas segalanya.
Wallahu a'lam.

Kapas, Kertas, Kulit

Salam Aidil Adha buat semua. Semoga dalam naungan rahmat Allah selalu. Alhamdulillah atas segala nikmat kurniaan Tuhan yang tidak terperi. Insya Allah hari ini saya ingin berkongsi tentang kapas, kertas, dan kulit. Kenapa saya memilih tajuk ni ye?? Mentang-mentang la musim korban, kulit dijadikan isu. Ada apa dengan 3K ini?? Sebenarnya apa yang saya ingin kongsikan ini saya petik daripada seorang senior dalam satu majlis sambutan raya di sini. Moga menjadi saham ilmu yang bermanfaaat di akhirat kelak.

Sebagai manusia yang lemah, kita selalu membeza-bezakan kapas, kertas dan kulit antara kita. Saya analogikan  kapas sebagai pakaian, kertas sebagai pangkat dan sijil yang kita peroleh, manakala kulit sebagai warna kulit dan bangsa kita.

Kita selalu mementingkan kedudukan yang tinggi, pakaian yang cantik-cantik, orang yang berwajah cantik tanpa memikirkan kedudukan orang lain dengan selalu meremeh-remehkannya. Sekali pun semua itu tiada dalam diri kita, tapi kita juga sering memuja-muja orang yang dianggap 'hebat' itu sehingga sanggup mengampu mereka dan melakukan apa sahaja untuk mereka bagi mendapat ganjaran.

Tanpa kita sedari, manusia ini hanyalah sama sahaja tidak kira pangkat, warna kulit, mahupun kekayaaan yang dimilikinya. Sesungguhnya manusia yang terbaik dalam kalangan kita di sisi Allah SWT hanyalah orang yang bertaqwa. Jika mereka lebih cantik, lebih kaya, lebih berpangkat, lebih hebat daripada kita sedangkan mereka pun daripada kalangan orang yang bertaqwa walaupun taqwa hanya Allah yang layak menilai, janganlah sedih kerana Allah menjadikan setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Saya mempunyai seorang rakan arab wanita yang sekuliah dengan saya yang bernama Rozan. Saya suka memerhatikannya. Saya selalu memuji Rozan di hadapan rakan Melayu saya. Saya selalu cakap yang Rozan ini sangat cantik seolah-olah saya sangat kagum pada kecantikannya. Kemudian, rakan saya yang bernama Hikmah menegur saya, " Takpe, Fatimah...Rozan kelebihannya cantik, tapi kita ada kelebihan pada sudut lain pula".

Sememangnya Allah menjadikan manusia ini tidak sia-sia. Lihat sahajalah pada proses penciptaan manusia yang sudah tiada taranya. Sudah pastinya penciptaan kita ini cukup cukup hebat. Cumanya, kelebihan yang kita ada ini perlu digilap dan diasah. Ops!! bukan sekadar perlu digilap, bahkan WAJIB dicungkil dan diasah supaya dengan kelebihan ini, kita mampu mengimarahkan dunia yang sementara ini dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang khalifah di atas muka bumi ini.

Semoga sama-sama kita muhasabah diri.
Segala KAPAS, KERTAS dan KULIT hanyalah pinjaman Allah kepada kita.
Dengannya kita mampu menjadi insan yang terbaik.
Walaupun KAPAS, KERTAS dan KULIT kita tidak hebat, tetapi Allah menjadikan kita sebagai seorang yang sangat HEBAT....

Ayuh menjadi orang hebat....
Wallahu a'lam.

Salam Aidil Adha


Salam beribadat buat semua.
Mungkin tidak terlalu awal saya hendak mengucapkan Salam Aidil Adha buat semua pengunjung blog ini.
Jadual sepanjang cuti raya, pastinya sibuk.(saya pun sibuk)
Apapun, penuhilah masa cuti raya ini untuk sama-sama kita tingkatkan ibadat kepada Allah.
Tapi ingat, beribadah bukan hanya pada masa tertentu sahaja kerana seluruh hidup kita adalah ibadah.
Salam Aidil Adha dan selamat menjalani ibadah korban.
Mohon maaf atas segala keterlanjuran bicara dan tutur kata.
Kullu 'am wa antum bikhoir.
Wallahu a'lam...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...