Jihad di PLKN

"Katakanlah wahai Muhammad, hendaklah kalian berusaha, nescaya Allah SWT dan Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman akan melihat usaha kalian, kelak kalian akan dikembalikan ke alam ghaib dan syahadah lalu Allah SWT menjelaskan kepada kalian apa sebenarnya yang telah kalian usahakan"
(Surah at-Taubah : 105)


Tatkala melihat dan membaca tafsiran ayat ini, tetiba sahaja penyesalan bertandang di hati kecil saya. Lantas saya teringatkan betapa saya tidak pernah mahu berusaha suatu masa dahulu. Peristiwa di PLKN dahulu menggamit memori saya di mana saya dan sahabat-sahabat muslimah yang lain 'terpaksa' memasukkan tudung ke dalam baju yang diberi sepanjang kami di sana. 


Apabila masa berlalu dan suatu hari saya berjumpa dengan seorang sahabat di kem PLKN yang lain, lantas dia memberitahu bahawa ketika di sana, dia pernah meminta kebenaran dengan pengurusan kem untuk memakai tudung di luar baju. Alhamdulillah, pihak kem di sana mengizinkan tetapi pada aktiviti yang tertentu sahaja.


Saya begitu menyesal kerana saya dan sahabat-sahabat yang sama kem tidak pernah berusaha untuk mengusulkan etika pemakaian untuk muslimah kepada pengurusan kem. Malah, kami hanya 'mematuhi' peraturan itu bulat-bulat tanpa membantah. Memanglah penyesalan atas apa yang telah Allah tetapkan itu tidak sepatutnya berlaku, tetapi melihatkan ayat di atas, hati saya jadi pilu. 


Namun, saya yakin semua ini ada hikmahnya. Saya pasti pada masa akan datang, Allah menginginkan saya untuk berusaha dahulu dengan apa-apa cara sekali pun, kemudian menyerahkan keputusan di tangan Allah SWT. Apapun, saya bersyukur dengan segala yang telah Allah tetapkan buat saya.


Firman Allah, "Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah"


Alhamdulillah, sekarang ini timbul semangat untuk terus berjihad dan berusaha bagi menentang kejahilan di atas muka bumi ini. Walaupun usaha yang dilakukan sedikit cuma, namun tidak mengapa kerana saya yakin Allah Maha Berkuasa. Sebagai hamba kita hanya mampu berusaha dan Allah yang memberi kejayaan.


Tetapi, usaha semaksimum yang mungkin tetap perlu dijalankan kerana suatu masa nanti kita perlu percaya bahawa Allah akan kembali bertanyakan apa yang telah dilakukan untuk Islam dan umatnya. Semoga Allah mengampunkan dosa yang kita lakukan sama ada yang diketahui atau tidak.
Astaghfirullah......

1 comments:

semoga najah selalu

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...