Memaknakan Erti Syukur

Allah kurniakan aku ibu bapa yang baik,
Mereka ibu ayah yang mithali,
Aku jadi saksi atas kebaikan mereka di dunia ini,
Dia tambah lagi nikmat dengan adik beradik yang baik,
Tak putus lagi dengan sanak saudara dan keluarga yang baik,
Juga guru-guru dan murabbi yang tak putus-putus mendoakan dan menyokong.
Dia Yang Esa mengurniakan sahabat-sahabat seperjuangan yang baik,
Ada insan yang setia membawaku pada Dia,
Di sekelilingku juga ramai insan yang baik-baik,
Yang sentiasa membiaskan kebaikan dan warna-warni hidup.

Allah kurniakan nikmat kesihatan,
Allah lapangkan masa dalam usiaku yang masih muda,
Allah berikan aku tenaga untuk belajar dan bekerja,
Allah anugerahkan akal untuk berfikir dan memahami,
Allah murahkan rezekiku untuk dirasai bersama dengan insan lain,
Allah mudahkan urusanku di kala aku rasa susah,
Allah berikan aku jalan keluar pada masalah yang aku hadapi,
Allah sihatkan aku bila mana aku sakit,
Allah kenyangkan aku bila mana aku lapar.

Allah timpakan ujian untuk aku makin ingat Dia,
Allah uji aku dengan sikap manusia untuk buat aku sabar,
Allah beri aku cabaran dalam hidup untuk aku terus bergantung harap pada Dia,
Dalam kesamaran aku rasa hidupku dirundung malang, Allah takdirkan ada insan lain yang lebih merana,

Tapi aku...masih tak bersyukur,
Dalam kesukaan aku dengan nikmat yang melimpah ruah, aku masih lalai,
Di saat Allah berikan segalanya, aku tetap leka,
Ibadahku tak banyak mana, itupun entah sempurna atau tidak,
Akhlakku masih tempang, sedang insan lain begitu berbudi denganku,
Rezeki yang ada kumasih berkira-kira untuk dikongsi, sedang itu semua milik Allah,
Dunia juga yang aku puja,
Keseronokan juga yang aku damba,
Sekalipun aku tak minta, Allah masih memberi dan mengurniakan, mencurah-curah kurasakan.
Apalah erti aku hidup jika masih liat, culas nak memaknakan erti syukur pada Allah??

Aku tahu, aku sedar,
Nikmat-Nya cukup tak terhingga,
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar,
Namun, aku lalai, aku leka, aku alpa,
Ampunkan aku Tuhan,
Malu aku dengan-Mu atas semua yang Engkau kurniakan,
Sedang aku akan ditanya atas semua pemberian-Mu.

Berikan aku petunjuk, taufik dan hidayah-Mu,
Izinkan aku berubah untuk jadi hamba yang lebih baik,
Mengabdikan diri kepada-Mu,
Melakukan sesuatu kerana-Mu,
Berusaha melakukan perintah dan meninggalkan tegahan-Mu,
Kerana aku hanya seorang hamba,
Yang sentiasa lelah tapi kuat dengan rahmat dan kasih sayang-Mu,
Terima kasih Ya Allah...
Akan aku cuba dan terus memaknakan erti syukur ini,
In sha Allah..

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...