Usaha Mesti Sehabis Daya

Salam mujahadah buat semua. Semoga iman anda dalam keadaan 'sihat' selalu. Hari ini saya baru sahaja selesai imtihan awal subjek ikhtiari (subjek pilihan) iaitu Mabadi' Tarbiyah Arriyadhiyah. Subjek ini berkenaan sukan. Sukan Olimpik, sukan zaman dahulu di India, Cina, sifat-sifat atlet dan banyak lagi berkenaan sukan.

Alhamdulillah, soalan yang diberi dapat dijawab semuanya dengan baik tetapi sejauh mana kesahihan jawapan, saya berserah sepenuhnya kepada Allah. Saya hanya mampu berusaha dan menjawab yang terbaik dalam peperiksaan, tetapi, yang memberikan natijahnya, sama ada cemerlang atau kurang cemerlang tidak lain dan tidak bukan hanyalah Allah SWT.

Tetapi, tiba-tiba sahaja saya kembali berfikir, "Benarkah aku sudah buat yang terbaik dalam ujian tadi? Kenapa aku hanya membaca satu nota sahaja sedangkan soalan yang keluar tadi terdapat dalam nota yang lain?"

Terasa menyesal pula kerana saya hanya bergantung dengan satu nota sahaja, akibatnya ada soalan yang saya jawab mengikut kefahaman yang sedia ada sahaja(saya redah je jawab ikut logik). Kalaulah saya study juga nota yang satu lagi. Astaghfirullah, tak baik sebut kalau, kalau ni.

Adakah ini yang dikatakan usaha sehabis daya? Bagi saya usaha saya kali ini untuk peperiksaan hari ini masih lagi  bukan usaha yang sehabis daya kerana saya kembali berfikir, usaha yang sehabis daya ialah apabila kita tidak mampu hendak menyangkal lagi usaha kita. Maknanya, semuanya kita sudah laksanakan, tinggal lagi bertawakkal kepada Allah atas usaha yang telah dibuat.

Saya bagi contoh, saya akan menduduki satu peperiksaan, jadi saya mengulangkaji semua nota yang saya ada. Nota daripada kawan-kawan mahupun nota rujukan saya sendiri. Apabila masa peperiksaan hampir tiba, saya bertanyakan diri saya sendiri, "Apa lagi yang perlu aku ulang kaji ni? Nota semuanya sudah baca, faham dan hafal, solat hajat tak tinggal, doa selalu buat, apa yang tak faham dah tanya pada orang lain, tinggal lagi buat yang terbaik dalam exam dan tawakkal." Semuanya sudah dibuat, sehinggakan apabila checklist kembali, dah tak tahu nak buat apa lagi dah.

Tapi, benda yang dah jadi hari ini, tak usah nak dikesalkan.(saya cuba pujuk hati saya) Apa yang terjadi, baik dan buruk semuanya dalam percaturan Allah, tetapi tidak semestinya apa yang buruk itu tidak mampu menjadi yang lebih baik pada masa akan datang. Selagi keputusan sesuatu usaha itu belum diperoleh, masih ada lagi usaha yang perlu terus, terus, dan terus dilaksanakan iaitu DOA dan TAWAKAL.

Hanya pada-Nya sahaja saya berserah. Semoga Allah memberikan saya dan anda semua kejayaan yang cemerlang yang diberkati dan diredhai dalam apa jua yang kita laksanakan. Semoga perkongsian saya kali ini dapat menjadi muhasabah dan pedoman buat anda semua. Saya mohon maaf atas segala kekhilafan.
Wallahu a'lam.

Malam seorang Imam

IMAM ABU HANIFAH R.A

Dari belakang dinding rumah seorang gadis kecil, pada setiap malam dia sering melihat bayang-bayang pohon yang melintang di sebelah rumahnya. Anehnya, bayangan itu hanya kelihatan pada waktu malam. Setiap malam apabila mengintip dari celah-celah dinding rumah, ia akan melihat bayangan pohon itu. Padanya kejadian itu agak menakutkan, seperti  ada bayangan orang yang hendak menghampiri, tapi lama-kelamaan ia jadi terbiasa dengan kehadirannya.

Namun pada suatu malam, gadis kecil itu tidak mampu melihat pohon yang melintang di sebelah rumahnya, begitu juga dengan malam-malam berikutnya. Seperti ada yang hilang, ia bertanya pada si nenek yang sentiasa menemani waktu tidurnya.

"Nek, malam-malam sebelum ni  aku selalu lihat bayangan pohon yang melintang di sebelah rumah kita. Tapi sekarang sudah tidak kelihatan. Ke mana pohon itu  nek? Ditebang ke? Atau mungkin sudah tumbang ? “

Mendengar pertanyaan cucunya, si nenek pun menangis.

Seminggu yang lalu tetangga  mereka, Imam Abu Hanifah RA baru saja meninggal dunia. Sebagai ulama muttaqin, setiap malam beliau mengerjakan solat malam (qiyamulail). Begitu khusyu' , khudu’ dan tuma'ninahnya seorang Imam berdiri mengerjakan solat di keheningan malam sehingga gadis kecil di sebelah rumahnya menyangka dirinya bagaikan pohon besar yang bayangannya melintang di rumah gadis kecil itu.




 SubhanAllah ! Alangkah indahnya sekiranya kita hari ini sebagai 'penuntut ilmu' mampu menghidupkan malam seperti mana Imam Abu Hainfah menghidupkan malamnya.
Siang harinya penuntut dan pengajar ilmu, malam harinya seorang ‘abid laksana pohon, khusyu, khudu’ dan tuma’inah berdiri menghadap Rabbul Jalal !
Pada hari ini  dikenang sebagai seorang ulama’ yang membawa rahmat buat umat. Contohi mereka, mereka pedoman buati kita. 

Wallahu'alam.
 

p/s: saya copy paste daripada orang lain sahaja...untuk pedoman semua.

Ada jodoh tak ke mana

Salam cinta kerana Allah semuanya. Tiba-tiba sahaja bercakap tentang jodoh. Wah, ada sesiapa yang akan mendirikan masjid ke? Takdelah. Cumanya, mengingatkan hari itu persatuan di sini ada mengadakan kenduri kesyukuran mutazawij bagi pasangan-pasangan Malaysia yang sudah pun berumah tangga, jadi terasa ingin mencoret tentangnya.

Saya cukup tersentuh dengan kata-kata seorang ustaz semasa majlis kenduri itu yang mana beliau sempat berpesan dengan menekankan persediaan ke alam perkahwinan perlu disiapkan di usia remaja lagi, bukan sebelum berkahwin supaya bait muslim yang terbina mampu mencorakkan generasi yang bertaqwa pada masa akan datang. Daripada individu muslim yang bertaqwa melahirkan bait muslim yang bahagia sekaligus menyerlahkan masyarakat yang sentiasa hidup dalam syariat Islam yang syumul ke arah pembentukan daulah islamiyah yang dimpi-impikan.

Saya ini sebenarnya tidak layak untuk bercerita tentang hal ini memandangkan umur pun masih setahun jagung kata orang. Cuma berdasarkan pengalaman sahabat-sahabat di sekeliling saya, dapatlah saya mengambil ibrah sedikit banyak daripada mereka. Ada seorang sahabat saya sudah pun bertunang, ada juga yang sedang hangat menjalinkan hubungan dengan 'seseorang'. Ada juga sudah diikat dengan satu ikatan tidak rasmi (sudah dicop orang).

Ada juga seorang senior saya yang pernah bercerita kepada saya bahawa sangat susah hendak menjaga hati dalam kalangan sesama sahabat yang bukan mahram. Apatah lagi, apabila berada di tempat belajar yang sama, bekerja di tempat yang sama, bahkan berchatting dalam satu laman yang sama. Dalam melaksanakan urusan dakwah pun, hati boleh tergugat, apatah lagi urusan-urusan lain.

Apa pun, perlu diingat bahawa perhubungan lelaki dan perempuan yang diredhai Allah hanya adalah selepas saat ijab kabul dilafazkan. Bukan ketika hati mereka sudah berpunya tanpa apa-apa ikatan. Sebab itulah, hati perlu dijaga dengan sebaik mungkin supaya tidak terjerumus ke arah kelalaian duniawi. Sememangnya perasaan ingin mencintai dan dicintai itu fitrah yang tidak boleh dihalang, tetapi perlu dikawal.

Ingatlah dan yakinlah bahawa jika ada jodoh pasti takkan ke mana. Asalkan kita terus mempersiapkan diri ke arah jalan yang diredhai Allah, Allah pasti akan menetapkan yang terbaik buat hamba-hamba-Nya.
Wallahu a'lam.




Jahiliyah Moden


Alhamdulillah, syukur dipanjatkan atas nikmat iman dan islam kurnian-Nya. Sebut pasal iman ini, kita semua maklum iman yazid wa yankus. Bertambah dan berkurang. Tetapi hendak menstabilkan iman adalah sesuatu yang sangat sukar. Inilah pentingnya mujahadah. Jika kuat mujahadah, selamat iman, jika lemah jihad nafsu daalm diri, alamatnya jatuh iman kita.

Walaupun zaman sekarang bukan lagi zaman jahiliyah, tetapi jahiliyah moden yang menyerang masyarakat kini menjadi faktor utama lemahnya iman apatah lagi kurang mujahadah yang dilakukan. Saya sendiri pun masih lagi dalam proses bermujahadah dan mujahadah ini bukannya boleh dilakukan sekali dua, bahkan berterusan dari hari ke hari, jam ke jam, hatta dari saat ke saat nafas kita masih dapat dihirup.

Kekadang, nafsu yang membuak-buak mendorong kita ingin melakukan perkara yang kita anggap hanya untuk menghiburkan kita, tetapi hal itu melalaikan sehingga lupa pada batas-batas agama sehingga solat diabaikan, kerja-kerja Islam tertangguh, ilmu yang dipelajari terkubur begitu sahaja dan bermacam-macam lagi kesan-kesan negatif.

Cukuplah pengalaman saya sendiri menjadi iktibar. Kekadang melayan drama-drama Korea memang menyeronokkan. Alasannya untuk release tension selepas penat belajar. Tetapi tanpa sedar hati terganggu, dirasakan ada sesuatu yang lain dalam jiwa. Ketenangan seolah-olah diragut. Jahiliyah moden telah merosakkan hati walau dari segi luarannya masih kelihatan terjaga.

Tetapi, setelah saya merasakan hal itu (drama Korea) telah 'memusnahkan' diri saya, akhirnya saya diberi kekuatan untuk permanently delete semua fail cerita itu. Alhamdulillah, saya rasa seperti dilahirkan semula. Rasa tenang sangat-sangat. Selama ini terasa jauh daripada Allah, kini tidak lagi. Harap-harap tidak sama sekali. Sekalipun diuji, harapnya janganlah ujian itu menjauhkan diri saya daripada-Nya.

Jiwa saya makin terhibur dan riang apabila saya memaklumkan kepada rakan dan senior saya bahawa saya telah 'membunuh' jahiliyah moden itu, mereka serta merta mengucapkan tahmid. Saya tersentuh sangat-sangat. Barangkali mereka selalu mendoakan saya dan terlalu ingin melihat saya jauh daripada kelalaian duniawi yang sementara cuma.

Alhamdulillah sangat-sangat. Oleh sebab itu, saya rasa terpanggil untuk berkongsi rasa gembira, tenang dan tenteram ini kepada anda semua. Kini, saya sedang menyibukkan diri untuk menghiburkan diri dengan sinar-sinar Islam. Jikalau kelapangan, sedaya upaya saya cuba untuk memenuhinya dengan tontonan ceramah-ceramah agama dan video yang memberi semangat dalam jiwa.

Saya tidak mempunyai kuasa untuk menyuruh anda meninggalkan semua karat jahiliyah dalam diri masing-masing kerana saya sendiri pun masih bertatih untuk mujahadah dan masih belum mampu mencapai darjat ketaqwaan yang tinggi, tetapi semoga pengalaman yang saya kongsikan kepada anda mampu menjentik pintu hidayah daripada Allah kepada anda, insya Allah disamping mujahadah dan doa yang sentiasa dipanjatkan pada-Nya.

Cumanya, bagi saya (yang masih belum kuat mujahadah), menghapuskan sumber-sumber yang boleh membawa kepada jahiliyah moden yang berupa hiburan yang melalaikan jiwa sangat WAJIB dilakukan. Kenapa?? Kerana iman manusia ini ada naik dan turunnya, tetapi dikhuatiri apabila iman kita lemah, kita akan terjerumus kepada kesesatan yang lebih teruk, nau'uzubillah.....semoga dijauhkan darinya.

Rasanya sekadar itu dahulu perkongsian saya. Bukanlah saya ingin membuka pekung di dada sendiri, cuma apa yang dinukilkan di sini diharapkan mampu menjadi peringatan buat anda dan diri saya terutamanya supaya kita sama-sama menjadi insan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga beramal dan ilmu yang diperoleh bukan untuk kebaikan sendiri semata-mata tetapi mampu bermanfaat buat insan yang lain.

Ampun maaf dipinta atas segala kekhilafan diri saya yang hina ini. Wallahu a'lam.

Khat oh Khat

Salam perjuangan buat semua. Terasa telah lama mengabaikan laman ini. Jutaan kemaafan dipohon. Kali ini saya hanya ingin berkongsi sedikit pengalaman, moga dapat menjadi iktibar buat semua, insya Allah.

Baru-baru ini saya telah mendaftarkan diri dalam satu kelas khat yang dianjurkan persatuan di sini. Mula-mula dapat tahu ada kelas khat, saya punyalah gembira. Gembira sangat-sangat kerana sebelum ini saya tidak pernah berpeluang untuk belajar khat dengan lebih mendalam.

Tapi, kali ini saya mengambil peluang itu. Barangkali dahulu, peluang sudah terbentang di depan mata, tapi mungkin saya sahaja yang mengendahkannya. Tatkala mula-mula menyertai kelas khat itu, saya rasa sedih sangat. Sedih apabila melihat tulisan rakan-rakan yang cukup cantik. Dengki pun ada masa itu. Astaghfirullah.

Apabila mula-mula tulis khat, susahnya Ya Allah, sehinggakan saya rasa macam hendak berputus asa dan tidak ingin lagi hadir untuk kelas kali kedua. Pada hari kelas khat kali kedua diadakan, saya paksa juga diri saya. Alhamdulillah, perasaan saya sangat berbeza. Tiba-tiba sahaja saya merasakan Allah menghadirkan kemudahan dalam diri saya. Saya rasa sangat bersemangat dan walaupun tulisan saya masih belum cantik, tetapi lebih baik daripada sebelumnya.

Mulai saat itu, saya tekad. Saya tidak akan berputus asa. Saya akan terus istiqamah dan berusaha. Minat boleh dipupuk dan hasil yang terbaik akan datang dengan semangat juang yang tinggi. Wah! berapi-api ayat. Kalau hendakkan hasil yang totally perfect dalam masa tidak sampai sehari, ianya sesuatu yang agak mustahil. Practice makes perfect. Jadi kena banyakkan latihan. Insya Allah, boleh!!

Jika kita kembali kepada sirah Rasulullah saw, bagaimana Baginda sendiri berjaya dalam dakwahnya setelah 23 tahun berdakwah. Bukan dalam masa sehari dua Baginda berjaya menyampaikan Islam kepada umat, tetapi dalam tempoh yang sangat lama. Tetapi, adakah Rasulullah saw berputus asa dan berpaling daripada jalan dakwah??Tidak sama sekali.

Semoga semangat perjuangan Baginda menjadi inspirasi buat saya dan anda semua dalam melakukan sesuatu perkara yang bermanfaat. Sekalipun hal itu cukup simple dan mudah, tetapi jangan sesekali pandang enteng terhadap hal tersebut. Cukup sekadar itu dahulu. Semoga Allah meredhai kita semua.

Wallahu a'lam.

Solat Subuh dulu ye!!


Salam mahabbah buat semua pengujung dan follower laman ini, semoga diberkati selalu. Semasa saya menghadiri satu kelas tambahan Ulum Quran, ustaz yang mengajar itu membawakan satu kisah buat kami. Kisah ini berkenaan seorang pensyarah yang agak syadid dan beliau dikatakan boleh mengetahui sesuatu yang tidak dapat dijangkakan oleh para pelajar.

Suatu hari, seorang pelajar perempuan masuk lewat ke kelas pensyarah tadi. Dalam kelam kabut budak itu ingin masuk ke kelas tetapi sempat ditahan oleh pensyarah tadi. Tiba-tiba, pensyarah itu menyuruh perempuan tadi solat Subuh terlebih dahulu sebelum masuk ke kelas. Pelajar perempuan itu sangat terkejut. Rupa-rupanya, disebabkan dia bangun lewat daripada tidur kerana sudah kelewatan ke kuliah, dia tidak sempat menunaikan solat Subuh dan hal ini diketahui oleh pensyarah tadi.

Tatkala mendengar kisah itu, saya sangat kagum dengan pensyarah itu. Dalam fikiran saya, pensyarah itu semestinya seorang yang mempunyai hubungan yang kukuh dengan Allah sehingga Allah mengurniakan kelebihan sebegitu kepada beliau. Saya masih belum berkesempatan untuk menuntut ilmu dengan beliau, tetapi saya amat berharap suatu masa nanti saya diberi peluang bertemu empat mata dengan beliau.

Apapun, semoga kisah yang saya kongsikan dapt menjadi pengajaran buat semua. Jangan sesekali meninggalkan solat walau apa cara sekalipun. Sekalipun orang lain tidak nampak dan tahu perbuatan anda, tetapi Allah itu Maha Mengetahui. Selamat beramal.....Wasssalam, wallahu a'lam.

Bahasa Arab atau Syariah??

Salam perjuangan buat semua yang mengunjungi laman "lihat, fikir, amal". Semoga anda semua dirahmati dan diberkati Allah sentiasa. Kenapa saya menimbulkan persoalan yang tiada jawapan ini? Tidak mengapa tapi sekarang saya ingin menimbulkan persoalan lain yang mungkin membantu menjawab soalan di atas. Agak-agak anda apabila seseorang pelajar yang berkelulusan ijazah dari Timur Tengah pulang ke kampung halamannya, adakah orang kampungnya akan bertanyakannya sama ada dia itu mengambil jurusan bahasa arab ataupun syariah?

Sebagai contohnya, katakanlah saya ini berkelulusan syariah, kemudian seorang guru sekolah agama meminta bantuan saya untuk mengajar bahasa arab di sekolahnya. Namun, adakah wajar saya menolak atas alasan saya belajar syariah?? Contoh kedua, saya berijazah bahasa arab. Kemudian, seorang mak cik di kampung saya bertanyakan saya hukum-hakam berkaitan hal-hal wanita. Adakah saya juga wajar untuk tidak menjawab persoalan mak cik itu kerana saya tidak belajar syariah??

Apakah perasaan guru sekolah agama dan mak cik tadi jika saya menjawab sedemikian rupa. Apabila seseorang pulang dengan ijazah dari negara arab seperti Mesir, Jordan, Syria dan sebagainya, masyarakat tidak akan bertanya apakah pengkhususannya, tapi pada anggapan mereka, pelajar ini mampu membicarakan soal hukum hakam dan dapat mengajar bahasa arab di mana-mana tempat, walaupun pada hakikatnya pelajar itu tidak mengambil bidang tersebut.

Pada pendapat saya--ini hanya pendapat--menjadi satu cabaran yang besar buat pelajar yang mengambil jurusan bahasa arab kerana mereka sebenarnya perlu juga belajar Syariah. Namun, cabaran itu pasti dapat diatasi kerana kelebihan berada di bumi anbiya' membolehkan ilmu tentang Usuluddin mahupun Feqh dan Usul mampu dipelajari walaupun secara tidak formal sama ada dengan bertalaqqi dengan syeikh-syeikh, alim ulama' ataupun sahabat-handai sendiri.

Bagi pelajar Syariah pula, cabaran yang perlu dihadapi adalah mereka perlu lebih tekun dalam mendalami bahasa arab dan subjek Syariah sekali gus. Hal ini kerana mereka belajar Syariah dalam bahasa arab, malah pemahaman dalam Syariah dapat dikukuhkan dengan penguasaan bahasa arab. Apatah lagi, apabila pulang ke tanah air nanti, mereka turut dipertanggungjawabkan untuk menjelaskan bahasa al-Quran yakni bahasa arab kepada masyarakat.

Kesimpulannya, mengambil jurusan bahasa arab ataupun syariah sebenarnya sama sahaja dan perlu dikuasai oleh semua pelajar agama di negara Timur Tengah. Masyarakat kini masih terkontang kanting menanti hadirnya insan yang sudi mengajar mereka kalam Yang Maha Esa beserta ilmu-ilmu-Nya. Jadi, pelajar-pelajar jurusan agamalah yang diharapkan untuk menyuburkan kembali kekeringan hati masyarakat. Bukan sahaja pelajar agama yang belajar di Timur Tengah, namun tanggungjawab ini turut diberatkan atas semua pelajar agama di Malaysia, bahkan semua individu yang telah mempunyai kesedaran terhadap agama untuk kembali menyedarkan masyarakat...ummah akhir zaman ini...saudara seislam kita.

Ayuh semua....
Tidak kira siapa kamu, pengajian kamu, pekerjaan kamu, atau apa-apa sahaja,
Kita maju mengorak langkah,
Mengajak yang makruf, mencegah yang mungkar,
Demi kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.

Baca Kitab Arab

Apabila belajar di negara arab, pasti selalu bercakap arab dan baca pun kitab arab.
Aduhai, kitab arab....
Macam susah je kan.
Tapi, mula-mula memang susah tapi lama-lama mudah la kan.

Allah ada berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan"
"Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan"




Pesan Kak Siti Fatimah Mohd : 'Mula-mula bacalah kitab yang nipis seperti buku cerita, cepat habis, tak bosan sangat. Kemudian, biasakan baca kitab tebal. Kalau tak faham, cari maksud dalam kamus.'
Alah bisa tegal biasa.
Kalau nak senang, mesti kena rasa susah dulu.
Siapa yang berusaha pasti akan berjaya.

Yehhhh...Fatimah boleh.
Macam mana boleh yakin sangat ni??
Sebab.....
Allah ada bersama.
Insya Allah boleh!!!

Bacaan Yang Menyelamatkan Diri


Salam mahabbah buat semua. Semoga dalam rahmat dan inayah Allah selalu. Insya Allah, saya ingin merasmikan post Oktober tahun ini dengan satu perkongsian. Sebuah kisah yang menarik dan memberi pengajaran buat saya. Moga begitu juga dengan anda.

Kisah ini merupakan sebuah kisah benar yang dialami oleh seorang kakak senior di universiti saya. Rasanya tidak perlulah saya menyebut namanya namun, kisah ini memang beliau sendiri yang menceritakan kepada kami para junior tahun satu.

Kisahnya bermula pada suatu hari di rumah yang diduduki beliau dan rakan-rakan yang lain. Memang menjadi kelaziman beliau mengamalkan bacaan mathurat selepas menunaikan solat asar. Tetapi, kebetulan selepas beliau membaca mathurat, ahli rumah yang lain keluar kerana ada hal. Malangnya mereka keluar rumah tanpa menutup pintu utama rumah. Barangkali terlupa.

Tidak lama setelah itu, beliau keluar dari biliknya dan kelihatan ada seorang lelaki arab yang masuk ke rumahnya dan lelaki itu bertindak ingin menutup pintu rumah. Beliau sangat tergaman. Beliau memandang lelaki itu tanpa berkata-kata. Begitu juga lelaki arab itu. Mereka hanya saling memandang antara satu sama lain. Wah...wah...wah... main mata nampak!!He..He...Namun, tidak semena-mena lelaki arab itu tidak jadi menutup pintu malah segera keluar dari rumahnya.

Senior bersyukur kerana lelaki itu keluar dari rumahnya tetapi beliau pelik kenapa lelaki itu keluar begitu sahaja. Padahal beliau langsung tidak mampu berbuat  apa-apa waktu itu. Sebenarnya boleh sahaja lelaki arab itu menutup dan mengunci pintu rumah beliau dan mengambil apa-apa sahaja barang sebagai produk rompakannya, namun tidak sama sekali. Dalam hati beliau, beliau amat yakin bahawa itu semua adalah berkat bacaan mathuratnya sebentar tadi. Dengan izin-Nya, Allah telah menyelamatkannya daripada perkara yang tidak diingini. Alhamdulillah.


Saya yang mendengar kisah itu turut tergaman. Tidak dapat saya bayangkan jika perkara itu berlaku pada saya. Nau'uzubillah. Tetapi kisah ini mengajar saya agar meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah. Malahan, bacaan al-Quran dan mathurat perlu sentiasa diamalkan walau dimana-mana pun berada. Yang mendatangkan ujian itu hanyalah Allah dan yang menyelamatkan kita daripada ujian juga Allah, jadi hanya Dia tempat kita berharap, berdoa dan memohon perlindungan.

Semoga kisah yang saya kongsikan ini memberi ruang kepada kita untuk mengubah kembali tabiat hidup kita. Walaupun perubahan yang dilakukan bukanlah 360 darjah sekali gus, namun, biarlah perubahan hidup kita menjurus dan meningkat ke arah itu. Semoga Allah meredhai kita dan menyelamatkan kita daripada bencana dunia dan akhirat.

Terima kasih buat kakak yang sudi berkongsi kisah yang walaupun ringkas tetapi penuh pedoman untuk bekalan hari mendatang. Jazakillah!!

Wallahu a'lam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...